PENANTIAN Ernie Zakri dan Syamel yang sekian lama mendambakan sebuah konsert mega ternoktah di pentas Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pasangan suami isteri yang sudah lebih sedekad mewarnai industri, mencipta momen bermakna dalam konsert yang diberi nama, Aku Cinta.
Lebih 1,100 penonton yang hadir malam itu pulang dalam kepuasan. Ernie dan Syamel memenuhi permintaan peminat menerusi nyanyian dan persembahan memukau diiringi lebih 14 pemuzik, diketuai Aubrey Suwito.
Aku Cinta adalah kisah cinta yang digarap menerusi melodi dan lagu, menyaksikan penonton dibawa mengimbau momen tangis serta tawa dua penyanyi tersebut yang berkongsi jatuh bangun kehidupan sebagai penghibur.
Sebanyak 21 lagu, solo dan duet, dipersembahkan dalam konsert yang berlangsung hampir dua jam setengah itu.
Bermula tepat pukul lapan malam, Syamel dan Ernie membuka pentas dengan lagu duet yang melonjakkan populariti mereka, Aku Cinta.
Ernie dan Syamel seterusnya memukau dengan kemantapan vokal menerusi lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You yang dipopularkan Marc Anthony dan Tina Arena.
Suasana kemudian dihangatkan dengan persembahan lagu Laksmana Raja Di Laut, Balqis, Bujang Senang dan Hati Emas yang pernah mereka bawakan ketika menyertai program realiti, Duo Star, enam tahun lalu.
Ernie meneruskan persembahan secara solo dengan membawakan lagu Jangan Marah dan Misteri.
Syamel menyusul dengan mempersembahkan tiga lagu, Hidup Dalam Mati, Lebih Sempurna dan Halusinasi.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 itu kembali bergabung, mempersembahkan lagu Takkan Terlerai, sebuah naskhah yang menerima permintaan paling tinggi untuk dipersembahkan malam itu.
Ernie menerima standing ovation apabila memukau penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Gundah, Ku Bersuara dan Korban.
Suasana bertukar hiba menerusi persembahan istimewa lagu Bila Kau Tiada yang didedikasikan Syamel buat arwah ibunya, Wan Faaizah Karim yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.
Penyanyi berusia 28 tahun itu kemudian meneruskan persembahan dengan membawakan dua lagi lagu, Bahagia Milik Kita dan Kau Pun Sama sebelum pentas diambil alih Ernie yang menyampaikan lagu Boneka.
Ernie dan Syamel kembali bergabung menerusi lagu Goodbye Hello sebelum tirai konsert berlabuh.
Namun, suasana bertukar apabila peminat menerima kejutan persembahan istimewa lagu Hal Hebat yang disampaikan Ernie bersama penyanyi Indonesia, Govinda.
Air mata Syamel, Ernie harungi tekanan
Ernie dan Syamel, yang ditemui usai konsert memaklumkan mereka gembira dengan maklum balas penonton yang rata-rata terhibur dengan persembahan malam itu.
“Ini adalah konsert pertama kami, jadi banyak lagi yang kami perlu belajar. Berdasarkan respons penonton, Alhamdulillah mereka terhibur.
“Buat masa ini, itu sudah memadai. Tentunya banyak perkara yang kami perlu perbaiki,” kata Syamel.
Antara momen penting dalam konsert tersebut adalah apabila Syamel menumpahkan air mata mengenangkan arwah ibunya ketika membawakan lagu Bila Kau Tiada.
“Setiap kali menyanyikan lagu ini, saya akan menangis dahulu sebelum menyampaikannya.
“Tetapi tadi, saya gagal menahan sebak sebaik sahaja melihat gambar arwah ibu dipaparkan di skrin besar.
“Saya membayangkan ibu ada dalam kalangan penonton kerana hasrat untuk melihat kehadirannya menonton konsert saya tidak kesampaian,” luahnya.
Dalam pada itu, disoal tentang perancangan untuk mengadakan lagi konsert bersama selepas ini, Ernie memaklumkan, perkara itu belum difikirkan lagi.
“Selepas ini, kami mahu menberikan fokus kepada persembahan solo , tambahan pula dalam perancangan untuk menjayakan showcase.
“Untuk konsert bersama Syamel, ia memerlukan perancangan rapi . Insya-Allah, jika ada rezeki pasti menjadi kenyataan,” katanya.
Ernie mengakui berdepan tekanan untuk menjayakan konsert sulung mereka itu.
“Sebenarnya kesihatan saya tidak mengizinkan. Tekanan konsert sulung ini berbeza dan tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya sampai tidak boleh tidur malam kerana terlampau memikirkannya.
“Saya tahu keupayaan saya tidak lagi seperti dahulu, lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak pertama.
“ Saya masih ada keyakinan untuk menyanyikan lagu bernada tinggi, tetapi saya sedar kemampuan diri sudah tidak sama.
“Saya bersyukur kerana suami banyak memberi semangat, malah sentiasa meniupkan kata positif kerana yakin saya boleh melunaskan tanggungjawab dengan baik,” kata Ernie.










