Sebanyak 43 peratus wanita di negara ini direkodkan hamil tanpa dirancang. Menyifatkan jumlah itu sebagai masih lagi tinggi, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, kadar prevalens kontraseptif atau pencegahan kehamilan di negara ini tidak pun mencatatkan sebarang perubahan, sebaliknya kekal pada 52.5 peratus sejak 30 tahun lalu.
Katanya, daripada statistik itu, sebanyak 34.3 peratus didapati mengamalkan kaedah moden manakala baki, 17.9 peratus pula menggunakan pendekatan tradisional.
“Ibaratnya daripada keseluruhan 100 wanita, kira-kira 43 orang dilaporkan tidak merancang kehamilan dan situasi itu tentunya memberi kesan berbanding kehamilan yang ditunggu dan diidamkan.
“Dalam konsep kontraseptif, wujud keperluan merancang keluarga yang tidak dipenuhi atau dikenali sebagai unmet needs dan Malaysia merupakan negara tertinggi bagi unmet needs di Asia,” katanya.
Dr. Harlina yang juga Pengasas dan Pengarah Akademi Dr. Har, berkata demikian pada Forum Take Control 2022 sempena sambutan Hari Kontraseptif sedunia yang diraikan pada 26 September setiap tahun.
Forum anjuran Eurodrug Laboratories Malaysia dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut disertai pegawai perubatan LPPKN, Dr. Wan Hilya Munira Mustapha, ahli farmasi, Fatin Zafira Mohd. Yassim dan selebriti Ummi Nazeera.
Ummi Nazeera pakai IUCD
Mengulas mengenai kaedah pencegahan kehamilan secara semula jadi atau tradisional yang menjadi amalan kebanyakan pasangan, Dr. Harlina berkata, langkah tersebut bukanlah yang terbaik lantaran peratusan kegagalannya adalah tinggi.
Katanya, ia berikutan kesukaran untuk menentukan ketepatan kiraan tarikh subur, kerana tempoh kitaran haid bagi yang sudah melahirkan anak tidak lagi ideal berbanding ketika belum berkahwin.
“Sebab itulah penting bagi setiap pasangan yang baru berkahwin, merancang saiz keluarga yang diingini.
“Kenal pasti jarak ideal kehamilan sekarang dan akan datang di samping tahu kaedah apa yang akan digunakan untuk menjarakkan kehamilan tersebut,” katanya.
Umur 40-an juga perlu amal kontraseptif
Kehamilan tidak diduga turut boleh berlaku kepada wanita berusia 40 tahun ke atas, biarpun waktu itu, kekerapan hubungan seks sudah berkurangan dan kitaran haid tidak lagi teratur.
Malah ada yang menyifatkan pada usia berkenaan, merupakan waktu kritikal untuk setiap wanita merancang keluarga.
Dr. Harlina berkata, tanggapan kononnya golongan itu tidak berisiko mengandung kerana usia yang sudah lanjut adalah salah sama sekali.
Sebaliknya selagi wanita tidak terputus haid selama 12 bulan berturut-turut, mereka dianggap subur dan boleh hamil jika tiada apa-apa perlindungan.
Bagaimanapun, kaedah kontraseptif digunakan mungkin berbeza dan perlu disesuaikan dengan keadaan masing-masing termasuk kesihatan dan sebagainya.
Ummi ambil IUCD
Kelahiran bayi kedua yang tidak dirancang mendorong Ummi Nazeera nekad melakukan kaedah kontraseptif moden dengan menggunakan alat pencegahan kehamilan di dalam rahim (IUCD).
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan anak-anaknya mendapat kasih sayang mencukupi dalam kesibukan kerjayanya sebagai selebriti.
Ujarnya, dia bersyukur kerana suaminya yang merupakan seorang doktor, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani turut menyokong keputusannya itu.
“Selepas melahirkan anak pertama, saya melakukan kontraseptif tradisional tetapi saya hamil tanpa diduga.
“Selain kerana anak-anak, sebab utama saya melakukan kontraseptif adalah kerana memikirkan kesejahteraan saya. Setiap wanita perlu menyayangi diri mereka terutama bagi ibu-ibu yang bekerja,” katanya memberikan reaksi.
Kegemukan, punca wanita tolak kontraseptif
Walaupun Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara mencatatkan penurunan dengan 1.7 anak bagi setiap wanita pada 2020, namun konsep perancangan keluarga masih lagi relevan.
Wan Hilya berkata, komponen dilaksanakan di negara ini tidak seperti di negara-negara lain misalnya di China dan Indonesia yang mengehadkan bilangan anak kepada hanya dua orang.
Sebaliknya, pendekatan kontraseptif di negara ini bertujuan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan wanita.
“Kita mahu pertambahan anak dengan cara yang sihat termasuk adanya penjarakan yang sesuai bagi mengelakkan masalah kesihatan seperti anemia kepada ibu dan risiko anak lahir pramatang.
“Perancangan keluarga mustahak dalam memastikan kesejahteraan ibu dan anak sekali gus menjamin kestabilan ekonomi keluarga,” katanya.
Sementara itu katanya, bimbang mengenai kenaikan berat badan menyebabkan rata-rata wanita di negara ini membatalkan hasrat mengamalkan kaedah kontraseptif moden termasuk makan pil perancang.
Wan Hilya memberitahu, walaupun langkah itu terbukti berkesan mencegah kehamilan, namun mitos-mitos di media sosial seolah-olah menghalang golongan sasar berbuat demikian.
Selain kegemukan, antara kerisauan terhadap kesan sampingan lain ialah sakit pada payudara, haid tidak teratur di samping masalah kesuburan.
“Kaedah kontraseptif moden hanya menyebabkan kesan sementara bergantung kepada individu dan bukan bersifat jangka panjang serta berlarutan,” katanya.
Realitinya pertambahan berat badan tidak dipengaruhi kontraseptif, sebaliknya gaya hidup, faktor usia dan pemakanan.
Kajian mendapati kenaikan berat badan selepas makan pil perancang hanya antara 1.5 hingga 2 kilogram sahaja.
“Jangan menyalahkan pil perancang punca kegemukan kerana bagi wanita yang menyusu badan, selera makan mereka lazimnya bertambah,” katanya.
Fatin Zafira, pelaksanaan kempen advokasi dan pendidikan seks mampu menjadi platform terbaik dalam mengubah stigma masyarakat terhadap pencegahan kehamilan termasuk pil perancang.










