Hisham pesan jangan pinggir pelakon lama - Utusan Malaysia

Hisham pesan jangan pinggir pelakon lama

HISHAM Ahmad Tajuddin sangat prihatin terhadap nasib pelakon lama ketika hayatnya masih ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hiburan tanah air kembali berduka atas pemergian pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajuddin yang bertemu Maha Pencipta, pukul 4.30 petang, kelmarin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam pada usia 76 tahun akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, pada pukul 10.30 pagi, semalam. Sebelum itu, jenazah disembahyangkan dan diuruskan di Masjid Seksyen 18.

Pemergian Hisham ibarat gugurnya sebutir lagi permata seni. Allahyarham merupakan pelakon yang banyak berjasa kepada industri drama dan perfileman tanah air.

Antara filem lakonannya adalah Tsu Feh Sofiah pada tahun 1985, Wira Angkasa (1987), Perempuan (1988), Interlud (1992) dan banyak lagi.

Allahyarham juga aktif berlakon drama dan telefilem antaranya Rindu Semakin Jauh dan Dalam Hati Ada Cinta yang ditayangkan pada 2004, Lara Rindu Mahsuri (2008), Laila Asyikin (2010) dan Sebelum Akhirat (2010).

Hisham ketika hayatnya banyak meninggalkan nasihat dan teguran untuk kebaikan industri seni.

Arwah juga prihatin dengan nasib pelakon seangkatannya yang semakin dipandang sepi. Dalam satu temu bual yang dimuat naik di laman YouTube, arwah berpesan agar nasib pelakon lama tidak dipinggirkan.

Hisham juga mengesyorkan kepada penerbit agar terus mengetengahkan mereka dalam drama dan filem yang dihasilkan.

“Saya syorkan, kalau boleh ambil pelakon yang sudah tua ini mengikut peranan dalam cerita. Kalau watak orang tua, ambillah pelakon berusia.

“Kami pelakon veteran masih mahu berlakon sampai ke hujung nyawa. Kalau pelakon lama macam saya masih boleh berlakon, insya-Allah, panggillah,” pesan arwah.

FILEM, DRAMA KENANGAN BERHARGA

Sementara itu, anak Allahyarham, Aqeela, 26, berkata bapanya yang ditidurkan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam sejak akhir bulan lalu menghembuskan nafas terakhir di hadapan anggota keluarga.

Jelasnya, Allahyarham berada di hospital selama 12 hari dan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru yang kemudian merebak ke organ lain sehingga tidak berfungsi.

“Hari pertama abah dimasukkan ke zon merah, namun kemudian doktor pindahkan ke wad HDW. Doktor putuskan untuk tidurkan abah sampai dia meninggal dunia.

“Selepas pihak hospital maklumkan keadaan abah sudah tenat, kami sekeluarga dapat berada di sisinya sejak malam (Selasa) sehingga waktu Asar (Rabu), abah menghembuskan nafas terakhir.

“Abah meninggal di hadapan saya, suami dan ibu,” katanya.

Aqeela yang merupakan anak tunggal dalam keluarga berkata, bapanya banyak meluangkan masa di rumah dengan menonton televisyen dan membaca novel sejak kali terakhir berlakon pada 2019.

“Abah bukan suka keluar berjalan, tetapi kalau ada program dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), baru dia akan berjumpa dengan kawan-kawan lama,” katanya.

Mengimbas permintaan terakhir Allahyarham, Aqeela berkata, dia berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat memenuhi hajat bapanya untuk menonton konsert Gegar Vaganza 9 (GV9) secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

“Abah berhasrat untuk pergi menonton GV9 secara langsung sebab musim sebelum ini, abah selalu ajak ke sana.

“Sedih rasanya tidak dapat penuhi hajat terakhir abah. Itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengan abah sebelum dia tidak sedarkan diri dan oksigen pula makin berkurangan,” katanya.

Aqeela berkata, filem dan drama yang pernah dilakonkan bapanya akan menjadi kenangan terindah buat dirinya sekeluarga.

“Filem yang abah pernah berlakon Syurga Cinta dan drama Dalam Hati Ada Cinta antara yang paling saya suka tonton dan ingat sampai sekarang,” katanya.

HISHAM SENTIASA POSITIF

Pelakon veteran, Lan Zailan, 64, menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang sangat positif dan banyak perkara baik yang dipelajari daripadanya.

Kali terakhir dia berjumpa dengan Hisham semasa bulan puasa tahun lalu.

“Arwah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap pasal orang lain. Inilah sikap arwah yang saya masih ingat sampai sekarang.

“Sewaktu saya berlakon sebagai pelakon tambahan di RTM, mereka (arwah dan rakan-rakan seperjuangannya) sudah jadi hero.

“Pernah suatu ketika, arwah mesej memberitahu lakonan saya bagus selepas menonton drama yang saya bintangi. Saya berterima kasih dengan arwah dan cakap masih lagi belajar dalam dunia lakonan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN