NAMA Angga Candra mungkin asing buat peminat di negara ini, namun penyanyi lagu Sampai Tutup Usia itu tetap bersyukur dengan perjalanan kariernya.
Memulakan langkah dalam bidang nyanyian sebagai penyanyi jalanan, jelas Angga, bukan populariti yang menjamin seseorang anak seni bertahan, sebaliknya penghasilan karya yang mampu menambat hati peminat.
“Tidak kisah orang tidak mengenali siapa saya kerana jujurnya, saya lebih bahagia apabila mereka mengenali lagu saya. Itu lebih penting kerana setiap karya yang dihasilkan adalah untuk dinikmati bersama.
“Saya bermula sebagai penyanyi jalanan sebelum menggunakan YouTube sebagai ruang berkarya. Saya tidak malu mengakui asal usul diri. Penting untuk sentiasa menghargai waktu sukar supaya fokus saya dalam bidang seni tidak lari.
“Kalau di Indonesia, orang tidak ambil peduli siapa kamu, sebaliknya yang akan menentukan penerimaan peminat adalah karya,” katanya yang mempunyai hampir 10 single.
Sebagai antara penyanyi popular di YouTube dengan 8 juta pengikut, Angga tidak pernah menjadikan kepayahan lalu sebagai penghalang langkah.
Tambahnya, dengan kemajuan teknologi, sesiapa sahaja mampu meraih populariti sekelip mata. Namun, jelasnya dalam apa juga situasi, penting untuk seseorang sentiasa yakin dengan kemampuan diri.
“Nasihat saya kepada mereka yang masih berkira-kira mahu menggunakan laman sosial untuk memperkenalkan karya, buat sahaja. Jangan pernah takut untuk kongsikan karya kamu kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan peminat di luar sana.
“Mungkin sekarang tiada yang suka, namun beberapa tahun lagi, peluang karya ini untuk diminati barangkali ada. Kita perlu berani dan kreatif, tambahan pula dengan kewujudan laman sosial yang memberi ruang sama rata kepada semua orang.
“Gunakan kelebihan ini untuk tunjukkan kepada dunia hasil karya kita,” katanya yang juga bekas vokalis kumpulan Adipati.
Pernah berada di bawah pihak pengurusan bertaraf antarabangsa di Jakarta, akui Angga, dia kini memilih untuk menguruskan kerjayanya sendiri.
Tidak menyesal dengan keputusan itu, Angga berkata, pengalamannya sebelum ini membuatkan dia lebih tahu kemahuan diri.
“Saya pernah berada di bawah pihak pengurusan terkenal di Indonesia, tetapi akhirnya saya pilih untuk membawa haluan sendiri.
“Sebenarnya, semasa berada di bawah pengurusan itu, saya masih membuat persembahan di jalanan.
“Saya tidak menyesal, malah selepas beberapa tahun saya selesa begini. Saya masih membuat persembahan, cuma bukan lagi di jalanan. Kali ini, di pentas yang lebih baik.
“Malah, saya juga yakin dengan potensi laman sosial kerana ia mempunyai akses yang lebih luas,” jelasnya.
Bakal menjayakan Konsert Hype Night In Kuala Lumpur 2022 pada 23 Oktober ini, Angga berkata, ia adalah kali pertama dia diberi peluang beraksi di negara ini.
Walaupun kebanyakan lagunya hanya diperdengar melalui laman sosial, dia tetap berbangga kerana mempunyai kelompok peminat tersendiri di negara ini.
“Untuk konsert itu nanti, saya akan menyanyikan beberapa lagu dan mungkin ada lagu baharu yang akan saya sampaikan.
“Buat masa ini, saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk peminat sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka,” katanya.











