Tayangan awal Abang Long Fadil 3 raih RM1.2 juta - Utusan Malaysia

Tayangan awal Abang Long Fadil 3 raih RM1.2 juta

ABANG Long Fadil 3 menemui peminat di pawagam bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Filem aksi komedi, Abang Long Fadil 3 berjaya mencatat jumlah kutipan mencecah RM1.2 juta pada tayangan awal, semalam.

Perkembangan itu dimaklumkan Astro Shaw menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Filem itu ditayangkan secara rasmi di seluruh negara bermula hari ini.

“Terima kasih kerana menonton filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw.

“Teruskan sokongan anda dengan menonton filem tempatan di pawagam berhampiran,” katanya.

Abang Long Fadil 3 diarahkan Sayfiq Yusof yang sebelum ini mengarahkan dua francais awal filem berkenaan iaitu Abang Long Fadil 1 dan 2.

Abang Long Fadil 2 mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama menembusi kutipan pecah panggung melebihi RM18 juta.

Uniknya ketiga-tiga francais Abang Long Fadil, penonton dapat melihat transisi konsep cerita di mana edisi pertama menonjolkan tema dunia gengster, manakala kedua mengetengahkan Fadil dalam dunia mafia dan naskhah terbaru paparkan Fadil dalam konsep spy.

Dalam pada itu, filem tersebut telah menerima pujian dan maklum balas positif penonton yang berkesempatan menonton filem tersebut semalam.

Pengguna akaun Twitter, afnanshahrim menyifatkan Abang Long Fadil 3 sebagai antara filem pecah panggung paling menghiburkan, tahun ini.

“Filem terbaik yang berbaloi ditonton. Ada babak aksi yang sangat wow serta elemen komedi yang menghilangkan tekanan anda,” tulisnya.

Pengguna akaun Twitter, afdhaluddin pula melayangkan pujian terhadap jalan cerita filem berkenaan yang disifatkan berkualiti dan segar.

“Abang Long Fadil 3 memang best, tidak meniru jalan cerita filem lain.

“Elizabeth Tan memang sesuai membawakan watak itu. Saya berharap dia akan terus membawakan watak seperti itu pada masa akan datang,” ulasnya.

Abang Long Fadil 3 akan mengadakan sesi jelajah yang turut dimeriahkan dengan barisan pelakon pada 10 dan 11 September ini di Johor serta Melaka, disusuli Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada 16, 17 dan 18 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.