Rasuk penuh tanda tanya - Utusan Malaysia

Rasuk penuh tanda tanya

RASUK bakal memasuki pawagam bermula 29 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKAL menemui penonton di seluruh pawagam bermula 29 September ini, Rasuk mungkin boleh dimasukkan ke dalam senarai filem yang harus ditonton.

Itu pun jika anda terdiri dalam kalangan penonton yang bersedia menerima sesuatu berbeza dan tidak tipikal seperti kebanyakan naskhah seram pernah disajikan sebelum ini.

Meskipun judulnya cenderung membawa kepada suasana seram penuh mistik, Rasuk, terbitan bersama Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan SixFun Media, bagaimanapun menyuntik elemen fiksyen kebaratan dengan mengetengahkan zombie sebagai subjek utama penceritaan.

Penulis skrip, Laili Noordin berkata, dia dan pasukannya terpaksa beberapa kali merombak skrip asal kerana mahu mencari kesesuaian jalan cerita dengan mengambil kira beberapa faktor.

“Lima kali juga skrip filem ini terpaksa dirombak dan diolah bagi memberi nilai tambah kepada jalan cerita. Bagaimanapun, pengarah, James Lee, sangat membantu apabila menyalurkan idea kreatifnya untuk menggerak dan menghidupkan watak dalam naskhah ini.

“Ketika menghasilkan skrip filem ini, kami berdepan masalah untuk mencari penulis kerana negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, kami tidak melakukannya secara tangkap muat, malah pemilihan mereka yang terbabit dalam filem ini adalah tepat,” katanya.

Laili mengakui, sukar untuk dia berpuas hati, malah jika diberi peluang, banyak kelompongan pada jalan cerita filem ini yang mahu disusunnya semula.

Dia sedar, mungkin akan timbul banyak tanda tanya dalam fikiran penonton kelak, terutama latar belakang bagaimana zombie muncul.

“Bukan tidak diceritakan, tetapi penerbit mahu jalan cerita ini disusun dan dise­suaikan dalam tempoh 90 minit tayangan. Selain itu, kami juga perlu ikut kesesuaian klasifikasi iaitu P13.

“Disebabkan itu, filem ini tidak banyak memaparkan elemen gore iaitu sadis atau kejam keterlaluan. Kami terpaksa akur dengan durasi tayangan 90 minit,” katanya.

Bagaimanapun, kata Laili, seandainya filem yang dihasilkan dengan bajet RM1 juta ini mendapat sambutan, mereka akan muncul dengan sambungan bagi merungkai aspek penceritaan dengan lebih mendalam.

ELEMEN TERSEMBUNYI

Sementara itu, James yang duduk di kerusi pengarah menganggap keseluruhan penghasilan filem ini sudah mencukupi untuk memancing keinginan penonton yang dahagakan jawapan demi jawapan dalam naskah tersebut.

Katanya, elemen tersembunyi atau hidden point sebenarnya sangat bagus untuk membuat penonton teruja mengetahui apakah yang akan berlaku pada naskhah seterusnya.

“Elemen hidden ini bagus sebab kalau mendapat sambutan, mereka boleh hasilkan sekuel dan prekuel. Penonton berpeluang mengetahui perkembangan jalan cerita menerusi kupasan plot.

“Namun, kita kena realistik. Kalau kutipan berpadanan dengan bajet yang dikeluarkan, baru kita boleh hasilkan sekuel,”katanya.

James turut menaruh keyakinan, penonton yang pernah menonton garapan kreatifnya menerusi filem Histeria pada 2008, pasti boleh menerima naskhah ini.

“Histeria sudah berusia lebih 10 tahun. Sebenarnya, setiap kali saya mengarah, saya cuba berikan kepuasan kepada penonton. Tidak kisah jika bekerja dengan bajet besar atau kecil kerana sebagai pengarah, saya perlu sampaikan naskhah itu sebaik mungkin.

“Penerbit ada objektif mereka, tetapi dalam menyampaikan cerita, pengarah juga tertakluk pada kekangan tertentu. Kita kena ikut klasifikasi yang ditetapkan,”katanya.

SINOPSIS:

Mengisahkan tentang seorang guru yang terpaksa kembali bekerja walaupun masih trauma dengan tragedi yang berlaku terhadapnya.

Oleh kerana sudah bermula cuti penggal, lima pelajar pergi berkelah di tepi sungai. Seorang daripada mereka menemui botol misteri dan membukanya dengan tanda tanya.

Keadaan menjadi huru-hara apabila seorang demi seorang pelajar di asrama dirasuk, namun untuk hidup, mereka perlu bertahan dan ada yang perlu berkorban.

Rasuk membariskan pelakon seperti Alif Satar, Ikmal Amry, Elisya Sandha, Taufiq Hanafi, Ayie Floor 88, Alicia Amin, Atiq Azman, Abbas Mahmood dan Syazwan Razak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN