PENGUMUMAN 13 artis yang membarisi penyertaan program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) telah diketahui umum menerusi satu sidang media khas yang dianjurkan, baru-baru ini.
Seperti biasa, mereka yang bertanding terdiri daripada artis yang pernah mencipta nama dalam industri, namun sudah lama tidak membuat kemunculan atau aktif di persada seni.
Mereka yang terpilih untuk mewarnai GV pada tahun ini ialah Dina Nadzir, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida Hasnan, Pat Candy, Tom serta VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.
Pun begitu, di sebalik nama yang disebut, terselit juga tiga nama besar lain yang diumumkan sebagai peserta. Mereka ialah Tomok, Shila Amzah dan Jaclyn Victor.
Kehadiran tiga nama penyanyi ini nampaknya menjadi pertikaian ramai memandangkan mereka terdiri dalam kelompok artis yang masih bergiat aktif dalam industri, selain ada yang sedang dalam rangka mempromosi single baru.
Perkara itu dilihat seakan tidak kena dengan konsep asal program yang mahu memberi platform kepada artis lama untuk kembali membuktikan kehebatan mereka dengan bertanding di pentas GV.
Ketika ditanya, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, memasuki edisi kesembilan, jenama program realiti itu harus ditambah baik selari keterujaan peminat.
“Sudah sembilan tahun penganjuran, tiba masa untuk kita ‘menukar’ format dengan membuka lebih banyak ruang, terutama melibatkan peserta. Bagi saya, genetik program ini masih sama.
“Selain itu, kebanyakan penyanyi lama tidak mencapai piawaian yang kita mahukan. GV sebagai sebuah pertandingan nyanyian, tetapi kami perlu pastikan peminat mendapat hiburan yang terbaik dan berkualiti sepanjang 10 minggu bersiaran.
“Disebabkan itu, kami berpendapat format GV perlu diubah memandangkan program realiti ini sudah memasuki tahun kesembilan.Kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu tampil dengan perubahan,” katanya.
Raqim menambah, pihak produksi tidak menolak sekiranya musim akan datang turut menyenaraikan penyanyi yang masih aktif, walaupun mungkin beberapa pihak kurang bersetuju.
“Apapun, kita lihat dulu senarai penyanyi yang akan datang. Berdasarkan pengalaman saya, terdapat penyanyi yang tolak tawaran GV tahun ini, tetapi berminat untuk sertai pada musim akan datang.
“Ada juga yang kami pujuk berkali-kali sehingga penyanyi itu setuju untuk sertai. Jadi, kami tidak nafikan mungkin tahun depan ada kelainan terbabit.
“Masa berubah dan mungkin nanti kita akan melihat gabungan baru dan lama berentap di atas satu pentas,” katanya.
Pentas GV9 bakal membuka tirainya 18 September ini secara langsung di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA).
GV telah menobatkan sembilan juara sepanjang penganjuran untuk lapan musim yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7) dan Aliff Aziz (GV8).
BUKAN KERANA DUIT – SHILA AMZAH
Biarpun berdepan kritikan apabila bersetuju menyertai GV9 kali ini, penyanyi, Shila Amzah akan tetap memberi yang terbaik dan menganggap program realiti itu merupakan pentas yang menguji kredibiliti seseorang penyanyi.
Malah, tegas Shila, wang kemenangan bukan sasaran utama, sebaliknya dia mahu menjadikan pentas GV sebagai platform mematangkan diri dan menambah keyakinannya yang sedikit tercalar sebelum ini.
“Saya masuk GV bukan sebab mahu kejar duit kemenangan. Ini adalah program terbaik, terutama bagi penyanyi seperti saya. Saya harapkan GV dapat memberi keyakinan dan kepuasan kepada saya sebagai penyanyi.
“Memang sebelum ini, saya pernah menjuarai program The Masked Singer. Tetapi, kedua-dua program ini mempunyai format berbeza. Tidak sama. Setiap minggu kita kena mencabar kreativiti
dan tampil dengan persembahan terbaik,”katanya.
Ditanya adakah dia sudah bersedia menerima kritikan, Shila berkata, dia sudah melalui pelbagai fasa sepanjang usia seninya.
“Takut kritikan? Saya sudah melalui pelbagai kontroversi. Saya juga terbuka kalau dikritik dari segi nyanyian dan persembahan, berbanding peribadi,” katanya.
TIDAK DIJANJIKAN KEJUARAAN – JACLYN VICTOR
Penyanyi, Jaclyn Victor pula menafikan dakwaan mengarut segelintir pihak yang menganggap dia menerima tawaran tersebut dengan syarat dijanjikan trofi juara oleh pihak produksi.
Jaclyn yang juga juara Malaysian Idol musim pertama berkata, dia sebaliknya dengan rela hati menerima tawaran saat akhir kerana mahu terus berkarya, lebih lagi selepas diberikan kebebasan pihak produksi untuk mempamerkan bakatnya sebagai penyanyi.
“Bila dengar penjelasan terperinci mengenai GV9, saya tanpa berfikir panjang terus setuju untuk turut serta sebagai peserta.
“Mereka kata, GV9 pentas bebas untuk saya serlahkan kreativiti. Apabila sudah dijanjikan begitu, saya terima pelawaan mereka itu. Mungkin GV9 menjadi pentas untuk saya kembali aktif berkarya,” katanya.
SAYA BERSAING DENGAN DIRI SENDIRI – TOMOK
Sementara itu, Tomok, 38, menganggap dia tidak berniat untuk menyaingi mana-mana peserta lain di pentas GV9, meskipun tahu barisan artis lain memiliki kehebatan tersendiri.
Bagi Tomok, perjuangannya kali ini lebih bersifat peribadi dan istilah bersaing adalah cuma dengan dirinya sendiri.
“Sebenarnya, saya setuju dengan pandangan Datuk Ramli MS bahawa GV adalah tempat untuk kita berkarya dan serlahkan bakat. Terus-terang, tawaran untuk sertai GV ini sudah beberapa kali datang.
“Bila sudah banyak kali menolak, rasa macam tidak seronok pula jika kali ini saya tolak lagi. Lagipun, saya sudah bersedia untuk sertai tahun ini dan kembangkan lagi kerjaya.
“Bagi saya, istilah bersaing dengan orang lain itu tiada. Saya cuma bersaing dan berjuang untuk melawan diri sendiri,” katanya.










