Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom!: Bakal jengah pentas antarabangsa - Utusan Malaysia

Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!: Bakal jengah pentas antarabangsa

MUZIKAL Ipin & Ipin dipentaskan di Dewan Plenary, KLCC, hujung minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKUATAN pengaruh dan populariti Upin & Ipin yang melangkaui sempadan negara meletakkan produksi itu pada kelas tersendiri.

Justeru, pementasan Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hujung minggu lalu menjadi titik tolak untuk terus memperkasakan jenama itu di pentas antarabangsa.

Ada harapan tinggi yang digalas, malah melayari perjalanan lebih satu jam pementasan, sekalung pujian harus diberikan kepada kru produksi terutama pengarah, Siti Rohaya Atan yang berjaya merealisasikan naskhah tersebut.

Bagi Rohaya, bukan mudah sebenarnya untuk menjayakan teater muzikal kanak-kanak. Apatah lagi, karakter animasi yang cukup popular dan menghidupkan jalan cerita itu menggunakan maskot yang sukar menyampaikan emosi.

“Guna maskot ini memang sukar sebab mereka tidak bercakap, jadi kena pastikan setiap pergerakan selari dengan rakaman suara. Kita kena susun sebaik-baiknya supaya tidak nampak ‘bocor’ di situ.

“Kita juga kena pastikan pelakon dalam maskot selesa. Mereka harus diberi ruang untuk membuka kostum supaya boleh bernafas. Semasa sesi latihan, ada yang pengsan kerana tidak cukup nafas.

“Bagi saya, pementasan ini cukup membanggakan. Mereka (para pelakon) memberi emosi kepada watak dengan hanya gerakan berpandukan suara. Ia menjadi kebanggaan untuk industri seni teater kita juga,” katanya.

TERHIBUR, TERUJA

Benar seperti apa yang diperkatakan. Setiap watak berjaya dihidupkan walaupun dengan menggunakan rakaman suara. Malah, gerakan mereka juga tidak canggung.

Penggunaan efek pencahayaan dan LED skrin memberi lebih impak yang pasti membuatkan penonton dalam kalangan kanak-kanak teruja menyaksikan karakter animasi kegemaran mereka di atas pentas.

Pemilihan lagu dan skor muzik tambahan juga membantu menghidupkan pementasan. Ada babak dan gerak tari yang membuatkan penonton tidak kering gusi menyaksikan keletah setiap watak.

Pastinya, penonton teruja melihat watak Pahlawan Magik Upin dan Ipin yang kali pertama muncul di atas pentas. Malah, penonton juga berpeluang menyertai misi menyelamat rakan-rakan Upin dan Ipin yang telah diculik nenek kebayan.

Menggunakan stik berlampu biru dan kuning, penonton perlu membantu pasangan adik-beradik kembar itu melawan kuasa nenek kebayan. Selari dengan lagu Pin Pin Pom!, satu dewan bergema dengan keterujaan dan jeritan penonton.

Biarpun mungkin ada beberapa babak yang dilihat tidak perlu, secara adilnya, ada yang terpaksa diwujudkan bagi memberi ruang untuk pelakon berganti kostum serta bernafas sebelum memulakan adegan seterusnya.

Pujian seharusnya diberikan kepada pelakon, Deera Aminudin yang berjaya membawakan watak nenek kebayan dengan begitu cemerlang. Deera tahu, watak tersebut biarpun digambarkan sebagai antagonis, berjaya dihidupkan dengan membawa gelak tawa kepada penonton.

JADI KANAK-KANAK

Menariknya, kongsi Rohaya, barisan pelakon juga terdiri daripada pelbagai kaum. Malah, mereka juga merupakan pelakon yang sama menjayakan teater Upin dan Ipin, 10 tahun lalu.

“Mereka kini sudah dewasa dan ada yang bukan bekerja sebagai pelakon sepenuh masa. Ada yang doktor dan peguam, tetapi sanggup mengambil cuti menjayakan teater ini. Komitmen mereka harus dipuji.

“Malah, barisan pelakon bukan hanya terdiri daripada Melayu, tetapi pelbagai kaum. Ada Cina, India dan pelbagai. Upin dan Ipin adalah jenama yang kita semua tahu, menyatukan kita sebagai rakyat menerusi penceritaan,” ujarnya.

Tambah Rohaya, mereka menjalani proses latihan selama sebulan dan skrip Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! ini telah ditukar sebanyak enam kali bagi memastikan jalan cerita yang dipersembahkan adalah terbaik.

“Saya kena jadi kanak-kanak, jadi proses latihan menyeronokkan kami. Proses menjayakan teater ini hampir empat tahun. Sebab itu, enam kali skrip ditukar. Kita mahu beri yang terbaik,” katanya.

Teater Muzikal Upin dan Ipin- Pin Pin Pom! ini juga bakal dipentaskan di Singapura dan Les’ Copaque selaku penerbit mempunyai perancangan untuk membawa pementasan ini ke beberapa negara, terutama Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN