Buat julung kalinya, kegemilangan muzik nasyid bakal dikembalikan menerusi penganjuran konsert Nasyid Legenda 2022 yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini.
Konsert berskala besar yang dianjurkan Inteam Records itu bakal dipentaskan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Beberapa nama besar yang akan membuat penampilan pada konsert itu nanti adalah Nazrey Johani, Akhil Hayy, Rabbani, Hijjaz, Inteam, Shahir Zawawi dan ramai lagi.
Wakil penganjur, Muhammad Hazamin Harun, memaklumkan, idea untuk menganjurkan konsert tersebut tercetus ketika pihaknya membentangkan cadangan untuk memohon Dana Muzik Malaysia daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Alhamdulillah, permohonan kami untuk mendapatkan dana tersebut telah diluluskan. Dari situ, kami sepakat untuk mengumpulkan hampir kesemua penyanyi nasyid tempatan dan bergabung dalam konsert berskala besar ini.
“Sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan pada malam itu, diringi 10 hingga 12 pemuzik. Kami berharap konsert ini akan memberi impak dan menjadi penanda aras industri nasyid tempatan,” katanya.
Bercerita lanjut, Hazamin yang juga anggota kumpulan Inteam berkata, jualan tiket berjalan lancar dan hampir kesemuanya habis ditempah.
“Alhamdulillah, tinggal kurang daripada 20 peratus sahaja tiket yang masih belum terjual. Bagi tiket zon hadapan berharga RM250, RM100 dan RM50 semua sold out, manakala yang masih tinggal adalah tiket berharga RM200 dan RM150,” ujarnya.
Penghormatan buat Ustaz Asri
Disoal tentang keistimewaan konsert tersebut, selain persembahan nasyid daripada artis bertaraf legenda, turut dipersembahkan beberapa segmen istimewa seperti sketsa dan bacaan puisi.
“Kami akan membawakan sesi penghormatan istimewa untuk anggota kumpulan Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.
“Di samping itu, turut ditampilkan persembahan sketsa oleh Persatuan Kebajikan Sahabat Nada Murni dan bacaan puisi yang akan disampaikan Pak Dinie Juri,” jelasnya.
Mengulas tentang pemilihan artis, Hazamin berkata, ia dibuat berdasarkan pembabitan artis dalam tiga album yang sebelum ini diterbitkan Inteam Records.
“Pemilihan artis dibuat berdasarkan tiga album yang diterbitkan Inteam Records iaitu Nasyid Legenda melibatkan Ustaz Akhil Hayy, manakala Nostalgia Nada Murni pula mengundang kumpulan Rabbani dan Memori The Zikr menampilkan Nazrey Johani.
“Kami ada menjemput kumpulan Raihan untuk sama-sama membuat persembahan dalam konsert ini, namun mereka terpaksa memberikan tumpuan kepada konsert Garis Masa Raihan yang akan diadakan pada 26 November depan,” tambahnya.
Muzik nasyid kekal relevan – Akhil Hayy
Penganjuran konsert Nasyid Legenda 2022 menandakan muzik nasyid dan penggiatnya masih kekal relevan pada masa kini.
Akhil Hayy berkata, industri nasyid akan terus mengharum kerana ia meletakkan mesej mengagungkan Allah SWT dan keindahan Islam sebagai ajaran sebenar.
“Elemen nasyid adalah satu bentuk kesenian dalam menyebarkan mesej dakwah. Inilah perjuangan yang dibawa oleh kumpulan nasyid dan mereka yang menyanyikan lagu ketuhanan,” katanya.
Disoal tentang sambutan konsert berkenaan yang amat menggalakkan, Akhil berkata, perkara itu menandakan muzik nasyid masih diterima baik oleh peminat.
“Momentum nasyid itu sendiri meletakkan Allah SWT di hadapan, melebihi segala-galanya. Itulah kunci mengapa nasyid relevan dan apa sahaja penganjuran acara membabitkan penyanyi nasyid pasti mendapat sambutan dan tempat di hati pendengar.
“Datanglah apa juga dugaan, penggiat muzik nasyid tidak akan goyah kerana keyakinan kepada Allah itu melepasi segala-galanya,” ujarnya.
Harap melihat kehadiran anak muda – Munif Hijjaz
Anggota kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad pula berpandangan muzik dan konsert nasyid akan terus relevan sekiranya imejnya dipelihara dengan baik.
“Saya sudah lama dalam industri nasyid, sejak zaman Nada Murni. Sudah masuk 35 tahun.
“Perjuangan nasyid ini perlu diteruskan dan penggiatnya kena istiqamah untuk menjadikan muzik nasyid terus relevan.
“Imej nasyid itu juga perlu dijaga. Kami tetap dengan imej yang sama, berkopiah dan ada tata susila yang kami jaga, meskipun zaman sudah berubah,” katanya.
Munif pada masa sama, berharap muzik dan konsert nasyid akan terus menerima sokongan daripada pendengar.
“Saya harap, generasi baharu akan memberi sokongan kepada industri nasyid dan hadir ke konsert ini, bukan hanya generasi lama.
“Meskipun zaman sudah berubah, rama nasyid perlu kekal menjadi pilihan, terutama pada zaman yang mencabar sekarang,” ujarnya.
Asing penonton lelaki dan perempuan – Nazrey Johani
Bekas anggota Raihan, Nazrey Johani menyambut baik inisiatif Inteam Records yang akan melaksanakan pengasingan mengikut jantina pada penganjuran konsert itu nanti.
Kata Nazrey, usaha tersebut membuktikan Inteam peka dalam soal pergaulan dan mengambil berusaha untuk menjaga perkara tersebut.
“Saya difahamkan, ia ada dalam perancangan Inteam Records pada penganjuran konsert itu nanti.
“Saya memuji usaha ini. Sekurang-kurangnya, Inteam tidak mengabaikan soal pergaulan lelaki dan perempuan. Itu yang perlu kita buat.
“Bukan mudah untuk melaksanakannya kerana ada kawasan yang keadaan tidak membolehkan perkara itu dilaksanakan. Syabas kepada Inteam kerana masih menjaga perkara itu,” ujarnya.









