Kasihanilah pejuang Irama Malaysia – Noraniza Idris - Utusan Malaysia

Kasihanilah pejuang Irama Malaysia – Noraniza Idris

NORANIZA Idris.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIAK wajahnya jelas begitu sugul, menampakkan kekecewaan yang terbungkam di hati ketika tampil mengadakan sesi sidang media khas, malam kelmarin.

Noraniza Idris tahu sesi itu perlu dilakukan bagi merungkai kemelut yang membabitkan nama baiknya dalam industri hiburan, apatah lagi, ia dilihat bagaikan saling berkait.

Penyanyi berusia 54 tahun ini akhirnya terpaksa akur dengan situasi, selain memutuskan untuk menangguhkan konsert Malai Solo yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Umum tahu, selama ini Noraniza begitu mendambakan penganjuran konsert yang disifatkan sebagai persembahan berskala besar pertama sepanjang hayatnya sebagai anak seni.

Bagaimanapun, apabila tiba-tiba tular pelbagai berita, termasuk dakwaan terbabit dalam skim tawaran rumah kepada penggiat seni, tempias itu turut dirasai Noraniza.

“Tentulah, saya sangat kesal dengan berita yang tular. Saya tidak ada kena mengena dengan projek syarikat pemaju terbabit.

“Saya tidak boleh komen terlalu mendalam mengenai isu ini kerana ia membabitkan urusan peguam. Cukuplah, dikatakan, saya tidak ada kena mengena dengan isu projek itu. Begitupun, saya sangat kesal kerana hal ini telah menyebabkan usaha menganjurkan konsert terjejas,” katanya.

Menurut Noraniza, dia kecewa kerana konsert itu adalah usaha untuk melonjakkan muzik irama Malaysia ke standard tinggi, namun telah dicemari pelbagai isu yang membingungkan.

Pun begitu, dia tidak berputus asa untuk meneruskan hasrat itu, malah sedaya upaya cuba melihat segala yang berlaku dari sudut positif.

“Kalau saya sebut penangguhan, adakah ia bermaksud saya putus asa? Tidak bukan? Cuma saya kecewa, belum apa-apa lagi orang dah kata macam-macam sebagai contoh, persoalkan tiket mahal.

“Bayangkanlah Irama Malaysia ini begitu susah untuk naik dalam industri. Bila mahu diangkat ke standard tinggi, pelbagai isu pula timbul. Kasihanlah pejuang seni irama Malaysia macam saya ini.

“Konsert yang saya nak buat ini tidak sama macam konsert lain. Konsert Irama Malaysia tidak akan boleh dibuat pada nilai RM800,000 misalnya. Mesti sekurang-kurangnya RM1.2 juta atau RM1.5 ke atas,” katanya.

Tambah Noraniza, bukan dia menidakkan penganjuran konsert pada bajet rendah, tetapi ia berkaitan dengan standard dan kualiti.

“Kalau nak buat sekadar ada saja, bukan tidak boleh. Tetapi, kenalah logik kalau mahu persoalkan harga tiket. Saya tekankan soal kualiti pada persembahan, jadi masuk akal kenapa harganya sedikit tinggi.

“Kalau konsert penyanyi luar dikenakan harga tiket tinggi, kenapa pula ramai yang sanggup beli? Tetapi, konsert Irama Malaysia letak harga demi kualiti, ia menjadi pertikaian? Konsert belum bermula lagi, tidak ditonton lagi tetapi sudah menjadi pertikaian,” katanya.

Konsert skala kecil

Dalam pada itu, di sebalik penangguhan konsert, dia akan tetap fokus melakukan latihan, meskipun diberikan waktu berehat sementara strategi baharu disusun oleh pihak pengurusannya, MindOrder Sdn. Bhd.

Kata penyanyi lagu Dikir Puteri dan Ngajat Tampi ini, kemungkinan sebuah konsert berskala kecil akan diadakan menjelang akhir tahun ini, sebelum meneruskan konsert Malai Solo yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan. Mungkin kita akan adakan konsert berskala kecil dahulu dengan lokasi dan harga yang berbeza.

“Mungkin ada hikmahnya penangguhan konsert ini dibuat. Saya juga boleh ambil sedikit masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan yang terjejas apabila pelbagai isu timbul.

“Bila saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, selain Datuk Ramli MS benar-benar ada masa untuk bersama-sama menjayakan konsert Malai Solo, baru kita akan teruskan usaha ini. Pun begitu, latihan akan tetap dijalankan seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN