KUALA LUMPUR: Pernah menutup salun miliknya akibat terjejas dengan pandemik Covid-19, pendandan rambut terkenal, Chez Hamdan tidak menyangka pertemuan usahawan dan artis, Erna Elliyana Rosli kembali membakar semangat untuk meneruskan impian yang tertangguh.
Ia adalah menerusi usaha untuk mewujudkan salun pelbagai tarikan di bawah jenama ChezKamya Professional
yang mula beroperasi secara rasmi pada 20 Ogos lalu.
Menurut Chez, 36, atau nama penuhnya, Halimi Hamdan, kerjasama itu dilihat begitu signifikan kerana kedua-dua pihak memiliki kepakaran masing-masing.
“Saya bersyukur kerana pertemuan dengan Erna membuahkan semangat baharu untuk saya kembali membuka salun kecantikan. Ini bukan projek jangka pendek, tapi kerjasama selama-lamanya. Insya-Allah.
“Selain menjual produk masing-masing, kami juga menyediakan salun ini sebagai sebuah pusat pembelajaran kepada mereka yang berminat untuk belajar membuat rawatan kecantikan rambut.
“Di salun ini, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional selain tempat yang eksklusif termasuk beberapa kemudahan lain supaya pelanggan akan berasa gembira apabila berkunjung ke sini,”katanya.
Berkongsi lanjut, Chez berkata ia merupakan kerjasama yang bijak terutama dalam meningkatkan ekonomi kedua-dua belah pihak.
“Gandingan antara Kamya dan Chez Professional ini mula terjalin apabila saya mula berkenalan dengan pengasas Kamya Glow iaitu Erna sendiri.Dari situlah timbulnya idea untuk bekerjasama, memandangkan kecantikan dan kesihatan rambut sebenarnya saling berkait rapat,”katanya.
Dalam pada itu, menurut Erna, dia juga berbangga dengan kerjasama yang terjalin dengan sahabatnya, Chez dan melihat usaha ini mampu pergi lebih jauh di samping meraih kepercayaan pelanggan.
Malah, menerusi khidmat yang disediakan seperti, memotong rambut, tatarias rambut, ‘relaxing and
rebonding’, rawatan Keratin Brazilian, merawat dan memperbaiki struktur rambut, spa rambut dan pelbagai lagi, salun itu mampu menjadi pusat sehenti untuk pelanggan.
“Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitikberatkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan,”katanya.
Antara selebriti yang sering mendapatkan khidmat dandanan rambut daripada Chez seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi.
Untuk maklumat lanjut di Instagram @Chezkamya.professional.










