Faztival Fazura 2022 pertarungan vokal Malaysia, Indonesia - Utusan Malaysia

Faztival Fazura 2022 pertarungan vokal Malaysia, Indonesia

KONSERT Faztival Fazura 2022 menyatukan penyanyi Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu mencatat satu lagi sejarah bermakna buat pelakon dan usahawan, Nur Fazura apabila kali pertama menganjurkan konsert mega, Faztival Fazura 2022.

Dihadiri 6,000 penonton yang memenuhi Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tersebut menyaksikan barisan nama besar berkongsi pentas untuk menghiburkan khalayak yang dahagakan persembahan hebat.

Konsert bermula 8.30 malam itu dibuka dengan persembahan bertenaga penyanyi legenda, Datuk M. Nasir yang membawakan tiga lagu termasuk, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mentera Semerah Padi.

Persembahan sifu industri seni itu digamatkan dengan selingan aksi silat yang dipersembahkan pelakon yang juga suami Fazura, Fattah Amin.

Nyanyian M. Nasir tidak menghampakan, meskipun hanya sempat menggamatkan dewan pada sesi pembukaan.

Gegaran Axiata Arena diteruskan dengan penampilan penyanyi bersuara serak-serak basah, Amir Masdi yang menyanyikan tiga lagu hits, termasuk Kau Sakiti dan Esok.

Suasana stadium bertukar semakin gamat dengan aksi mantap Ratu Rock negara, Ella Aminuddin.

Tampil dalam persalinan serba hitam, Ella, pada usia 56 tahun tetap berbisa dan beraksi penuh bertenaga. Tiga lagu malar segar dipersembahkan antaranya Kesal dan Layar Impian bergema dalam stadium.

Zizi Kirana tidak kurang hebatnya apabila menampilkan kelainan pada lagu ketuhanan, Purnama yang dipersembahkan bersama anggota kumpulan UNIC, Fakhrul Radhi.

Zizi tidak ketinggalan membawakan lagu popularnya, Eh! dan sebuah lagu baru, Pijak.

Kemunculan kumpulan Ruffedge menambahkan lagi gamat suasana menerusi rangkaian lagu popular mereka seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu dan Khayalan.

Datuk Awie tetap menyengat ketika mempersembahkan lagu Layang-Layang Putus Talinya, Penjara Janji dan Terima Kasih.

Awie antara yang paling menyerlah dan menerima pujian dengan persembahan vokal yang masih ‘bertaring’.

Kehadiran penyanyi negara seberang, Mulan Jameela tidak kurang hebatnya. Mulan tampil memukau, mendendangkan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi, Wonder Woman dan Sinaran.

Dua persembahan akhir pada malam itu bagaikan melengkapi perjalanan konsert. Fazura tidak melepaskan peluang menghiburkan peminat dengan tiga lagu, Bisa Apa, Hancur Aku dan Sayangi Dirimu yang disampaikan secara medley.

Pelakon itu juga menyanyikan lagu Jika Cinta Allah yang dibawakan bersama penyanyi asal, Ahmad Dhani.

Tirai Faztival Fazura 2022 dilabuhkan dengan persembahan kemuncak oleh Ahmad Band yang buat julung kali membuat persembahan di ibu negara.

Band terkenal Indonesia itu meledak pengakhiran malam dengan persembahan enam lagu antaranya Distorsi, Madu 3 dan Aku Cinta Kau & Dia.

Rekod MBOR

Konsert Faztival Fazura 2022 mencatat kejayaan tersendiri apabila dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dicatat pada malam yang berlangsung penuh gilang gemilang itu.

Pelakon Pisau Cukur itu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan The Largest ‘Tudung Fazura’ Gathering in an Event dan Tudung Bawal terbesar pernah dihasilkan di Malaysia.

Hampir menitis air mata, Fazura meluahkan syukur atas kehadiran peminat yang sanggup membeli tiket semata-mata untuk memberi sokongan kepada konsert tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×