Ujian diturunkan bagi mengukur sejauh mana keimanan seseorang. Tidak ada manusia terlepas dari ujian kerana iafitrah kehidupan. Ia boleh datang dalam bentuk kesusahan atau kesenangan.
Tabiat manusia apabila diuji dengan kesenangan ialah mudah lalai dan leka. Diberi kecantikan, ia bongkak. Diberi kesihatan yang baik, berbuat maksiat. Dikurniakan anak dan pengikut ramai, lupa diri.
Maksiat dan dosa juga satu bentuk ujian Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Ada manusia yang tidak sengaja terlanjur melakukan dosa kerana alpa. Manusia begini terlanjur kerana lalai.
Ada juga manusia yang melakukan dosa kerana kejahilan. Dia tidak tahu dosa yang dilakukan sehinggalah dia diberi hidayah oleh Allah SWT.
Dalam masa yang sama, ada pula manusia berbuat dosa kerana desakan atau ajakan teman dan rakan, mudah terpengaruh dan akhirnya terjebak dengan dosa yang dilakukan oleh orang lain.
Ada pula manusia yang memang sudah siap siaga memperincikan tindakan dosa yang akan dilakukan.
Golongan ini dihina Allah kerana dia berbuat dosa dalam keadaan sedar dan melakukan perancangan melakukan maksiat secara terang-terangan.
Syaitan membuka jalan ke arah dosa, tapi manusialah yang melaksanakan perancangan maksiatnya itu.
Ketika manusia melakukan maksiat dan kufur kepada Tuhan, ketika itulah syaitan berlepas diri daripadanya.
Apabila manusia melakukan maksiat, secara fitrahnya dia akan menyembunyikan dosanya dari pengetahuan umum kerana perasaan malu.
MENYEMBUNYIKAN DOSA
Menyembunyikan dosa dan bertaubat dalam diam adalah perkara dituntut kerana manusia tidak diminta untuk menghebahkan dosa apatah lagi berbangga dengan dosa.
Malangnya ada segelintir manusia yang berbangga dengan dosa dan menyokong perbuatan maksiat secara terbuka. Ini kemungkaran nyata dan wajar dihentikan kerana dosa tidak seharusnya dihebahkan dan dikongsi dengan orang lain. Malah, perlakuan dosa tidak wajar diperincikan untuk tatapan umum.
Melakukan dosa itu satu maksiat, berbangga dan berkongsi cara melakukan dosa menambah lagi beban dosa ditanggung.
Perbuatan berkongsi dosa dan maksiat terutama di media sosial wajar dihentikan segera.
Perkongsian dosa peribadi atau berita akhbar tentang maksiat tidak seharusnya dikongsikan secara terbuka dengan perincian tanpa tapisan sebab lumrah manusia lebih suka membaca cerita berkaitan indahnya maksiat berbanding mengambil pengajaran darinya.
Namun, jika tujuan perkongsian pengalaman terlanjur melakukan maksiat adalah untuk memberi pengajaran dan ibrah, ia harus dilakukan dengan beberapa syarat. Pertama: Perkongsian perlulah dibuat dengan rasa penyesalan dan keazaman tidak mahu mengulangi perbuatan itu. Perkongsian tidak boleh disertai dengan rasa seronok dengan kemungkaran dilakukan.
Kedua: Perkongsian maksiat tidak boleh diperincikan kepada pendengar, penonton dan pembaca. Ini untuk mengelakkan orang awam mempelajari cara melakukan maksiat tersebut. Haram menunjuk ajar cara melakukan maksiat dan dosa.
Ketiga: Perkongsian tidak boleh dilakukan semberono tanpa mengambil kira pihak yang mendengar. Adalah lebih baik menyembunyikan cerita sekiranya kemudaratan lebih besar akan terjadi.
Perkongsian hanya dilakukan dalam keadaan darurat dengan parameter yang ketat.
Seorang sahabat Nabi SAW, Nawas Sam’an RA pernah bertanya kepada Baginda mengenai apakah dimaksudkan dengan dosa. Baginda bersabda: Dan dosa itu sesuatu yang diragui dalam hati kamu dan engkau tidak suka diketahui orang lain. (HR Muslim).
Maka, menyembunyikan dosa dan benci dengan maksiat dilakukan adalah adab pelaku maksiat yang harus dijaga sekiranya benar-benar ikhlas bertaubat.
WAJIB TUTUP AIB
Kewajipan menutup keaiban sendiri disebut dalam sebuah hadith riwayat Bukhari “Setiap umatku akan mendapat pengampunan kecuali mujahirin (orang terang-terangan berbuat dosa). Dan termasuklah mereka yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang melakukannya (dosa) pada malam, kemudian pada pagi dia menceritakannya, padahal Allah SWT menutupi perbuatan itu.”
Pendosa wajib segera bertaubat tanpa bertangguh kerana ia bertangguh taubat adalah satu dosa.
Dalam masa yang sama, penangguhan taubat akan mendorong pendosa menormalisasikan dosa dan mengambil enteng dosa yang dilakukan. Ia sejajar dengan firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha. (Surah Tahrim: 8).
Ulama mentafsirkan taubat nasuha sebagai keazaman bersungguh-sungguh menghentikan maksiat dengan segera, menyesal dengan keterlanjuran dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Ini berdasarkan kata-kata Saidina Umar bahawa taubat itu ialah bertaubat dari dosa dan tidak akan mengulanginya selama-lamanya.
Keazaman untuk tidak mengulangi dosa bukan satu perkara yang boleh diambil enteng sebaliknya mereka harus mempertingkatkan ibadah, zikir kepada Allah SWT dan sentiasa melakukan kebaikan dengan berdoa agar kebaikan itu boleh menjadi kaffarah kepada dosanya.
Sekiranya dosa itu melibatkan manusia lain, dia harus meminta maaf dan memulangkan hak yang diambil sekiranya ia berkaitan dengan harta atau hak manusia lain.
Manusia yang pernah berbuat dosa diberi peluang bertaubat kerana orang yang bertaubat dari maksiat adalah golongan dikasihi Allah SWT.
Pendosa wajib menyesal dengan erti kata sebenar.
Namun penyesalan dan kesedihan bukan bermaksud pendosa selama-lamanya akan merasa rendah diri dan lemah hingga tidak mampu lagi hidup sebagai manusia biasa.
Penyesalan dan takut kepada Allah kerana dosa dilakukan bukan bermakna kita sudah putus harapan untuk hidup sebaliknya hidup harus diteruskan tetapi perlu lebih berhati-hati lagi dalam menjalani kehidupan seharian.
Kesilapan lampau jadikan pengajaran dan panduan agar tidak terjebak sekali lagi dalam maksiat yang sama.
Manusia beriman tidak akan sekali-kali jatuh ke lubang yang sama dua kali.
Sentiasalah berusaha, berazam dan berdoalah agar iman kita sentiasa dipelihara. Tingkatkan usaha dan jangan sesekali lupa untuk berdoa dan bertawakal atas segala taubat dan ibadat kita lakukan.










