Kreativiti dua pelajar perempuan Sekolah Menengah (Persendirian) Perempuan Cina Pulau Pinang berjaya merangkul gelaran juara melalui hasil ciptaan peranti bagi memantau senaman, sports steward dalam Cabaran Inovasi TikTok UCSI Student Life Hacks baru-baru ini.
Kedua-dua pelajar berusia 18 tahun itu, Lee Shao Xuan dan Tan Ming Qi berhasil menambat hati juri dengan alat inovasi mereka yang berupaya menganalisa serta membetulkan postur tubuh ketika bersenam.
“Kami suka sains dan ilham mencipta alat ini datang daripada sahabat kami, Cheng Xin yang cedera ketika latihan gimnastik akibat masalah postur tubuh kurang tepat. Kami lihat di pasaran kurangnya aksesori sukan yang membantu dalam membetulkan postur badan ketika bersenam.
“Kami uji alat ini dengan beberapa rakan dan mereka dapati ia berguna apabila alat ini memberi peringatan tentang postur yang salah dan kami percaya alat ini dapat membantu mengelakkan kecederaan kecil ketika bersenam,” kata Shao Xuan.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta pengecualian penuh yuran pengajian di Universiti UCSI.
Pelajar ini turut merancang menambah baik peranti tersebut dengan memasukkan lebih banyak senaman serta beberapa spesifikasi lain yang perlu.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Persatuan STEM ebangsaan Prof. Datuk Dr. Noraini Idris berkata, cabaran dianjurkan UCSI melalui Fakulti Sains Farmaseutikal dengan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan itu membuka ruang untuk melahirkan minat pelajar terhadap pendidikan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“STEM adalah nadi kepada pembangunan inovasi dan generasi masa depan perlu kuasai untuk cemerlang dalam sektor industri yang kritikal.
“Dengan memberi tumpuan kepada inovasi, UCSI telah menanam minat terhadap STEM dan saya harap dapat lihat lebih banyak usaha seperti ini,” katanya yang juga Penasihat merangkap Profesor Kehormat Pusat STEM Universiti Malaya (UM).
Pertandingan yang membuka ruang kepada pelajar mengetengahkan idea dan kreativiti mereka untuk menyelesaikan masalah sebenar di sekeliling dengan sains itu, menerima penyertaan daripada 55 buah sekolah dari seluruh negara.










