Memanah bentuk jati diri individu

Memanah bentuk jati diri individu

memanah
PESERTA wanita turut tidak melepaskan peluang untuk cuba memanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sukan memanah tradisional kini dilihat semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Manakan tidak, lewat kebelakangan ini kelab sukan memanah tradisional sudah banyak ditubuhkan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Pengasas pusat tahfiz sukan pertama Malaysia, Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY) Abdullah Khairi Haroon, 53, dari Kepala Batas berkata, selain merupakan sukan sunnah, ia juga dilihat mampu membentuk jati diri individu dalam mengharungi kehidupan seharian.

“Penerimaan atau sambutan dalam kalangan ibu bapa yang memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai sukan memanah tradisional seawal usia adalah sangat memberangsangkan.

“Malah, pada setiap tahun PAKSY menganjurkan pertandingan memanah tradisional terbuka kepada semua peringkat iaitu kategori lelaki dan wanita dewasa, remaja dan juga cilik. Alhamdulillah saban tahun penyertaannya meningkat.

“Selain itu, pada setiap hari PAKSY tidak putus-putus menerima tempahan dari orang ramai untuk mengadakan latihan memanah yang dilakukan secara indoor,” katanya kepada Utusan Malaysia pada pertandingan memanah tradisional PAKSY Indoor Challenge dekat Lubok Meriam, Kepala Batas, baru-baru ini.

Perlukan kemahiran yang tinggi
Beliau yang merupakan penceramah bebas berkata, antara kebaikan sukan memanah ialah dapat menjadikan individu lebih fokus daripada segi mental selain mampu menajamkan minda.

“Sukan memanah tradisional ini memerlukan kemahiran yang tinggi kerana ia banyak melibatkan penggunaan minda dan mata hati. Malah jika kemahiran itu diasah seawal usia lima tahun amatlah digalakkan.

“Hal ini kerana ia mampu memenuhi ruang masa kanak-kanak itu sendiri untuk melakukan perkara positif dari segi fizikal dan mental seterusnya dapat menghindarkan diri dari perkara sia-sia contohnya bermain gajet,” katanya.

Tambahnya, hasil masa berkualiti yang diluangkan ibu dan bapa bersama anak-anak pula mampu merapatkan ukhuwah sesama keluarga seterusnya meningkatkan motivasi anak-anak dalam mencapai kejayaan.

Memanah tradisional lebih mencabar
Sementara itu, ibu kepada dua orang cahaya mata Anisah Mat Noor,44, berkata, perbezaan antara sukan memanah tradisional dan moden (recurve) adalah dari segi alat bantuan memanah.

Baginya, kaedah memanah tradisional lebih mencabar tetapi menyeronokan.

“Untuk alat memanah moden, pemanah memerlukan alat bantuan seperti teropong, tempat meletak anak panah, alat imbangan busur serta alatan bantuan lain sebagai bantuan untuk melepaskan anak panah dengan lebih lancar.

“Berbanding alat memanah tradisional pula, pemanah hanya mempunyai busur, selebihnya bergantung kepada teknik serta ketepatan mata hati sebelum melepaskan anak panah.

“Di situlah cabaran sebenar wujud kerana pemanah perlu membuat pengiraan tepat, menggunakan mata hati dalam memastikan anak panah mengenai sasaran tanpa alat bantuan yang lain. Ia lebih kepada mendidik hati untuk lebih berserah kepada Allah dan reda dalam menerima sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau memiliki lebih 10 tahun pengalaman dalam memberi pendedahan kepada anak-anaknya mengenai sukan memanah tradisional.

Guru memanah tradisional yang juga Naib Presiden Akademi Memanah Ar-Rayyan Bertam, Muhammad Afandy Abdullah, 68 berkata sukan memanah berupaya membentuk sahsiah individu menjadi lebih beretika, menjaga adab serta mendidik diri untuk lebih berdisiplin.

“Dalam sukan memanah semestinya kena jaga adab dan etika. Selain itu, adab dengan tuhan juga harus dijaga iaitu mendirikan solat dan mempelajari al-Quran. Ia secara tidak langsung dapat melatih pemanah untuk menjadi lebih berdisiplin lebih-lebih lagi bagi anak muda.

“Bagi golongan muda, sukan ini bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan, ia juga berkait rapat dengan rangsangan pemikiran yang lebih tajam dan penaakulan yang tepat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×