TIADA yang lebih bermakna buat penyanyi terkenal Indonesia, Kunto Aji apabila konsert sulungnya di Kuala Lumpur mendapat sambutan di luar jangkaan.
Pada sesi selingan konsert Fabulous Friday : Kunto Aji di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) itu, Kunto atau nama sebenarnya, Kunto Aji Wibisono, 35, hampir menitiskan air mata melihatkan sambutan penonton.
Kunto yang ditemui usai konsert memaklumkan, dia terlalu puas, pada masa sama terkejut dengan sambutan diberikan peminat.
“Saya tidak menyangka dan hampir menangis mengenangkan kesanggupan peminat datang memberi sokongan. Hati saya cukup tersentuh.
“Selepas banyak perkara yang berlaku kepada saya tahun ini, akhirnya, malam ini ada sesuatu yang dapat saya raikan,” katanya.
Jujur diakui, persembahan Kunto pada malam itu tidak menghampakan.
Malah, sepanjang lebih dua jam, dia sepenuh hati menghiburkan peminat yang setia menanti kemunculan sulungnya.
Tidak sedikitpun terlihat cacat-cela pada persembahan yang menjadi momen paling indah buat semua yang memenuhi ruang di DFP.
Buat peminat tegar, malam tersebut adalah detik untuk meraikan seorang Kunto Aji yang selama ini banyak memberi inspirasi menerusi lagu yang dihasilkan dan dinyanyikannya.
Secara eksklusif, penyanyi kelahiran Yogyakarta itu menyanyikan lebih 14 lagu. Antara yang termuat seperti Pilu Membiru, Suara Gema, Jakarta Jakarta, Konon Katanya, Akhir Bulan dan banyak lagi.
Kunto, berkata, persediaan untuk konsert tersebut dibuat dalam masa yang terlalu singkat, iaitu sekitar satu minggu.
“Ini bukan persembahan biasa. Ada konsep, pemilihan lagu dan babak yang perlu kami selesaikan dalam masa yang terlalu singkat. Tentunya dalam proses itu, berlaku percanggahan pandangan dan saling berbagi idea.
“Saya berpuas hati kerana akhirnya persembahan malam ini menjadi. Sambutan peminat terlalu luar biasa pada saya,” kongsinya.
Menjawab tentang ketiadaan malam kedua untuk peminat yang tidak berpeluang membeli tiket menyaksikan konsert tersebut, Kunto memaklumkan, perkara itu tidak dapat dilunaskan ekoran kekangan masa.
“Saya ada terfikir sekiranya konsert ini boleh dibuat dua malam. Tetapi, amat mendukacitakan apabila tidak dapat dilakukan atas kesuntukan waktu.
“Saya tidak nafikan, agak khuatir sekiranya konsert saya tidak mendapat sambutan. Ternyata, tiket habis dijual dan di luar jangkaan saya.
“Saya berharap dapat kembali lagi ke sini untuk membuat konsert dengan persiapan dan persediaan yang lebih mantap lagi,” ujarnya.










