ADA nada tegas di hujung suara Noraniza Idris apabila dia menjawab satu demi satu pertanyaan berhubung penganjuran konsert Malai Solo yang akan diadakan pada 21 hingga 23 Oktober ini.
Ya, bukan sehari, tetapi konsert yang diuar-uarkan bertaraf antarabangsa itu telah disusun selama tiga hari di Panggung Sari, Istana Budaya, khusus buat peminat muzik irama Malaysia.
Mungkin ada yang beranggapan, Noraniza berangan-angan besar untuk merealisasikan konsert itu memandangkan ketika ini, pelbagai konsert lain begitu rancak mengambil tempat di kebanyakan tempat di ibu kota.
Dalam kemeriahan itu, Noraniza dilihat berani mengambil peluang dengan menyelitkan sebuah konsert irama Malaysia berskala mega.
Lebih penting, konsert ini buat Noraniza mempunyai matlamat tersendiri iaitu membuktikan irama Malaysia relevan untuk dipentaskan dalam konsert besar.
“Siapa yang kenal, pasti tahu saya sudah biasa buat tanggungjawab sosial korporat (CSR) seni budaya. Ia sebagai pulangan saya kepada komuniti. Begitu juga dengan penganjuran konsert ini.
“Malai Solo akan menjadi konsert pertama dan terakhir Noraniza Idris. Saya tidak tahu berapa lama lagi akan hidup dan kalau nanti mati, tetapi tidak sempat untuk capai matlamat dalam industri, terasa berat hati.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak yang berada di belakang saya, Insya-Allah, rezeki itu ada,” katanya.
Mengesahkan kos keseluruhan konsert Malai Solo mencecah angka RM3 juta, Noraniza sedar, nilai itu akan menjadi bualan ramai, selain menimbulkan pertikaian.
“Untuk angkat budaya, kita kena letak harga yang tinggi. Kita kena perlihatkan pada orang, mahalnya seni kita. Dulu, ke sana ke mari saya usahakan, termasuk menghantar surat ke pelbagai pihak untuk minta dana bagi merealisasikan usaha ini.
“Saya masih ingat bagaimana saya tidak dilayan. Saya macam orang bodoh! Orang tak pandang saya. Tetapi syukur, akhirnya ada pihak yang sudi berikan dana dan membuatkan saya yakin untuk teruskan hasrat ini.
“Siapa yang kutuk-kutuk irama Malaysia tidak relevan untuk dibuat konsert berskala besar, kita tengok nanti,” katanya.
RM3 juta mencakupi seluruh aspek
Menurut Noraniza, konsert Malai Solo akan menggunakan khidmat 300 individu, membabitkan pengarah muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS, bersama barisan pemuzik kelas A.
Selain itu, ia turut akan melibatkan kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap, artis budaya jemputan dan kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan.
“Konsert ini berdurasi 120 minit tanpa henti. Ada transisi kita cuba ketengahkan, tetapi tidak berhenti kerana saya tidak mahu momentum tontonan jatuh. Bila bercakap tentang konsep, tidak boleh melibatkan penari yang sedikit.
“Pentas pula sangat luas. Jadi, macam mana nak memperlihatkan persembahan nampak gah? Peranan utama adalah penglibatan dan karakter penari. Maksudnya, jika ada segmen lagu Orang Asli, sudah tentu ada elemen tersendiri dan ia perlu membabitkan orang luar yang mahir mengikut keperluan konsep.
“Selain itu, ada elemen membabitkan masyarakat Melayu dan peranan kumpulan anak muda. Kepelbagaian elemen dari kelahiran sampai dewasa, jadi mesti ada pelbagai karakter dikeluarkan.
“Begitu juga dengan Sarawak yang ada elemen khas, jadi saya tampilkan mereka yang betul-betul mahir dengan tarian dan konsep etnik itu,” katanya.
Tambah penyanyi berusia 54 tahun itu, konsert ini menerapkan konsep seni membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura.
“Untuk itu, kita juga akan bawa pendikir hebat dari Singapura. Kalau di Kelantan, ramai pendikir yang otai, Singapura pula banyak budak muda. Jadi, kami gabungkan dua generasi seramai 60 orang untuk dua kumpulan.
“Boleh dikatakan, jumlah mereka yang terbabit tidak kurang dari 300 orang, termasuk pemuzik, artis budaya utama dan undangan. Kami akan selaraskan pergerakan keluar masuk dan masing-masing ada peranan tertentu,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Noraniza, pemilihan nama Malai Solo adalah simbolik kepada persembahannya yang disulam dengan kepelbagaian budaya, selain bakal menyaksikan kemeriahan di pentas dengan dipenuhi segerombolan penari.
Definisi Malai, kongsinya, merupakan sekuntum bunga emas yang diletakkan di lembing pahlawan suatu ketika dahulu.
“Malai adalah bunga yang disulam, seperti budaya kita ini. Ibarat perjalanan menelusuri budaya dari satu kesenian ke satu kesenian yang lain. Seni dan budaya ini ibarat bunga emas atau khazanah yang sangat berharga. Solo itu saya maksudkan diri sendiri.
“Banyak saya dengar, orang selalu kaitkan saya dengan segerombolan penari. Bila mereka kata begitu, secara tidak langsung, mereka sudah nampak identiti saya di situ. Jadi, itu adalah perkara pertama saya akan penuhi.
“Kalau lihat pada persembahan sebelum ini, saya keluar dengan enam etnik terbesar di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Kemudian, ada sub etnik seperti Jawa, Minang dan pelbagai lagi.
“Dalam persembahan nanti, saya akan sesuaikan dengan konsep fiesta, mistik dan bagaimana untuk diketengahkan menjadi kisah dalam lagu yang meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya.
Noraniza juga yakin persembahan itu bakal menjadi konsert yang luar biasa kerana melibatkan kerjasama kumpulan kreatif yang hebat.
Paling utama, Noraniza menjanjikan aspek ekstravaganza, selain meletakkan kepercayaan kepada Ramli MS atau Tok Ram dari sudut gubahan dan komposisi lagu.
“Saya percaya kebolehan Tok Ram. Dia orang industri yang ikhlas dan jujur memperjuangkan muzik. Dia suka meneroka dan bereksperimen dalam muzik.
“Dia tahu, saya ada lagu yang dicipta Allahyarham Pak Ngah. Tetapi, dia tidak menjadikannya seperti lagu yang biasa didengar. Boleh dikatakan, susunan muzik Tok Ram sangat eksklusif dan dia sangat cerewet,” ujarnya.
Jualan tiket mula dilancarkan pada 19 Ogos lalu melalui www.ilassotickets.com dengan harga VVIP Awallah Dondang RM1,599, VIP Dikir Puteri RM899, Intan Payung RM399 dan Hati Kama RM299.











