Kekecewaan, harapan, cinta Indah Ruhaila - Utusan Malaysia

Kekecewaan, harapan, cinta Indah Ruhaila

INDAH mengharapkan tuah berpihak kepadanya menerusi kelahiran single terbaru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIANYA dalam industri bukan sekejap. Hampir 15 tahun lamanya, bahtera milik Indah Ruhaila melayari lautan seni. Namun, entah di mana silapnya ada yang beranggapan dia kurang menyerlah.

Tidak menafikan, malah tampak tenang tatkala melontarkan jawapan, Indah mengakui, dia memang kurang mendapat perhatian. Nadanya sedikit kecewa, meluahkan apa yang terbungkam dalam hati.

“Kecewa itu semestinya ada. Tak boleh tipu. Saya menyanyi bukan sekejap, tetapi mungkin kurang mendapat perhatian. Tetapi, saya percaya kepada rezeki. Apa pun, berbalik kepada perancangan Tuhan.

“Kadang-kadang bila tengok ada artis baharu senang popular, timbul tanda tanya juga dalam diri saya. Tetapi, saya pujuk balik hati. Rezeki orang lain untuk lebih ke hadapan.

“Mungkin juga sekarang zaman media sosial. Jadi, lebih mudah tular. Saya percaya kepada bakat. Mungkin sebab itu juga, saya masih bertahan,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Pudar ini.

Ditanya adakah populariti yang menjadi dambaan, Indah pantas menggeleng kepala. Baginya, populariti adalah bonus yang hadir dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Saya selesa begini. Kalau popular sangat pun susah. Sejujurnya, saya lebih senang jadi orang biasa. Kalau orang nyanyi lagu saya, sudah berbunga hati. Rasa dihargai sangat. Tak minta lebih.

“Cukuplah orang kenal. Saya nak berjalan, bercuti pun senang. Orang percaya bakat dan dapat cari rezeki, itu sudah mencukupi,” katanya.

Namun, jauh di sudut hatinya, dia mengidam untuk beraksi lagi di pentas Anugerah Juara Lagu, mengulangi kehebatan persembahannya ketika menyampaikan lagu Percayalah pada tahun 2014.

“Kalau difikirkan, saya menyanyi jauh lebih lama, biarpun mula aktif sekitar tahun 2008. Teringin juga beraksi lagi di pentas berskala besar. Rangkul trofi Anugerah Industri Muzik, insya-Allah satu hari nanti,” katanya.

GERUN DENGAN AJAI

Pertama kali berkolaborasi dengan komposer tersohor, Ajai menerusi projek khas, All My Heart, Indah tidak boleh menyembunyikan keterujaannya. Namun, pada masa sama, dia juga gerun untuk bekerja dengan komposer itu.

“Ajai bukan nama kecil dalam industri. Semua orang kenal dan gerun. Iyalah, dia nampak macam garang sahaja. Masa mula-mula terima tawaran memang excited. Cuma, bila fikir balik, takut pun ada.

“Tetapi, rupa-rupanya, abang Ajai ini orangnya sederhana. Pemurah pula itu. Kerja dengan dia mudah. Telinga abang Ajai ini lain sikit. Dia suka orang yang ada tone. Dia cakap, ada ‘barang’!” katanya.

Bercerita lebih lanjut, All My Heart berkisar tentang luahan hati seseorang yang mengharapkan pasangannya memberi sepenuh perasaan cinta sama sepertinya.

Malah, Indah juga memilih konsep hitam putih untuk video muzik demi menyampaikan isi tersirat yang tertulis dalam lirik lagu tersebut.

“Apa yang saya harapkan, lagu ini diterima ramai. Sudah lama saya tidak keluar dengan lagu balada,” katanya.

Ditanya tentang konsert, Indah mendedahkan, dia mempunyai perancangan ke arah itu, tetapi setakat ini, semuanya bergantung kepada pihak pengurusan dan penganjur.

“Nak cakap lebih pun tidak boleh sebab masih dalam perancangan. Cuma, idea untuk menggabungkan saya dengan beberapa penyanyi wanita dalam satu konsert itu sudah ada. Kita tunggu dan lihat,” katanya.

TAK TERTEKAN SOAL ANAK

Sudah berulang kali soalan tentang anak ditanya, namun Indah tetap menjawab dengan senyuman. Dia tahu, status sebagai selebriti tidak dapat lari daripada berbicara soal peribadi dan nilai hiburannya.

“Sudah lima tahun saya mendirikan rumah tangga dan sepanjang tempoh itu juga, memang soalan sama ditanya. Bukan hanya rakan media, malah ada sahaja orang terdekat yang bertanyakan soalan sama.

“Saya dan suami tidak mahu terlalu tertekan fikir soal anak. Cuma, tidak dinafikan, bila duduk seorang diri, kita akan terfikir juga. Lagi-lagi kalau orang bertanya.

“Kami serahkan soal ini kepada Tuhan. Dia yang tahu bila waktu sesuai untuk kami menimang cahaya mata. Untuk cuba rawatan tertentu, mungkin belum masanya lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN