Berhenti rosakkan industri muzik - Diddy Hirdy - Utusan Malaysia

Berhenti rosakkan industri muzik – Diddy Hirdy

DIDDY dan Awie kecewa dengan jutawan kosmetik yang sengaja mencetus kontroversi hingga mencemar industri hiburan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan dangkal segelintir jutawan kosmetik yang sering menyajikan gimik murahan dan mengaibkan membuatkan penyanyi yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Diddy Hirdy khuatir dengan masa depan industri hiburan.

Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdy Muhid berkata, trend jutawan kosmetik yang semakin galak menghasilkan lagu dan mencetuskan pelbagai kontroversi sehingga agamawan turut memberikan nasihat dan teguran  membuatkan dia kecewa.

“Saya faham apabila legenda rock tanah air, Datuk Awie  khuatir dengan masa depan industri seni tempatan yang dikotori kandungan dangkal golongan berkenaan. Senario industri muzik semasa seakan diserang dengan ‘virus’ yang seperti tiada penawar. Ia adakalanya menyerang ikut musim dan agak sukar dijangka.

“Saya pernah menulis artikel di Upster by Utusan Online, beberapa tahun lalu berkenaan trend ini. Ketika itu, saya melihatnya sebagai perkara biasa dan bukan ancaman kepada industri muzik. Mereka boleh diklasifikasikan sebagai penyanyi atau artis komedi yang menghasilkan lagu sebagai hiburan ringan.

“Namun, saya mula mengubah fikiran apabila melihat mereka semakin galak menghasilkan lagu yang mencetuskan pelbagai kontroversi sehingga agamawan tidak berhenti-henti memberikan nasihat dan teguran,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Diddy menerusi hantaran sama berkata, dunia yang kini tiada sempadan memudahkan karya seni, terutama muzik untuk  ‘pergi’ ke seluruh pelosok dunia. Sebagai contohnya, lagu nyanyian penyanyi Russia yang diterima dan viral di Malaysia hanya kerana liriknya berbunyi seakan-akan perkataan dalam Bahasa Melayu.

“Dengan kuasa viral, tak kira lagu apapun, akan ada peluang melangkaui pasaran muzik luar Malaysia. Sekiranya ini terjadi kepada lagu nyanyian jutawan kosmetik,  ia sedikit sebanyak memberi gambaran  tidak elok pada industri muzik tanah air. Pada  pandangan orang luar, industri kita seakan-akan ketandusan bakat atau karya yang baik,” katanya.

Penyanyi lagu Bidadari Hati itu turut menyeru golongan terbabit supaya berhenti daripada terus melakukan kerosakan supaya industri seni dapat terus membangun dan dihormati.

“Zaman sekarang sudah berubah. Ada duit, kuasa, pangkat, nak jadi apa pun boleh. Itu semua pakej untuk menjadi insan yang kalis kritikan yang berasas, apatah lagi kecaman liar. Sedih.

“Adalah agak baik dan mulia untuk membendung trend yang menggila seperti ini daripada terus berlaku. ‘Virus’ seperti ini bukan sahaja ‘melemahkan’ dan menganggu sistem serta ekosistem industri muzik, bahkan terang-terangan membawa nilai yang bertentangan dengan orang Timur dan Malaysia sebagai negara Islam.

“Kesian penggiat yang jujur dan bersungguh-sungguh melakukan kerja seni, menyampaikan mesej yang baik dalam karya mereka serta membangunkan industri muzik,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya