SEJAJAR dengan bulan kemerdekaan, sebuah lagi naskhah filem patriotisme dihasilkan penggiat seni tempatan.
Selepas impak dan fenomena yang tercetus menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, penonton kini mempunyai satu lagi pilihan yang mampu menyemarakkan semangat dan jati diri bangsa menerusi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.
Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See ini merupakan naskhah yang boleh dibanggakan kerana tidak mudah menghasilkan sebuah karya yang menyentuh mengenai ketenteraan, apatah lagi turut memfokus kepada penggunaan aset negara.
Hal ini diakui Zulqarnain yang memperuntukkan empat tahun untuk memastikan segala proses sehingga kelulusan penayangan filem diberikan.
“Kami memulakan rangka filem ini sekitar 2018. Namun, selepas itu terpaksa berdepan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi sepanjang dua tahun itu banyak cabaran yang dilalui.
“Kos filem ini boleh dikatakan amat tinggi, namun kami enggan dedahkan jumlahnya. Apa yang penting, kami sangat berbangga dan bersyukur kerana mendapat sokongan penuh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk penggunaan aset mereka,” katanya.
Menurut Zulqarnain, filem ini turut memberikan cabaran lain apabila banyak babak terpaksa dilakukan ketika musim hujan.
“Ketika penggambaran, lokasi dilanda hujan dan berlumpur, selain senjata ada masalah. Namun, saya bangga kerana semua pelakon menjalankan tugas dengan baik.
“Barangkali, faktor hujan juga membantu saya untuk mendapatkan gambaran yang diinginkan walaupun set hampir hanyut dek banjir. Kalau ada yang cakap hanya orang gila buat penggambaran waktu hujan, kamilah orang gila itu,”katanya.
TERAP SEMANGAT TUDM
Kongsi pengarah ini lagi, dia juga tidak pernah lupa bagaimana sukarnya untuk memastikan jalan cerita yang dibuat mendapat persetujuan TUDM.
“Untuk memfilemkan sebuah naskhah melibatkan angkatan tentera, tentu wujud kekangan tertentu, terutama apa yang boleh dan tidak boleh ditonjolkan. Berbulan-bulan lamanya saya dan pasukan berusaha menguruskan sebaik mungkin.
“Pihak TUDM tidak mahu kami hanya memfokuskan kepada pasukan Pasukan Khas Udara (PASKAU), sebaliknya ingin melibatkan semua unit, pada masa sama mengangkat fungsi mereka.
“Ini sesuatu yang menarik kerana dapat mewarnakan lagi jalan cerita, di samping menyerlahkan semangat pasukan dalam TUDM itu sendiri,” katanya.
Menyentuh teknik kesan khas Imej Janaan Komputer (CGI), Zulqarnain berkata, dia tidak terlalu memfokus kepada aspek itu kerana lebih suka pendekatan minimal. Teknik itu hanya diterapkan untuk menyerlahkan sesebuah babak.
“Dalam satu babak pertarungan jet di ruang udara, kami bersama TUDM mencipta satu ruang khas untuk merakamkan aksi yang menggunakan jet pejuang Sukhoi. Kamera pula tidak boleh diletakkan pada tempat duduk juruterbang sebab terlalu sempit.
“Jadi, kami terpaksa reka satu tempat khas untuk merakamkan babak aksi itu. Babak itu memang real.
“Kami ada prosedur standard operasi (SOP) yang perlu dipatuhi semasa penggambaran. Sekiranya tiada ruang sinematik, kami buat CGI, tetapi sangat minimalis. Begitu juga dengan babak letupan, hampir semuanya menjadi,” katanya.
Meskipun menyentuh aspek peperangan dan perjuangan, kata Zulqarnain, naskhah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa sebenarnya lebih daripada itu.
“Ia bukan tentang aksi atau seberapa hebat perwatakan seseorang tentera. Dari sisi karakter, jika anda benar-benar fahami dan menyelami, setiap watak yang ditampilkan ada sisi kelemahan masing-masing.
“Setiap watak saya paparkan ada isu tersendiri. Saya letak sisi itu sebagai mewakili lapisan masyarakat yang sedang berjuang dengan pelbagai isu dalam kehidupan harian.
“Dalam filem ini, saya gambarkan keluarga tentera sebagai pejuang kerana mereka harus tabah dan kuat apabila ditinggalkan. Setiap kita adalah pejuang, itu persepsi yang saya cuba terapkan kepada penonton,” katanya.
PENGALAMAN MENCABAR NAS-T, JOHAN
Sementara itu, Nas-T yang memegang watak Adib memaklumkan, sebelum memulakan penggambaran, kesemua pelakon telah menerima latihan di kem PASKAU selama tiga minggu dan ia antara pengalaman berharga buat mereka.
“Berada di kem tersebut dan menjalani latihan bersama anggota PASKAU memberikan pengalaman yang sangat mencabar. Setiap hari, kami kena berkawad dan buat latihan bersungguh-sungguh.
“Di set penggambaran pula, tidak hanya menyarung uniform, kami juga perlu membawa kelengkapan senjata yang berat. Bayangkan kena bawa semua itu dan beraksi di dalam lumpur, memang menguji fizikal dan mental,” katanya.
Tidak cuma Nas-T, Johan As’ari juga mengakui, pengalaman berada di kem tersebut merupakan antara yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani penggambaran filem ini.
Katanya, latihan yang ketat membantu dirinya untuk lebih menjiwai watak.
“Hari pertama saya ikuti latihan di kem, banyak sudut yang saya gagal. Cara saya pegang senjata pun salah, jalan macam askar pun tak betul. Pasukan sangat serius mendidik demi memastikan kami dapat menjayakan filem ini dengan baik.
“Saya adalah antara pelakon yang selalu kena buat latihan kawad ekstra. Tapi, Alhamdulillah, akhirnya saya boleh buat. Segala teguran saya tidak simpan di hati. Ini merupakan proses pembelajaran yang hebat buat saya,” katanya.










