fbpx

Tak berani kata misai saya paling menarik – A. Galak

Zakaria Ahmad atau A.Galak bukan nama asing dalam industri drama dan perfileman tempatan.

Beliau adalah ‘wajah’ yang cukup terkenal, yang sentiasa tampil di kaca televisyen menghiburkan setiap lapisan masyarakat dengan keupayaan lakonan yang berkualiti.

A.Galak boleh dikategorikan sebagai pelakon unik dan tersendiri. Beliau adalah tokoh, yang dikenali bukan sahaja menerusi bakat lakonan semula jadi, malam imej bermisai yang menjadi ikutan ramai.

Sebagai seniman yang prolifik, anak kelahiran Johor Bahru ini diberi kepercayaan memegang pelbagai watak. Dari penyamun, wartawan, imam sehingga pekerja stesen minyak.

Namun bapa kepada lima anak ini sinonim dengan watak sarjan dan anggota polis. Itu pasti dipersetujui seluruh peminat dan penggemar beliau.

Saya baru-baru berpeluang berjumpa pelakon legenda ini dalam majlis Tayangan Perdana Filem Mat Kilau yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

Pada usia 80 tahun, A. Galak kelihatan sihat dan bertenaga. Sebagai audiens yang membesar dengan drama dan filem-filemnya, banyak persoalan yang ingin penulis layangkan.

Bagaimana permulaan A. Galak di dalam bidang seni lakon?

Menjawab pertanyaan itu, empunya badan memberitahu dia antara generasi yang sempat bekerja bersama Shaw Brothers di Studio Jalan Ampas, Singapura.

“Saya bermula sebagai kakitangan yang bekerja di bahagian solekan lelaki pada usia 19 tahun. Tapi kerja saya bukan solek orang, cuma membantu menyediakan peralatan.

“Ketika itu zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Aziz Satar dan sebagainya. Di sana, semua saya kenal,” ceritanya.

Kata A.Galak, beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon. Namun, katanya itulah ketentuan Allah SWT terhadap perjalanan hidupnya yang akhirnya menjadi seorang seniman.

“Awal-awal itu jadi pelakon ekstra sahaja. Lama-kelamaan stesen televisyen di Singapura tawarkan saya berlakon.

“Masa itu, gambar masih hitam putih. Yang kamu tengok dalam filem-filem P.Ramlee, macam itulah gambaran persekitaran saya bekerja dahulu,” ujarnya.

Hampir mati lemas

Setiap pelakon menyimpan pengalaman pahit manis yang mereka lalui sepanjang kerjaya.

Bagi A. Galak, pengalaman hampir mati lemas ketika menjalani penggambaran adalah memori yang masih segar dalam ingatannya.

“Kejadian berlaku ketika penggambaran cerita Di sebalik ombak. Watak yang saya bawakan adalah seorang polis marin.

“Bot yang kami naiki tenggelam dan semua penumpang jatuh ke dalam laut. Saya pandai berenang, tapi waktu itu pergerakan terbatas.

“Saya bernasib baik ada orang tolong masa itu. Sedar-sedar saya sudah berada di atas darat. Allah panjang umur saya,” kongsinya.

Dalam pada itu, A. Galak juga menceritakan pengalaman bekerja dan bertemu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Studio Jalan Ampas, Singapura.

Dia menyifatkan Allahyarham seorang yang disenangi namun komited dengan kerja lakonan dan pengarahan.

“Ketika mengarah dia serius. Tapi sangat peramah.

“Masa itu saya masih belasan tahun. Kami biasa minum satu meja dengan dia. Dia ketika itu masih muda dan kurus orangnya,” kongsinya lagi.

Tuah misai sarjan
A. Galak sinonim dengan dua perkara, watak sarjan dan misainya. Kata pelakon kelahiran Johor Bahru ini, dia bersyukur, kerana mempunyai identiti sendiri dalam industri.

“Ini rezeki untuk saya, Allah SWT bagi. Bila ada misai, jadi laku.

“Ada juga pengasas produk penjagaan misai dan janggut yang tampil menawarkan saya jadi jurucakap produk mereka tetapi saya tolak.

“Bagi saya ada lagi yang lebih cantik misainya. Saya tak berani nak kata misai saya paling menarik,” katanya.

Kata A. Galak lagi, dia seronok dan gembira melihatkan penampilan anak-anak muda yang kreatif menjaga dan imej bermisai dan janggut mereka.

“Ada satu kelab misai di Johor Bahru. Pernah undang saya untuk majlis makan malam mereka.

“Saya seronok melihat ramai yang pandai menggayakan misai mereka. Saya jadi sangat bangga,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!