Rock bukan pada jaket kulit, itu fesyen - Utusan Malaysia

Rock bukan pada jaket kulit, itu fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUDA, alpa dan egois.

Barangkali itu boleh dibungkuskan sebagai satu kesimpulan melewati satu fasa dalam kerjaya seni Aweera yang disifatkan sedikit kelam.

Itu cerita dulu, di mana dia satu ketika, pernah dihenyak dengan pandangan negatif sehingga entah kenapa, namanya kemudian seolah-olah sengaja didiamkan oleh industri kerana pelbagai tohmahan yang bertebaran tentang dirinya.

Bukannya dia tidak tahu, ramai bercakap itu dan ini perihal dirinya. Malah, setiap kali pun, Aweera selagi boleh selesa untuk berdiam diri dan membiarkan sahaja orang terus berkata-kata.

Sayang sekali. Dia bukannya tidak ada bakat. Malah, rupa pun ada. Tetapi kerjaya seninya seolah-olah kelihatan tergendala untuk seketika sehinggakan ramai yang fikir, Aweera sudah tidak lagi sudi berkecimpung dalam seni muzik.

“Ya, mungkin bolehlah dikatakan hal ini berbalik kepada soal rezeki. Saya sebenarnya, masih aktif. Tapi tak dapat liputan sangat waktu itu. Faham, makin hari makin ramai penyanyi baru dan maksudnya di sini, masing-masing ada zamannya.

“Tapi Alhamdulillah, Allah SWT beri izin-Nya untuk saya rasa zaman kegemilangan dengan Mojo dan lain-lain. Kalau ditanya, di mana silapnya? Tak tahu macam mana nak ceritakan. Orang yang pernah kerja dengan saya tahu macam mana.

“Dulu saya selalu digambarkan sebagai seorang yang sombong. Walhal, saya tidak begitu. Orang kata saya ada masalah disiplinlah dan macam-macam lagi. Tapi begitu ramai juga yang menokok tambah cerita. Susah nak puaskan hati semua orang. Anda sebagai pendengar nak percaya yang mana? Akhir sekali, saya pekakkan sajalah telinga,”katanya.

Pun begitu, sebahagian besar daripada apa yang berlaku juga mencetuskan revolusi pada dirinya apabila dia kemudiannya banyak bermuhasabah diri.

Itu satu perkara yang diakui oleh penyanyi ini yang dalam refleks menganggap dia sebelum ini mungkin pernah lalai dan hanyut dengan dunia seorang rockstar atau bintang rock itu.

“Tak apalah. Kita jangan salahkan orang. Saya cuba muhasabah diri. Mungkin dilanda kejutan budaya. Mungkin juga sebelum ini saya dibelenggu dengan sifat ego sendiri. Kalau orang label saya mengalami sindrom rockstar, ya, mungkin begitulah keadaannya.

“Usia muda dan ego menguasai diri. Iyalah, saya pernah berada di atas bersama Mojo dan masa itu, memang menggila, umur pun awal 20-an.Tersemat di kepala ‘ i am a rockstar man!’. Tapi sekali Tuhan nak bagi, dia bagi saya jatuh terduduk. Ternyata, Dia nak saya fikir balik.

“Sekarang, di usia 31 tahun ini, bila saya ingat balik hal lama dan gelagat diri, menggeleng kepala juga. Terdetik, kenapalah aku begitu? Tapi semua pun telah berlalu. Yang penting, saya pun sudah tak nak ingat hal lama,” katanya.

 

Pernah rasa tidak dihargai?

Beralih tanya kepadanya tentang hal ini, penyanyi kelahiran Perlis ini sempat menarik nafas dalam sebelum menghujahkan jawapan.

Menurut Aweera, sudah tentu, sebagai seorang anak seni, perasaan itu pernah timbul dalam hatinya namun enggan terlalu berlama-lama larut dengan emosi yang kacau bilau.

Sambil memberi contoh mudah, Aweera menyebut nama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai antara anak seni yang menerima nasib atas kata tidak dihargai itu.

“Maaf cakap, industri seni hiburan Malaysia ini seakan sudah jadi satu budaya, yang masih hidup tidak dihargai. Bila sudah tiada, meninggal dunia, masa itulah nak hargai. Apa jadi pada Allahyarham P. Ramlee?

“Bila dia dah menjadi tanah semula, barulah nak beri dia gelaran Tan Sri, agungkan karya dan bakatnya. Masa dia hidup, orang sokong dia tak? Begitu juga dengan apa yang terjadi pada Allahyarham pelawak, Pak Yus Jambu.

“Arwah adalah antara sahabat baik saya memandangkan kami sekampung. Pernah dia curah perasan pada saya, yang dia rasa tak dihargai. Untuk saya, terpulanglah pada orang. Bagi saya dan band-band saya, kami semua adalah pejuang. Selagi diterima oleh industri, disokong ramai, kami akan terus jalan,”katanya.

 

Bukan pakaian, tapi jiwa

Sengaja bertanyakan padanya, mengapa agaknya bintang rock harus dikaitkan dengan kerenah tertentu contohnya bercakap kasar atau dengan lebih mudah kata, cenderung memiliki personaliti yang menjengkelkan.

Jawab Aweera, dia tidak menolak terma rock itu sendiri tidak cuma pada muzik, tetapi juga menggambarkan attitude atau sikap.

Pun begitu, katanya, ia bergantung kepada cara seseorang itu ‘membawa’ personaliti bintang rock itu dan jaket kulit bukan penanda arasnya.

“Pelik juga saya dengan pemahaman orang kita ini. Asal rock saja, kena pakai jaket kulit. Saya mengkaji dan tengok juga banyak rancangan realiti di TV sebab nak tengok vokalis-vokalis baru. Tapi entah kenapa, masa persembahan, mereka mesti kena pakai jaket kulit.

“Itu adalah fesyen! Rock ini adalah tentang soul atau jiwa. Tentang attitude dan blues. Tiga benda ini. Tapi inilah yang orang salah tafsir. Nak tengok dia ada jiwa, cuba kita tengok dan pakaikan seseorang penyanyi rock itu dengan baju Melayu, contohnya.

“Kalau sampai nyanyiannya, itu bermakna dia ada soul itu. Bukannya berdasarkan pakaian maka kita kata dia bintang rock. Ada sekali, saya tertengok sebuah program realiti di TV, peserta pakai jaket kulit siap ada burung helang di bahu. Saya kata apa ini? Juri program pun geleng kepala,”katanya.

 

Sekali dapat, berat juga

Tersenyum memberitahu bahawa dirinya baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Cangkul, Aweera mengaku ia adalah naskhah pertama yang dilakonkan olehnya selepas membuat kemunculan menerusi program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Berkongsi mengenai hal itu, Aweera mengaku, sudah begitu lama dia tidak kembali di depan kamera sebagai seorang pelakon dan perkara itu menjadikannya sedikit kekok.

“Sebelum ini pernah juga saya berlakon. Tapi itulah, malu nak cakap sebab masih jauh lagi nak berada sebaris dengan pelakon-pelakon hebat tanah air. Iyalah, saya ini penyanyi. Tapi Alhamdulillah apabila diberi peluang kembali berlakon, saya dapat banyak tunjuk ajar daripada ramai orang di set.

“Baik pengarah, pembantu pengarah dan pelakon lain, mereka tahu saya dah lama sangat tak berlakon jadi mereka bantu. Tapi memang banyak kena gilap lagi ini. Kalau penonton kata saya kayu, terpulang.

“Kali terakhir saya berlakon pada 2015. Masa itu di bawah Zeel Production. Tapi naskhah Cangkul yang saya bawa ini pun tak mudah. Ia sebuah naskhah yang berat dan saya sebagai pelakon pembantu pun dah macam watak utama,”katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk menerima mana-mana tawaran lagi selepas ini, kata Aweera, dia akan meneliti kesesuaian watak dan jalan cerita dahulu.

Pun begitu, seperti biasa, katanya, keutamaan masih tertumpu pada bidang nyanyian.

“Saya tengok macam mana nanti. Sebenarnya, saya ini sudah lama teringin nak ada showcase sendiri. Maklumlah, sekarang sudah masuk fasa endemik dan sudah banyak artis buat persembahan konsert dan sebagainya.

“Saya lama fikir nak buat konsert jelajah. Insya-Allah kalau ada rezeki nanti. Saya pun bakal ada single baru, ciptaan Tam Spider. Ini kali pertama saya dapat kerjasama dengan Tam dan sangat teruja dengan single ini.

“Lagu baru rock balad ini boleh dikatakan sangat berbeza dengan apa yang mungkin pernah didengar peminat sebelum ini. Ada nuansa Korea, Indonesia dan Malaysia, pendek kata dah macam resipi tiga rasalah,”katanya berseloroh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN