fbpx

26 Jun 2022, 10:33 pm

  TERKINI

Khai Bahar tak selesa dikenenkan

KHAI BAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menepati ramalan, baru-baru ini pemilik nama Khai Bahar, 28, merangkul kemenangan kategori utama Top Top MeleTop (Lelaki) pada Anugerah MeleTop Era (AME2021), sekali gus ia merupakan kali ketiga anugerah utama tersebut menjadi miliknya.

Walaupun figura popular ini sudah mengecapi pelbagai anugerah sepanjang bergelar penyanyi, namun sifatnya sentiasa menunduk ke bumi dan tidak pernah mendongak ke langit.

Bahkan penyanyi muda ini sentiasa menganggap dirinya masih baharu dan banyak lagi pengalaman serta pengetahuan yang harus digali lagi dalam industri tempatan.

Bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, namun dia juga dianugerahkan bakat sebagai pelakon.

“Saya bukanlah pelakon yang berpengalaman, jadi mahu demand harga yang tinggi. Biarlah bayaran yang dilakonkan itu sesuai dengan bakat kita.

“Saya bergerak sendiri, di bawah pengurusan sendiri. Jadi, tiada isu demand harga tinggi. Jangan risau,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penyanyi lagu popular Luluh ini turut melebarkan sayap ke dunia lakonan kerana ingin belajar perkara baharu selain mendapat sokongan daripada penyokong tegar yang sentiasa berada di belakangnya.

“Saya cuba untuk masuk dalam dunia lakonan ini kerana saya ingin belajar sebenarnya. Ramai yang menyokong saya.

“Mereka menyokong saya untuk masuk dalam industri lakonan pun untuk saya belajar perkara baharu. Malah, saya pun memang banyak belajar banyak perkara baharu.

“Bahkan, lakonan ini juga membuatkan diri saya lebih yakin apabila berdepan dengan orang. Kerana, sebelum ini saya memang seorang yang sangat pemalu. Bila bercakap pun sepatah dua kata sahaja,” ujarnya.

Tambah Khai lagi, dirinya mula meminati dan dapat mengadaptasi sebagai pelakon layar kerana mula menikmati sendiri apa yang dilakukan.

“Saya seronok dan sudah mulai minat berlakon. Saya menikmati sahaja kerana dapat berlakon watak lain.

“Berjumpa dengan pelakon-pelakon senior dan mereka juga banyak memberi tunjuk ajar. Dari situ, saya bersyukur,” tuturnya.

Tak selesa dikenenkan

Pelakon naskhah Kisah Cinta Rumi ini mengakui di­rinya agak kurang selesa apabila segelintir pihak suka mengaitkannya supaya bercinta bersama penyanyi wanita yang berduet dengannya.

Ulasnya, gandingan bersama salah seorang penyanyi wanita hanya atas dasar kerja sahaja.

“Saya sebenarnya rasa macam kurang selesa apabila segelintir peminat yang suka kaitkan atau cuba ‘kenen-kenen’ saya dengan pasangan duet. Ia kerana, kita bekerja, bukan berduet sebab bercinta.
“Jadi, apabila timbulnya perkara sebegitu, saya rasa seperti ‘macam mana nak berduet dengan orang lain pula ya’.

“Saya hendak bekerja dengan ramai penyanyi lagi ini. Kalau boleh, saya nak bekerja dengan ramai orang,” katanya.

Pada masa sama, Khai turut berharap peminatnya bersifat terbuka, selepas ini.

“Saya tidak mahu disebabkan isu berkenaan, saya dan pasangan duet seperti Lia Aziz takut nak bergambar berdua sebab nanti mereka kenenkan kami pula.

“Saya nak mereka bersifat terbuka, adaptasi perkara itu sebagai kami bekerja pada masa sama ingin mendapatkan keserasian,” jelasnya.

Selain itu, penyanyi lagu runut bunyi (OST) bagi drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini menyatakan belum tiba masanya untuk dia memikirkan soal jodoh kerana pada masa ini dirinya mahu mendahulukan kedua ibu bapanya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, keutamaan dan fokusnya kini memang kepada kedua orang tuanya dan keluarga.

“Alhamdulillah, sekarang ini saya tidaklah nak memikirkan untuk berumah tangga lagi malah bercinta dan mempunyai pasangan.

“Saya tidak fikir lagi buat masa ini kerana saya lebih memikirkan untuk membahagiakan keluarga saya terutama kedua ibu bapa.

“Jika boleh, saya nak luangkan masa yang lebih dengan mereka ketika mereka masih ada,” katanya.

Belum layak jadi hero

Khai Bahar turut mengakui dirinya berasa malu untuk menonton lakonannya sendiri termasuk mengganggap dia masih tidak layak menjadi hero drama.

Ia kerana, dia menyedari masih kekurangan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang lakonan.

“Saya tidak mampu lagi nak membawa watak hero kerana saya bukan pelakon. Jadi, saya rasa masih tidak cukup lagi pengetahuan, pengalaman serta bakat dalan lakonan. Belum cukup dan belum layak.

“Saya sendiri pun malu apa­bila menonton lakonan sendiri kerana saya sedar banyak yang kurang. Tetapi, dari situ saya belajar apa yang kurang.

“Malah, saya sendiri rasa diri saya kayu. Bukan kayu lagi dah tetapi ranting,” dedahnya.

Dalam pada itu, dia menitipkan kesyukuran kerana menerima banyak tawaran berlakon walau tidak dapat meerima tawaran tersebut atas sebab kekangan jadual harian.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah tawaran lakonan yang saya dapat sangat banyak. Namun disebabkan kekangan jadual dan banyak perkara yang perlu dilakukan. Jadi, saya tidak mahu terkejar-kejar.
“Setakat ini, saya baru berlakon tiga drama iaitu Satukan Rasa, Kisah Cinta Rumi dan Shakira.

“Alhamdulillah juga, dapat watak hero walaupun saya rasa diri masih tidak layak lagi untuk berlakon watak utama,” ulasnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI