KUALA LUMPUR: Pelakon, Idris Khan akhirnya membuka mulut berhubung saman perjanjian kontrak sebuah drama terbitan A. Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Dalam satu kenyataan di akaun Instagramnya, Idris berkata, dia merasa terkejut dan hairan abila menerima berita disaman itu.
“Beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang media baru-baru ini adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
“Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan.
“Seterusnya, saya ingin menekankan bahawa saya menentang sekerasnya sebarang bentuk ancaman dan buli dalam masyarakat, apatah lagi dalam industri ini,” katanya.
Tambah Idris lagi, terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut agar mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.
“Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya,” tambahnya lagi.
Idris turut memberi peringatan kepada khalayak bahawa rezeki datang daripada Allah SWT dan bukan datang daripada tangan bernama manusia.
“Saya tidak akan berdiam diri menghadapi sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsip saya dalam hidup.
“Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan,” ujarnya.
Sebelum ini, penerbit dan pengarah, Datuk A Aida, 52, bakal meneruskan saman terhadap dua pelakon tanah air, Amelia Henderson dan Idris kerana melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Menurut A. Aida, kedua-dua pelakon tersebut yang juga hero dan heroin untuk drama terbabit didakwa menarik diri pada saat akhir dengan memberi alasan yang tidak munasabah.










