KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, 68, menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kontroversi melanda pengarah, Syamsul Yusof, 38, sebagai teknik pemasaran untuk melariskan filem pecah panggung, Mat Kilau.
Jelas Yusof, kejayaan filem berkenaan tidak bersangkut paut dengan isu yang sedang hangat diperkatakan tentang anaknya itu.
“Tidak. Demi Allah. Ini semua berlaku secara kebetulan.
“Kalau ada yang menganggap begitu, ia adalah pemasaran yang tidak elok. Jadi mereka silap.
“Sehingga ada yang nak boikot. Saya tekankan di sini, ia bukan strategi pemasaran untuk melariskan filem tersebut,” tegasnya.
Yusof berkata demikian majlis tontonan filem berkenaan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di ibu kota baru-baru ini.
Mat Kilau mencatat sejarah tersendiri selepas memecah rekod sebagai filem epik Melayu pertama dengan kutipan tertinggi pada hari pertama ditayangkan iaitu sebanyak RM1000,000.
Dalam pada itu, Yusof berkata dia, di bawah syarikatnya, Skop Production Sdn. Bhd. akan membantu untuk memasarkan filem tersebut ke luar negara.
Katanya perkara itu demi menyahut seruan Annuar yang mahu strategi pemasaran filem tempatan dimantapkan untuk di bawa keluar negara.
“Kita dah susun strategi. Kami telah menghantar wakil ke Indonesia untuk mengadakan perbincangan dengan dengan wakil di sana,” katanya.










