Fasa endemik Search - Utusan Malaysia

Fasa endemik Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jujur, sukar sekali saya memulakan penulisan ini. Mungkin kerana di hadapan saya ada empat pasang mata. Yang masing-masing berstatus legenda. Satu dalam sejuta.

Search. Satu jenama seni yang punya sejarah berjilid-jilid. Bukan setahun dua mereka menakluk hati peminat. Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary semuanya berkongsi sejarah perjalanan sama.

Tenang, itu isyarat yang cuba disampaikan abang Nasir tatkala saya memulakan sesi temu bual.

“Jangan risau dik, kami ini pun sebenarnya gementar juga. Yalah, konsert berbaki seminggu. Persediaan memang disusun rapi tetapi, gugup tetap gugup.”

Abang Nasir cuba berborak santai, mengajak saya berborak tentang Konsert Endemik Search yang bakal berlangsung kurang seminggu di Zepp KL.

Lantas saya bertanya, eh abang-abang semua sudah lejen. Takkan ada perasaan gementar? Lebih 40 tahun dalam industri, masih ada stage fright?

“Kalau tak ada, berhenti sahaja jadi pemuzik. Stage fright itu pencetus adrenalin. Tetapi saat kita mendengar sorakan peminat, keghairahan mereka itu yang menjadikan kita ‘hilang’ akal sebentar,” sambut abang Amy.

Saya cuba ‘memanaskan’ suasana. Saya tanya persoalan yang mungkin ada dalam fikiran segelintir kita. Mampukah legenda yang melepasi tangga usia 60 tahun ini beraksi di konsert?

Malah sebelum ini, nama vokalisnya, Amy sedikit tercalar dek dakwaan kononnya dia sudah tidak boleh menyanyi lagi. Sehingga perlu memberi mikrofon kepada peminat kerana tiak mampu beraksi lagi.

Abang Nasir membetulkan kedudukan. Dia mahu meleraikan persoalan itu.

“Amy ini tiada galang ganti. The one and only dalam rock scene Malaysia. Kita seharusnya berbangga memiliki seseorang yang telah berkongsi bakat kurnian Tuhan lebih empat dekad.

“Apa yang Amy sudah sumbangkan terlalu besar. Apa kamu nak lagi? Janganlah compare dia dengan penyanyi baharu. Hargai dia. Dia adalah frontman Search selama kami berjuang.

“Kita jangan berbangga dengan penyanyi yang tahu menjerit sahaja. Search adalah satu jenama. Kalau datang dengan kaki sebelah pun orang akan menjerit sokong,”
kata abang Nasir.

Lantas abang Amy menyambung jawapan; “Saya bukan baru semalam menyanyi. Kalau mahu menjatuhkan, bukan begini caranya.”

AMY

Pelayaran bersama meraikan era endemik. Itu analogi mudah yang digambarkan Amy apabila ditanya tentang konsert minggu hadapan nanti.

Kongsi Amy, Search adalah sebuah kunmpulan yang suka bereskperimental. Oleh sebab itu, mereka berani mempertaruhkan karya-karya yang berbeza dan malar segar.

“Konsert Endemik ini juga adalah satu eksperimen. Saya sendiri tidak suka duduk di satu tempat sahaja. Selalu mengembara membelah lautan seni.

“Tetapi kalau anda bukan begitu, maka tidak perlu bersama kami belayar dalam pelayaran baharu. Kalau mahu sama-sama mengembara, ayuh,” katanya.

Berkongsi tentang persediaan konsert, jelas Amy, setakat ini mereka sudah 90 peratus bersedia dan sudah mula sesi latihan.

“Kalau ada yang tanya apa gimik semua, bagi saya konsert akan jadi istimewa kerana keseluruhan produksi itu,” katanya.

MAN KIDAL

38 tahun bukan satu tempoh singkat. Malah lebih tua dari usia saya. Dan angka itu jugalah yang menggenapkan begitu lama abang Man Kidal tidak beraksi bersama Search.

Mengimbau kenangan, bagi abang Man, konsert ini cukup istimewa dan dia walaupun sebagai barisan pemuzik tetap teruja dengan kolaborasi yang sudah sekian lama dinantikan.

“Saya fikir ini adalah satu bonus untuk peminat muzik tanah air. Melihat kami sebagai senior dalam rock scene ini kembali bergabung atas satu pentas.

“Konsert ini amat dalam ertinya buat saya. Selepas 38 tahun, saya bersama Search kembali. Mengenang memori bersama,” katanya.

Kongsi abang Man lagi, konsert ini juga sebagai pembuka jalan untuk satu perjuangan baharu terutama bagi mereka yang merindukan zaman rock dahulu.

“Kalau ada yang tanya, bagaimana kolaborasi ini boleh terjadi, saya juga tak ada jawapan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia yang buka pintu hati saya,” katanya.

NASIR

“Saya bila dengar nama Man Kidal dan Hillary, goyang juga. Dua nama yang cukup besar dalam dunia muzik rock tanah air.”

Itu jawapan abang Nasir tatkala ditanya persediaan menuju ke konsert Endemik Search minggu hadapan.

Kongsi abang Nasir, satu sejarah seni akan tercipta kerana ini kali pertama tiga legenda gitaris tanah air akan bergabung atas satu pentas.

“Endemik ini maksudnya satu kebiasaan baharu, jadi sebagai peminat Search, inilah fasa endemik untuk kita semua.

“Bagi saya, ini satu gabungan yang cukup menarik. Amy sebagai vokalis dan kami sebagai pemain gitar. Bila lagi nak tengok tiga bertiga di atas pentas,” jelasnya.

HILLARY

Sukar sekali mahu mendengar butir madah daripada legenda seorang ini. Dia seorang yang pendiam tetapi meluahkan rasa dan emosi menerusi karya seni.

Ini kali pertama dia dan Man Kidal akan beraksi di atas pentas bersama, maka dia sendiri teruja dan mengharapkan agar peminat juga sama merasakannya.

“Kami kenal; sejak 1978 lagi. Bak kata Amy, sekumpulan budak kutu yang mempunyai impian kecil bersama. Nak berjaya dalam muzik rock.

“Lagipun, ini adalah satu peristiwa yang bersejarah dalam diari seni Search. Saya dan Man atas satu pentas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN