31 tahun bersahabat, Syah dan Faiz Brothers sokong Yasin Sulaiman - Utusan Malaysia

31 tahun bersahabat, Syah dan Faiz Brothers sokong Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Demi semangat setiakawan, sahabat dan ahli kumpulan Brothers, Syah Rizal Mohamed, 45, dan Abdullah Faiz Muhammad, 45, tetap menyatakan sokongan penuh buat Yasin Sulaiman yang kini dipenjarakan di Sungai Buloh atas kesalahan mengedar ganja.

Menurut Rizal, semangat setiakawan antara mereka termasuk rakan-rakan artis nasyid lain tidak pernah luntur meski Yasin kini dilanda ujian besar.

“Hari ini kami bersama sahabat-sahabat lain hadir di mahkamah bagi mendengar prosiding sebagai solidariti kepada dia. Alhamdulillah, Yasin juga nampak sihat dan ceria.

“Mungkin kerana dia tengok rakan-rakan hadir menyokong selain keluarga. Kami tengok dia pun nampak bersemangat, mungkin juga semasa bulan Ramadan lalu banyak pengisian bermanfaat buatnya di penjara.

“Mana mungkin semangat setiakawan antara kami luntur sebab lebih 30 tahun kami ini berkawan. Saya dan Syah adalah rakan sekolah Yasin sejak kami berusia 14 tahun lagi,” katanya.

Rizal berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir sama menyatakan solidariti kepada Yasin ialah Presiden Munsyid Malaysia, Muhamamad Razin Che Mud.

Selain itu, menurut Rizal, dia dan beberapa sahabat lain ada usaha untuk menziarahi Yasin di penjara, namun terpaksa akur dengan kuota pelawat yang begitu terhad.

“Kami ada hasrat nak lawat dia di penjara tapi tak dapat berbuat demikian sebab kuota begitu terhad. Jadi kami beri laluan, utamakan pada keluarga.

“Daripada abang dan keluarganya, dia titipkan ucapan salam selain apa sahaja pesanan lain berkaitan kerja yang tertangguh di studio dan sebagainya. Dia minta kami teruskan walau tanpa ketiadaannya,”katanya.

Sementara itu, Syah pula mengaku bahawa dia baru berkesempatan untuk hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes ini memandangkan sebelum ini terpaksa ke luar negara atas urusan kerja.

Menurut Syah, dia sudah cukup gembira apabila dapat menatap wajah Yasin di mahkamah walau cuma dari kerusi orang awam.

“Saya banyak ketinggalan sejak kes ini berlaku sebab tiada di Malaysia. Saya sebelum ini berada di Turki untuk urusan kerja namun kena cuba juga untuk percepatkan balik sebab nak pastikan dapat hadir pada hari ini.

“Dari jauh kami saling berpandangan dan nampak ekspresi gembira dia. Bagi saya, itu adalah antara momen keajaiban. Tak dapat peluk dia tapi dia tahu kami datang, itu memadai,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada mereka pernah berdepan dengan situasi kesihatan Yasin semasa bekerjasama sebelum ini, Syah berkata iya.

“Semasa ada program atau tengah sibuk kerja pun pernah saja berlaku. Tapi kami ambil pendekatan diam dan beri ruang kepada dia. Kalau diberi ubatan hospital, dia akan tidur saja.

“Jadi dia tak boleh kerja sedangkan dia perlu bekerja. Tapi apa pun, kami gembira kerana dia nampak kuat dan sihat,”katanya.

Dalam pada itu, Syah dan Rizal menaruh harapan agar peminat dan pengikut dapat mendoakan yang terbaik buat Yasin selain mengharapkan pihak penjara dapat memberikan rawatan kesihatan terbaik buat penyanyi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.