TUGAS memelihara kedaulatan wilayah maritim meliputi keluasan 569,845 kilometer (km) persegi bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi kawasan yang terbuka dengan segala ancaman ini mampu digugat oleh mana-mana pihak sekiranya dipandang enteng tanpa pengorbanan besar demi negara.
Justeru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini mencecah usia 88 tahun terus dipertanggungjawab menjaga setiap inci kawasan perairan negara daripada sebarang anasir luar.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, ia bertepatan dengan misi dan peranan TLDM biarpun dianggap ‘berusia’ selepas ditubuhkan pada tarikh keramat 27 April 1934.
“Peranan kita yang pertama berkait rapat dengan pertahanan negara sewaktu peperangan atau konflik.Sebarang ganggu- gugat kedaulatan negara akan dipatahkan dan inilah sebenarnya peranan TLDM paling utama.
“Peranan kedua melibatkan operasi ketenteraan selain peperangan atau Military Operations Other Than War (MOOTW). Ia termasuk tugas membantu menguatkuasakan undang-undang negara, memelihara keamanan, penyelesaian konflik (bukan peperangan) dan sokongan kepada pihak berkuasa awam dalam menangani situasi krisis dan darurat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Mohd. Reza, bagi peranan ketiga pula, TLDM mengambil pendekatan unik berbanding perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lain menerusi konsep Diplomasi Pertahanan.
“Kapal-kapal perang TLDM terlibat dalam eksesais dua negara atau pelbagai negara akan melakukan kunjungan ke pelabuhan di luar negara berperanan sebagai duta kecil Malaysia.
“Menerusi cara ini kita mempamerkan keupayaan mobiliti TLDM yang mampu dikerahkan hingga ke kawasan yang sangat terpencil di serata dunia dan meyakinkan negara lain tentang komitmen Malaysia terhadap keamanan serta kesejahteraan sejagat.
“Selain itu, TLDM juga akan mengukuhkan persahabatan antara negara melalui interaksi dengan warga tentera laut asing dan masyarakat tempatan.Ia secara tidak langsung mempromosikan Malaysia sebagai negara yang cintakan keamanan dan destinasi pelaburan yang baik,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Mohd. Reza, biarpun meletakkan tiga peranan utama TLDM sebagai teras perjuangan, perkhidmatan itu berdepan dengan cabaran lain terutama melibatkan proses penggantian aset usang.
Ini termasuk membuat beberapa pelarasan di bawah Program 15 to 5 selepas negara berdepan cabaran baharu termasuk kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan Covid-19.
“Kita mengoperasikan aset usang iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.Ini bermakna lebih separuh telah pun beroperasi melangkaui had umur.
“Jadi kerajaan terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk kami mengoperasikan kapal- kapal ini disebabkan alat ganti yang tiada lagi dalam pasaran serta kekerapan senggaraan yang perlu dilaksanakan,” ujarnya.
Tambah Mohd. Reza, TLDM jika dibandingkan pada zaman kegemilangan pernah memiliki keupayaan tempur disegani di rantau ini dengan dilengkapi 16 buah kapal perang dengan keupayaan pelbagai misil termasuk anti permukaan dan anti udara.
Walau bagaimanapun katanya, sejak tahun 2007 kapal kelas Perdana, Handalan dan Laksamana terpaksa diturunkan taraf dan keupayaannya menjadi aset rondaan serta bantuan sahaja.
“Harus diingatkan bahawa peranan dan tanggungjawab TLDM ‘Melindungi Kedaulatan, Integriti Wilayah dan Kepentingan Maritim Negara’. Ini termasuk, antara lain, melindungi aset dan hak negara yang berada di luar kawasan perairan wilayah, memastikan integriti wilayah serta mengekalkan kehadiran terutama di kawasan-kawasan yang sensitif.
“Selain itu, turut menjadi cabaran terbesar ialah kawasan perairan luas untuk diawasi dengan bilangan aset yang terhad dan usang. Ini memerlukan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan rakan serantau untuk bersama-sama membendung sebarang bentuk ancaman luar yang memasuki perairan negara dan rantau ini,” jelasnya.
Mohd. Reza dalam masa yang sama berkata, TLDM turut bimbang terhadap ancaman keselamatan bukan tradisional terutamanya melibatkan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, keganasan, penculikan dan rompakan hasil laut.
“Jadi sudah tentu untuk menangani cabaran tersebut, TLDM perlu terus menggunakan aset sedia ada dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Namun jelasnya, sementara menunggu ketibaan aset baharu, program pengurusan aset usang sedang dilaksanakan menerusi tiga pendekatan sedia ada merangkumi repowering (kuasa semula), obsolescence programme (program aset usang) dan obsolescence management (pengurusan aset usang).
“Pertama, program Repowering untuk menggantikan sistem kuasa gerak (enjin, kotak gear dan propeller) dan sistem jana kuasa (generator) bagi kapal dari skuadron kapal ronda laju (FAC (G). Sehingga kini, enam buah kapal telah selesai repowering manakala baki 5 buah lagi dalam perancangan sehingga tahun 2024.
“Kedua, obsolescence programme untuk menggantikan struktur (badan kapal) dan keseluruhan sistemnya kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam. Program ini sedang dilaksanakan ke atas tiga buah kapal dari skuadron FAC (M) sehingga tahun 2023.
“Bagi program yang ketiga pula adalah, obsolescence management melibatkan penggantian sistem penderia serta persenjataan kapal seperti radar dan meriam bagi kapal-kapal dari skuadron frigat kelas Lekiu, korvet kelas Kasturi dan kapal ronda generasi baharu (NGPV) kelas Kedah. Sehingga kini, lapan sistem kapal telah berjaya digantikan, manakala baki lima sistem lagi sedang dijadualkan sehingga tahun 2025,” katanya.
Selain mengoperasikan aset usang, Mohd. Reza berkata, TLDM terpaksa ‘menghidupkan’ semula kapal-kapal peronda kapal peronda yang pernah diserahkan kepada Maritim Malaysia dan kini tidak lagi digunakan agensi itu.
Disebabkan kekangan aset katanya, TLDM perlu mencari kaedah atau pun pendekatan lain bagi mengisi jurang keupayaan kapal-kapal ronda termasuklah menggunakan kembali aset terpakai agar jurang keupayaan TLDM dapat diatasi walaupun tidak sepenuhnya.
“Penerimaan semula kapal ronda tersebut merupakan langkah interim di mana mampu melengkapkan jumlah yang diperlukan untuk penugasan operasi.
“Buat masa ini, TLDM sedang melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan untuk mengembalikan semula keupayaan asal kapal tersebut. Ini merupakan suatu inisiatif unik. Reka bentuk superstructure asal kapal ronda ni telah diubah suai bagi memenuhi keperluan dan keselesaan warga kapal.
“Kerja-kerja tersebut sedang dilaksanakan oleh limbungan tempatan dan dijangka siap tahun ini, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Reza berkata, senario keselamatan dunia kini bersifat dinamik dan sentiasa berubah dalam masa yang singkat serta sukar diramal sehingga memerlukan TLDM berada dalam keadaan berwaspada.
“Dunia kini berada dalam satu situasi dikenali sebagai VUCA, V bermaksud volatility atau dalam bahasa Malaysia pergolakan, uncertainty (ketidakpastian), complexity (kompleks) dan ambiguity (kekaburan/ kesamaran).
“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.
Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara.
“Saya bimbang TLDM tidak mampu bertindak dengan berkesan dan efisien dalam sebilang keadaan sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara daripada ancaman luar,” ujarnya.
Tegas Mohd. Reza, TLDM akan memfokuskan aset di perairan yang berisiko tinggi di samping melakukan penilaian berterusan situasi keselamatan maritim melalui aktiviti perisikan maritim dan perkongsian maklumat.
Selain itu, katanya, TLDM harus berupaya mewujudkan persepsi kepada pihak musuh bahawa mereka merupakan sebuah angkatan digeruni serta berupaya bertindak balas secara efektif.
“Keupayaan TLDM dilihat tidak setaraf dengan tentera laut dari pelbagai negara dan ini menyebabkan TLDM bukan sebuah rakan strategik berwibawa sekali gus menjejaskan hubungan pertahanan antarabangsa negara.
“Sebagai contoh dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia. Komitmen telah diberi untuk memastikan tiada ancaman konvensional dan bukan konvensional di rantau ini.
“Namun begitu, TLDM menghadapi cabaran untuk memenuhi sebahagian komitmen ini kerana aset kapital yang telah usang dan keupayaan tempur yang semakin menurun.
“Aset aset TLDM tidak berupaya menyaingi kecanggihan aset-aset moden negara FPDA sekali gus mampu memperkecilkan peranan TLDM dalam FPDA kelak,” katanya.











