Depresi, pernah mahu bunuh diri - Chacha Maembong - Utusan Malaysia

Depresi, pernah mahu bunuh diri – Chacha Maembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN main cantik lagi Chacha Maembong semasa ditemui dalam satu majlis berbuka puasa di ibu kita baru-baru ini.

Penampilannya lebih sederhana dalam kesopanan. Raut wajahnya pula nampak lebih bersih berseri selain lebih ramping kini. Pokoknya, memang berbeza benarlah penampilan Chacha kali ini setelah sekian lama tidak bertemu dengan pelakon ini.

Tak lekang senyuman di bibir, kata Chacha, barangkali dirinya kurus sedikit sekarang kerana mengalami simptom pasca positif Covid-19. Tetapi, dalam masa yang sama, dia juga ada mengamalkan produk susut badan yang dikeluarkan oleh kakaknya, Emma Maembong.

Tetapi itu bukanlah faktor utama untuk dibahaskan. Kata Chacha, dia lebih senang jika orang fikir dan lihat dirinya kini lebih sihat kerana itu adalah sebab mengapa dia begitu menjaga penampilannya kini.

“Badan saya ini cepat naik dan cepat juga turun. Tapi kakak saya, Emma lagi kurus. Sekarang ini saya dengan dia dah sama saiz. Sekarang pun saya dah suka ‘curi’ pakai baju dia.

“Saya tahu, sebelum ini orang selalu tengok badan saya lebih berisi atau ‘chubby’ berbanding adik-beradik lain. Tapi, saya selalu fikir, berat badan bukanlah satu isu pun sebab selama ini orang dah memang kenal diri saya begitu.

“Kita nak kurus atau apa, terpulang pada diri, yang penting, fokus asal sebab nak sihat. Macam saya, kalau dapat berat badan ideal mudah lakukan aksi lakonan yang,”katanya.

BODY SHAMING

Pun begitu, siapa sangka, sebenarnya Chacha sebelum ini juga berdepan dengan isu body shaming hanya gara-gara tubuhnya yang dikatakan sedikit berisi.

“Bukan saya tak pernah kena, selalu sangat dulu. Ish… tak payah cakaplah, memang ramai yang kata saya itu dan ini. Tapi saya ambil pendekatan mudah, tak nak fikir sangat. Bagi saya, kalau mereka nak body shaming itu, tengoklah diri sendiri dulu macam mana.

“Terus-terang, kalau dulu, memang ada ketika itu saya stres memikirkan apa yang orang cakap. Tapi, lama-lama saya tengok ada orang lain yang lebih teruk kena daripada saya, maka saya rasa tak apalah, syukur saja jika orang nak kecam saya begini pun.

“Bagi saya, selagi orang industri seni ini masih letakkan kepercayaan pada bakat lakonan saya, maka tak ada sebab untuk rasa sedih. Boleh juga buktikan yang wanita gemuk dan berisi pun boleh jadi heroin tau!”katanya.

Paling utama, kata Chacha, dia sebenarnya ingin menyampaikan mesej kepada semua bahawa seharusnya setiap individu wajar untuk tidak meletakkan saiz badan sebagai ukuran atau penghalang untuk melakukan sesuatu perkara dalam hidup.

Kata Chacha, dia tahu, ramai sahaja orang yang tergolong dalam kelompok mereka yang judgemental, tetapi hidup ini bukannya hanya perlu ikut apa yang orang akan kata selain mahu memuaskan hati semua orang.

“Kalau rasa nak jadi apa sekali pun, saiz badan bukanlah penentu. Itu pandangan peribadi sayalah. Hidup ini senang saja, macam frasa bahasa Inggeris, Live Life To The Fullest. Saya suka dengan frasa itu dan ia mengubah cara kita berfikir sebenarnya.

“Kita buat saja apa yang kita rasa nak buat asalkan kita sihat dan bahagia. Biarkanlah apa orang nak cakap apa. Buat untuk diri sendiri. Kalau asyik nak dengar apa yang orang kata, boleh depresi diri kita ini,”katanya.

Tidak menuding jari pada sesiapa, kata Chacha, ia juga adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

Akui pelakon berusia 26 tahun ini, dia pernah berada dalam keadaan depresi hanya kerana terlalu mahu memuaskan hati semua pihak. Ia terutama apabila dia sudah melangkah ke dunia hiburan dan menggalas kerjaya sebagai artis dan selebriti.

“Saya pernah alami depresi yang teruk. Masa itu pada zaman kegemilanganlah. Iyalah, saya masa itu baru nak kenal dunia, kemudian baru nak bina kerjaya, lepas itu terkena gosip itu dan ini sedangkan ada ketikanya saya tak buat pun seperti apa yang didakwa.

“Benda begitu menyebabkan saya jadi depresi. Kita rasa macam terlalu cuba nak puaskan hati orang lain tapi mereka tak pernah puas pun. Bagi saya, tak apalah, orang tak hargai. Saya ada keluarga dan orang yang kenal diri saya.

“Masa itulah pernah juga rasa macam nak bunuh diri, dirundung emosi yang melampau sampai banyak kali saya diserang anxiety. Tapi saya rasa syukur sangat sebab lekas-lekas ‘keluar’ dari keadaan itu,”katanya.

Cepat tersedar dan mahu merubah diri ke arah lebih baik, kata Chacha, seiring masa berlalu, dia sedar pengalaman seperti itu adalah apa yang mematangkan dirinya sekarang.

Tidak menyesali dengan apa yang pernah dilalui sebelum ini, kata Chacha, dia menganggap semua itu sebagai satu pengajaran hidup.

“Satu yang memang saya pegang sampai sekarang, kita ini memang tak akan boleh puaskan hati semua orang. Sebab itulah yang akan menyebabkan kita depresi. Lebih baik lantakkan saja apa yang orang nak cakap yang penting kita bahagia dengan cara sendiri.

“Tak kiralah kena gosip ke atau apa saja, saya pun dah berusaha untuk berubah. Maklumlah, kita semua pernah lalui zaman muda bukan. Tapi bila saya nak berubah, orang macam tak nampak pula.

“Tapi tak apalah, saya tak kisah pun sebab yang penting adalah diri sendiri,” katanya.

Kecilkan pergaulan, lebih berhati-hati
Tidak dapat dinafikan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga jarang mendengar gosip liar membabitkan pelakon ini. Berbanding dulu, ada saja yang tidak kena dan dia dihambat dengan cerita panas.

Menebak bahawa dia kini semakin berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran atau perkongsian di media sosial, kata Chacha, dia tidaklah terlalu berwaspada namun ada ketika tidak begitu rancak lagi mahu berkongsi di ruangan itu.

“Tak adalah berhati-hati sangat pun sebab saya percaya, selagi sudah namanya artis atau selebriti, banyak saja mata yang memerhati di sekeliling. Nak sorok apa sangat pun sebab nanti lama-lama orang akan tahu juga.

“Tapi satu yang saya rasa berbeza sekarang, hidup saya dah banyak yang berbeza. Sekarang memang banyak buat kerja dan keluar dengan keluarga saja. Itulah kehidupan saya kini,”katanya.

Pun begitu, kongsi pelakon ini, dia akui kini lebih suka untuk mengecilkan kelompok pergaulan kerana sedar tidak semua yang bergelar kawan itu adalah sahabat.

“Orang yang kenal saya memang tahu saya ini jenis yang peramah. Sampaikan kalau di set penggambaran pun, krew boleh jadi kawan baik. Kita ini boleh berkawan dengan semua orang tapi yang paling rapat dengan kita itu belum tentu adalah kawan yang baik.

“Boleh jadi, dia jugalah yang akan tikam diri kita di belakang dan orang yang baru kita kenal itu pula yang jujur dengan kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya