Tuberkulosis (batuk kering) adalah suatu penyakit berjangkit berbahaya, yang disebabkan organisma Mycobaterium tuberculosis (lebih dikenali sebagai TB).
TB dikesan ahli arkeologi sejak 9,000 tahun dulu di Atlit Yam (bandar yang ditenggelami lautan di kepulauan Mediterranean), melalui ibu dan anak yang dikebumi bersama. Manakala sejarah TB pula mulai didokumentasi sejak 3,300 dan 2,300 tahun dahulu, masing-masing di India dan China.
TB merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada tahun 1940an dan 1950an. Pada tahun 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan TB di seluruh dunia, manakala di Malaysia, dilaporkan insiden jangkitan TB dianggarkan sebanyak 30,000 orang.
Di Malaysia, pada tahun 2018, Selangor mencatatkan kes TB tertinggi (5,071 orang), berikutan jumlah penduduk yang padat disertai faktor sosioekonomi yang rendah di bandar, diikuti Sabah (3,122) kerana banyak penduduk bukan warganegara tidak tampil untuk pengesanan awal kerana bimbang diambil tindakan undang-undang.
TB adalah penyakit yang tidak mengenal usia dan mudah berjangkit, namun begitu terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitan TB yang teruk, iaitu BCG.
Menurut kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beberapa faktor dikaitkan dengan pertambahan bilangan pesakit TB. Antaranya kemiskinan, kekurangan penjagaan dan kemudahan perubatan, dan juga persekitaran serta gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok.
Penyakit TB mudah merebak di kalangan orang yang dijangkiti TB apabila tinggal bersama atau terdedah bersama di satu-satu tempat untuk jangka masa yang tertentu (contohnya di tempat kerja atau asrama pekerja). Ia merebak melalui udara, iaitu apabila seseorang batuk, bercakap atau menyanyi.
Seseorang yang mempunyai jangkitan HIV adalah berisiko 18 kali ganda lebih tinggi menghidap TB. Risiko yang tinggi juga didapati di kalangan perokok (1.6 kali ganda faktor risiko) dan pengambilan alkohol (3.3 kali ganda faktor risiko). Risiko jangkitan juga adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah seperti pengambil ubatan steroid, dan pesakit-pesakit kanser, systemic lupus erythematosus (SLE), rheumatoid arthritis, dan diabetes (kencing manis).
Walaupun TB paru-paru (pulmonary TB, atau PTB) adalah sangat mudah berjangkit, namun perlu dinyatakan juga yang ia tidak merebak melalui perkongsian tandas, ciuman, makanan atau minuman, pakaian atau tempat tidur, atau bersalaman. Apabila seseorang menyedut udara yang mengandungi bakteria TB ini, barulah jangkitan akan berlaku dan ia akan terus merebak ke bahagian paru-paru.
TB juga boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti tulang belakang, kelenjar limfa, otak, buah pinggang, atau abdomen.
Namun demikian, pesakit TB bahagian lain ini tidak mudah menjangkiti orang lain, berbanding PTB.
Tanda-tanda seseorang dijangkiti PTB adalah:
- Batuk berpanjangan melebihi dua minggu
- Batuk berdarah
- Batuk berkahak yang tidak sembuh setelah mengambil antibiotik
- Berpeluh waktu malam
- Kurang selera makan
- Berat badan menurun
- Pernafasan yang terasa sakit di dada, terutamanya apabila menarik nafas yang dalam
- Badan merasa seram sejuk
Antara tanda-tanda TB bahagian anggota badan yang lain (selain daripada yang telah dinyatakan di atas):
- Demam berpanjangan
- Bengkak kelenjar di leher
- Sakit tulang belakang
- Kencing berdarah
- Sakit perut yang berpanjangan
- Cirit-birit yang tidak berhenti dengan rawatan biasa
- Keletihan tanpa sebab
- Jaundis (kulit menjadi kekuningan)
- Sakit kepala yang tidak berhenti/ semakin teruk
- Perubahan tingkah laku
Rawatan TB
Rawatan TB dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik DOTS (Directly Observed Treatment) semasa fasa intensif. Rawatan TB di klinik DOTS telah pun terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan berbanding pengambilan ubat secara sendiri.
Kini, ubatan TB yang perlu diambil adalah lebih mudah untuk pesakit berbanding zaman dahulu, dan kesan sampingan juga sentiasa diawasi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa. Namun untuk pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan atau mempunyai kekangan lain untuk hadir secara fizikal bagi pengambilan ubat, kini terdapat alternatif pengambilan ubat secara teleconsultation atau video observed treatment (VOT), dan cara sebegini didapati sangat membantu pesakit TB untuk pulih.
Kawalan dan Pencegahan TB
Cara kawalan jangkitan TB adalah dengan mengelakkan pendedahan, termasuklah menghindari tempat yang sesak, menghindari pesakit TB sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti dan memastikan sistem pengudaraan yang baik.
Apabila anda mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan, anda perlulah ke klinik kesihatan secepat mungkin untuk membuat ujian saringan TB. Antara ujian yang akan dilakukan adalah x-ray paru-paru, sampel kahak untuk calitan AFB (acid fast bacilli), atau doktor mungkin juga mengesyorkan ujian Mantoux (tuberculin skin testing) jika simptom TB ini berlaku terhadap kanak-kanak.
Seseorang yang dijangkiti TB perlu memberitahu ahli keluarga terdekat atau pun rakan serumah/ rakan sekerja untuk turut membuat saringan di klinik kerajaan atau swasta. Ini adalah untuk membendung penyakit ini daripada merebak dengan lebih buruk, dan bagi memulakan rawatan seawal mungkin sebelum bakteria TB merebak ke anggota badan yang lain.
Setelah disahkan menghidap TB paru-paru, anda akan diberikan surat cuti sakit untuk tempoh yang tertentu. Pada masa yang sama rawatan intensif TB akan dimulakan. Rawatan perlu diambil selama 6 bulan. Untuk jangkitan TB selain daripada paru-paru, tempoh rawatan adalah lebih lama.
Pertubuhan Kesihatan dunia (WHO)
- WHO merangka strategi global bagi menamatkan TB pada 2030, namun ia tetap memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya. Antara strateginya:
Pencarian kes dan rawatan yang rapi untuk menyelamatkan individu serta menghentikan penularan jangkitan kepada kenalan. Pengenalpastian kes perlu menggabungkan simptom klinikal dan mikroskopik dan mengikuti proses rawatan di klinik DOTS.
Pengesanan kontak (contact tracing) bagi kenalan setiap kes TB aktif perlu dijalankan di lapangan supaya jangkitan baharu dapat dikenal pasti dan dirawat sebelum menjadi kes aktif. - Sistem pengawasan baik adalah asas mengawal sebarang penyakit berjangkit. Sistem pentadbiran untuk merekodkan kes dan hasil pemantauan adalah perlu untuk menganggarkan kejadian sebenar penularan penyakit.
- Bekalan ubat mencukupi mesti disediakan untuk populasi atau individu yang menghidap tuberkulosis. Masalah kekurangan bekalan ubat mungkin lebih serius di negara miskin yang menghalang mereka daripada mendapat rawatan TB yang efektif.
- Kerajaan perlu komited terhadap kawalan tuberkulosis. Sumber dan infrastruktur serta kakitangan kesihatan awam diperlukan untuk melaksanakan dan mengekalkan program kawalan tuberkulosis dalam jangka masa panjang.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.










