KUALA LUMPUR: Komposer dan pemuzik terkenal, Ajai menyifatkan tindakan segelintir usahawan yang menceburi bidang nyanyian untuk melariskan produk tidak akan mengancam industri muzik tempatan.
Hal demikian kerana, pendengar, lebih-lebih lagi yang berilmu dalam muzik pasti dapat membezakan antara penyanyi berbakat dengan yang tidak.
“Kita tak perlu risau. Mereka perlukan populariti, untuk pasarkan produk. Mereka pun sedar, bakat dalam nyanyian itu mereka tak ada.
“Tiada syarat yang menghalang golongan ini untuk menyanyi. Cuma kita tahu, mereka tidak akan kekal sebagai penyanyi,” katanya.
Ajai pada masa yang sama mengakui pernah menolak tawaran untuk menghasilkan lagu bagi golongan seperti itu.
Katanya, tindakannya itu adalah untuk menjaga nama dan jenama sebagai seorang anak seni yang mengambil berat soal bakat dan kebolehan (nyanyian).
“Saya akan dengar dahulu, boleh nyanyi atau tidak? Boleh perbaiki? Tak boleh? Minta maaflah. Orang ramaipun janganlah hentam. Cakap baik, tak boleh. Buat benda lain. Itu sahaja.
“Kesannya besar. Ada usahawan yang tawarkan saya bayaran lumayan, buat lagu untuk mereka. Saya tetap fikir jenama Ajai itu. Saya tidak akan gadaikan.
“Industri hiburan ini subjektif. Untuk kita berhibur. Tapi, dalam hendak capai hiburan itu, ada kerja yang kami kena buat. Itu orang tak tahu. Bukan kerja mudah,” ujarnya.