“Saya suka bahasa Melayu kerana ia sangat mudah. Saya berani katakan bahasa ini merupakan salah satu bahasa paling mudah di dunia,” tegas Nail Karimov, 21 kepada Utusan Malaysia sewaktu bertemunya baru-baru ini.
Anak kelahiran Baku, Azerbaijan ini mendedahkan, ada pelbagai sebab mencetuskan keterujaannya mempelajari bahasa Melayu.
Pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini berkata, pada awal semester bermula dia dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp pelajar yang dijadikan sebagai platform perbincangan selain perkongsian maklumat berhubung universiti.
Namun katanya, memandangkan majoriti pelajar adalah dalam kalangan orang tempatan, maka perbualan biasanya adalah dalam bahasa Melayu.
“Dari situlah terdetik minat saya untuk mempelajari bahasa Melayu dan memahami apa yang mereka perbualkan,” katanya yang menuntut di UTP sejak 2019.
Nail turut mengambil kaedah mempelajari selok belok budaya orang Melayu kerana ia merupakan antara aspek terpenting yang dapat memudahkannya berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Nail mendengar mengenai Malaysia sewaktu dia masih menuntut di Sekolah Minyak Tinggi Baku, Azerbaijan.
“Sekumpulan eksekutif dari syarikat minyak gergasi Malaysia, Petronas datang melawat sekolah saya dan membuat pembentangan tentang program biasiswa ditawarkan kepada pelajar. Melihat peluang keemasan itu, saya terus membuat permohonan,” katanya.
KELEBIHAN BAHASA
Belajar di luar negara memberikan pengalaman baharu. Mempelajari bahasa sesebuah masyarakat menjadikan pengalaman itu lebih manis.
Kata Nail, kelebihan ketara bila tahu berbahasa Melayu ialah, ia sangat membantu dirinya memahami penduduk tempatan di luar kampus memandangkan tidak semua orang di situ boleh berbahasa Inggeris dengan betul.
“Saya menggunakan perbendaharaan kata bahasa Melayu asas sahaja untuk menangani situasi tersebut dan ia ternyata berkesan,” ujarnya.
Kesungguhan anak jati Azerbaijan ini mempelajari bahasa Melayu, sangat mengagumkan. Setiap hari dia akan mempelajari antara 20 hingga 30 perkataan-perkataan baharu. Nail turut rajin mengambil inisiatif membuat latihan bertulis dengan bantuan rakan-rakan Melayunya.
“Saya belajar bahasa Melayu pada tahun pertama di universiti. Saya ada beberapa buah buku panduan dan latihan. Saya mudah memberikan fokus terhadap pembelajaran bahasa Melayu kerana ketika itu juga merupakan permulaan wabak Covid-19.
“Saya mengambil masa sekitar dua bulan untuk mencapai hingga tahap sekarang. Tapi disebabkan kini saya perlu fokus kepada pelajaran, maka saya tak dapat luangkan masa untuk belajar bahasa Melayu seperti dulu, namun masih cuba mengambil beberapa perkataan baharu daripada rakan-rakan,” katanya.
Orang yang paling gembira mengenai pencapaiannya itu, sudah pasti ibu bapa Nail yang cukup berbangga bila anak kesayangan, mampu berkomunikasi dalam bahasa yang berbeza.
Perenggan Melayu yang mula-mula dipelajarinya ialah ‘Saya sayang awak’ manakala perkataan seperti ‘nak makan’, ‘mantap’, ‘tidur’ dan ‘sedap’ merupakan antara perkataan kegemarannya.
Memandangkan tempat pusat pembelajarannya terletak di Seri Iskandar, Perak, ditambah pula dengan keterbatasan pergerakan susulan Covid-19, agak sukar bagi Nail dan rakan-rakannya mengembara ke seluruh negara. Apabila kelonggaran diberikan, dia dan rakan-rakannya segera melawat Kuala Lumpur.
“Selama ini kami sekadar melihat menara berkembar Petronas dalam gambar sahaja, tetapi setelah melihat bangunan pencakar langit secara fizikal, kami benar-benar merasa takjub,” katanya.
KEHIJAUAN MALAYSIA MEMIKAT
Sehingga hari ini, terdapat lima pelajar Azerbaijan yang sedang menuntut di UTP. Bumi Malaysia menjadi pilihan bukan sahaja kerana peluang menuntut ilmu tetapi juga kehijauannya.
“Secara peribadinya kehijauan bumi Malaysia sangat bagus untuk mendapatkan mood positif. Kampus kami yang dikelilingi oleh hutan menambahkan lagi keindahannya,” jelasnya yang memberitahu turut teruja dengan cuaca di Malaysia yang sentiasa hujan dan panas, dibandingkan cuaca sejuk di negaranya.
Sebagai seorang perantau yang datang dari budaya dan gaya hidup berbeza, sudah tentu Nail sering dikejutkan dengan budaya-budaya tempatan yang unik seperti seperti perlu membuka kasut sewaktu masuk ke dalam pejabat.
“Bukan itu sahaja, saya pun rasa agak pelik dengan nasi lemak yang turut disertakan kekacang. Saya tidak pernah melihat gabungan nasi dengan sesuatu seperti itu,” tambahnya yang menggemari kesedapan nasi lemak.
Kerap bercakap bahasa Melayu
“Kalau nak lebih cepat menguasai bahasa Melayu, saya berkomunikasi dengan rakan-rakan tempatan. Malangnya disebabkan sekarang saya sibuk dengan pembelajaran di universiti maka sukar untuk saya menumpukan perhatian kepada mempelajari bahasa,” katanya.
Menurut Nail, rakan seuniversiti selalu terkejut kalau dia mula bercakap dalam bahasa Melayu.
“Terpulanglah kepada mereka untuk jawab dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Bergantung kepada pilihan setiap individu. Begitupun saya sangat selesa dengan warga tempatan kerana dilihat tidak agresif. Bagi saya setakat ini warga Malaysialah yang paling tenang pernah saya lihat,” katanya.










