Apabila si sumbang diajak menyanyi

Apabila si sumbang diajak menyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALA kegilaan dan kemerosotan industri muzik Malaysia boleh diarahkan ke satu punca: kekurangan penghargaan muzik. Ini penyakit sebenar industri kita.

Penghargaan muzik dalam kalangan masyarakat tidak pernah dijadikan agenda, malah ia dihakis dengan segala kegilaan mengejar populariti serta potensi tular.

Sejarahnya panjang. Sejak media menjadikan faktor luar muzik (contoh: paras rupa, gosip cinta, kontroversi) sebagai umpan utama menarik pembaca/penonton sehinggalah kini. Hal-hal merapu dijadikan sandaran untuk popular, seterusnya menjebakkan individu yang tidak layak menyanyi menjadi penyanyi.

Saya tidak menolak penuh faktor-faktor luar muzik ini dijadikan bahan berita. Malah, saya berpendapat, dalam beberapa keadaan ia perlu. Para pemuzik bukan komoditi untuk dagangan, maka kisah-kisah luar muzik membantu memanusiakan peranan mereka dalam industri. Baik kisah inspirasi sebagai motivasi peminat atau kisah kontroversi sebagai pedoman, ia perlu dirakamkan.

Namun, seperti hampir semua benda dalam dunia, ia tidak boleh berlebihan. Keadaannya sekarang, faktor luar muzik terlalu dominan sehingga menenggelamkan faktor muzik. Sesiapa sahaja boleh jadi penyanyi asalkan pernah tular dan punya pengikut media sosial yang ramai. Penyanyi itu kerjaya profesional dan segala kegilaan ini ialah penghinaan kepada profesion mereka.

Penipuan bersejarah

Lebih 30 tahun lalu, pasangan duet Fab Morvan dan Rob Pilatus yang menggelarkan diri mereka Milli Vanilli memenangi kategori Artis Baharu Terbaik dalam Anugerah Grammy 1990. Kemenangan itu disambut meriah kerana populariti duo tersebut dengan lagu-lagu dalam album pertama mereka, Girl You Know It’s True yang memuncak ketika itu.

Segalanya indah sehingga kebenaran akhirnya didedahkan. Duo tersebut tidak pun menyanyi untuk album mereka. Vokal yang dirakamkan milik orang lain dan sepanjang persembahan langsung, mereka hanya menyanyi dengan gerak bibir.

Namun, mengapa penerbit, Frank Farian masih mahu menggunakan wajah dan persona mereka walaupun vokal tidak capai par? Kerana mereka ada wajah kacak dan pandai menari.

Ini contoh betapa faktor luar muzik mendominasi dunia muzik dan ia berlaku 32 tahun lalu. Sekarang bagaimana?

Gimik merapu

Baru-baru ini pula, usahawan kontroversi, Iqbal Zulkefli terpilih sebagai peserta pertandingan nyanyian. Usahawan ini telah merakamkan satu lagu dan video muziknya ditonton berjuta kali di Youtube.

Sejak awal pelancaran lagunya itu, dia sudah dikritik, dikecam malah dihina. Ramai meluahkan rasa, dia belum sampai tahap untuk jadi penyanyi. Bagaimana pula dia layak memasuki pertandingan nyanyian kalau begitu?

Inilah namanya kegilaan. Tidak ada hujah yang dapat saya fikirkan untuk merelevankan penyertaan itu kecuali faktor-faktor luar muzik. Segala kontroversi percintaannya, perangai merapunya dalam media sosial: ini mampu menarik perhatian terhadap pertandingan tersebut.

Ada potensi tular. Boleh tarik lebih ramai penonton. Ini lubuk wang. Mungkin itu spekulasi yang boleh saya timbulkan. Untuk berbahas dia layak secara muzik, saya menyerah kalah awal.

Sampai bila?

Sudah hampir dua tahun kolum Rondivu wujud. Sepanjang tempoh itu, saya jumpa ramai seniman bergelut. Anda lihat Sekumpulan Orang Gila (SOG) menempa kejayaan apabila layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu, tapi saya tahu pergelutan mereka untuk sampai ke tahap itu.

Mereka berjaya, bagaimana dengan yang tidak berjaya? Masih merangkak memohon sambutan industri. Pada tahun album SOG dilancarkan, Ramayan dan Jemson juga melancarkan album dan ia sangat berkualiti. Tapi, siapa yang pandang?

Tahun ini A. Limin dan Dewataraya melancarkan album yang juga, bagi saya, sangat berkualiti. Tapi apa pengiktirafan yang mereka terima? Buat pelancaran album pun terpaksa jual instrumen. Buat jelajah pun tiada yang mahu taja.

Ramai lagi pemuzik independen yang terpaksa bertatih kumpul simpanan untuk merealisasikan impian punya album. Kadang-kadang terkurung dalam murung selepas menumpahkan segala jus kreatif untuk menghasilkan karya berkualiti. Tapi industri tak pandang pun mereka. Tiada penghargaan, tiada putaran radio.

Mengetahui pergelutan pemuzik yang bersungguh-sungguh menghasilkan karya berkualiti tetapi tidak dapat sehabuk pengiktirafan ini menambah lagi marah dan kecewa kepada kegilaan industri ketika ini.

Yang sumbang dapat pentas besar tapi yang merdu dilengser ke jalanan. Sampai bila industri kita mahu gila begini? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya