Safwan Nazri buka klinik kesihatan - Utusan Malaysia

Safwan Nazri buka klinik kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian pelakon meningkat naik, Safwan Nazri untuk membuka sebuah klinik akhirnya terlaksana apabila dia pada tahun ini bakal mengusahakan sebuah cawangan Megaklinik Zahran tidak lama lagi.

Safwan berkata cita-cita tersebut telah lama disimpan sejak dia menuntut di sebuah institusi pengajian tempatan beberapa tahun yang lalu.

“Saya sudah lama bercita-cita untuk membuka sebuah klinik kesihatan sejak melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang sains beberapa tahun lalu. Namun hajat itu tidak kesampaian.

“Kalau orang anggap penglibatan saya ini sebagai bidan terjun, saya kata tidak. Memang minat ke arah itu sudah ada.

“Alhamdulillah, impian itu tercapai setelah diberi peluang dan kepercayaan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Nafidz Razak untuk membuka salah sebuah cawangan klinik berkenaan tidak lama lagi,” katanya.

Safwan berkata demikian ketika ditemui usai Majlis Apresiasi Usahawan Pelesenan Kumpulan Megaklinik Zahran yang dianjurkan di ibu kota semalam.

Bercakap soal lakonan, pempengaruh media sosial terkenal itu berkata kerjaya tersebut tetap menjadi antara yang diutamakan memandangkan banyak tawaran yang diterima dari syarikat produksi tempatan.

“Saya memang minat berlakon, sejak menyertai pertandingan Hero Remaja lagi. Kalau ada tawaran, saya ambil.

“Tetapi saya sedar, berlakon sahaja tidak semestinya menjamin masa hadapan yang baik. Saya pun bukanlah pelakon profesional, masih lagi mencuba. Sebab itu saya ceburi perniagaan untuk menyara kehidupan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Safwan bersyukur kerana kandungan-kandungan yang dikongsikannya di media sosial sedikit sebanyak menjadi punca rezeki untuk kelangsungan hidupnya.

Namun, pelakon berusia 27 tahun ini tidak mahu melampaui batas dengan menghasilkan kandungan-kandungan bersifat kontroversi semata-mata mengumpul pengikut yang ramai di media sosial.

“Ramai kenal saya menerusi video dan perkongsian yang saya muat naik di Instagram, TikTok dan sebagainya.

“Tetapi saya mahu kekal bermain selamat. Tidak seperti segelintir Youtuber atau Instafamous lain yang mencetuskan kontroversi untuk menarik perhatian netizen.

“Saya kena berjaga-jaga. Kalau orang ‘hentam’ kita, habis. Sebab itu, saya lebih selesa memuat naik kandungan yang berkonsepkan kekeluargaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.