Gegar Vaganza: Peserta tersingkir, Tok Ram sudah jangka - Utusan Malaysia

Gegar Vaganza: Peserta tersingkir, Tok Ram sudah jangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Juri tetap program realiti popular tanah air, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Datuk Ramli MS menyifatkan, penyingkiran dua bintang pada konsert separuh akhir malam tadi telah dipersetujui secara sebulat suara oleh barisan juri.

Menurut Ramli yang juga popular dengan panggilan Tok Ram, Shidee dan Ani Maiyuni pada hematnya tidak melaksanakan tugasan (lagu) yang diberi dengan sebaik mungkin.

“Sepertimana semua lihat, markah kedua-dua mereka merupakan yang paling rendah. Penyingkiran Shidee memang sudah dijangka.

“Manakala nyanyian Ani menerusi kedua-dua lagu yang dipersembahkan pula bagi saya tidak begitu bagus. Lagu baladanya tidak kuat, manakala lagu fast pula macam berlenggang.

“Juri sebulat suara dan kalau tengok pengiraan markah pun agak sepadan dengan persembahan mereka. Penyampaian persembahan mereka juga tidak begitu bagus,”katanya.

Tok Ram berkata demikian semasa ditemui selepas program tersebut berakhir malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Shidee yang menyanyikan lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Kerna Dia (Yassin Sulaiman) gagal menempatkan diri ke pentas akhir yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan apabila cuma memperoleh markah terendah 58.3 peratus.

Manakala, Ani Maiyuni pula hanya memperoleh markah sebanyak 61 peratus, menjadi peserta yang turut mengikut jejak langkah Shidee tersingkir pada minggu separuh akhir.

Persembahan bertenaga Ani menerusi lagu Lets Get Loud (Jennifer Lopez) dan Sumpah (Aina Abdul) malangnya gagal menambat hati juri untuk melangkah ke pentas akhir.

GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN