Kurus dengan hanya makan daging? Itu pengalaman luar biasa dialami Nur Saheran Abdul Hamid, 46, yang berjaya menurunkan berat badan dengan memakan daging premium seperti stik.
Dia yang sebelum itu mempunyai berat badan lebih 100 kilogram, berjaya menurunkan sebanyak lebih 30 kilogram dalam masa kurang setahun dengan makan menu mewah berkenaan.
“Saya memang penggemar daging. Oleh itu, saya mencari cara bagaimana menurunkan berat badan tanpa perlu ‘berpuasa’ dari memakan makanan kegemarannya itu.
“Maka tercetuslah idea untuk saya membeli stok daging dalam kuantiti banyak kemudian perap sendiri di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Daging stik yang diperap sendiri itu adalah resipi keluarga yang kerap Nur Saheran hidangkan pada kawan-kawan setiap kali mereka berkunjung ke kediamannya di ibu kota.
Kawan-kawan yang menjamah hidangan ini turut menyukainya kemudian mencadangkan untuk Nur Saheran mencuba nasib ke pasaran.
“Setelah dipromosikan dalam media sosial, ia mula mendapat sambutan baik, kemudian saya pun memutuskan untuk membuka perniagaan ini bersama tiga orang rakan baik lain,” katanya sewaktu ditanya mengenai titik tolak dirinya terbabit dalam perniagaan berasaskan daging premium – Just Sear.
Nur Saheran mengakui sebelum itu dia pernah mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan namun tidak berhasil. Namun cintanya tertumpu kepada daging premium itu yang telah membawa berat badannya ke angka ideal.
PELBAGAI BANGSA
Just Sear hasil idea Nur Saheran dibangunkan dengan sokongan tiga rakannya iaitu Mohd. Hisyammudin Mohd. Yunos, 41, Tham Wai Hou, 46, dan Mohd. Shazwan Md. Noh, 36. Menariknya mereka semua bekerja sebagai jurutera.
Mohd. Hisyammudin berkata, memandangkan mereka semua adalah jurutera, maka mereka memiliki kepakaran dalam memasak daging premium dalam tempoh masa singkat malah boleh disediakan sesiapa sahaja tanpa memerlukan kepakaran sebagai seorang cef.
“Hanya perlu nyahbeku dan kemudian bakar, mudah sahaja penyediaannya,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, katanya grafik dan pembikinan video antara isu yang mereka perlu selesaikan dengan baik.
Keunikan Just Sear kerana rakan kongsi daripada berbilang bangsa.
Walaupun ramai menyatakan bekerja dengan berlainan bangsa sukar, lebih-lebih lagi dalam menjalankan perniagaan berasaskan restoran tetapi tidak bagi Just Sear.
“Kalau ada masalah, kami selalu berbincang, dan menyelesaikan perkara itu bersama, ada pepatah mengatakan mencari rakan kongsi perniagaan yang baik itu sama seperti mencari seorang isteri.
“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan baik bersama mereka, malah kolaborasi ini membuatkan restoran lebih ramai dikunjungi oleh kaum pelbagai bangsa,” kata Mohd. Hisyammudin mengakhiri bicara.










