PETALING JAYA: Pelakon Noorkhiriah, meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah produksi yang menawarkan bayaran lakonan yang tidak masuk akal.
Menurut pelakon itu, dia memaklumkan pada mulanya pihak produksi sudah mempersetujui jumlah bayaran yang dikenakan terhadapnya, namun pihak tersebut bertindak mengubah jumlah bayaran.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri pelakon drama popular Nur itu, namun perkongsian berkenaan telah dipadam olehnya.
“Assalamualaikum. Rasanya kena luahkan juga. Makin tidak masuk akal bayaran pengambaran sekarang. Sudah elok-elok berjanji, boleh tarik semula cakap salah janji.
“Korang ingat saya ini tiada maruah. Main tarik-tarik tali macam ini. Tak nak cakap tak nak, jangan main pijak-pijak seperti ini,” luahnya di Instagram.
Mengulas lanjut, Noorkhiriah juga ada memberitahu pihak produksi itu sebolehnya mahu memotong bajet bayaran pelakon.
“Selepas itu, nak sangat potong bajet sehingga majoriti pelakonnya ekstra. Apa nak jadi? Saya berlakon bukan memain ya. Korang jangan mimpi nak dapat gaji sepadan jika dah sendu. Inilah nasib anak seni macam kakak.
“Dulu kakak merajuk seketika disebabkan inilah. Tunggu nak pengambaran sahaja tiba-tiba cakap nama tidak lepas di stesen. Habis itu yang kamu semua membuat panggilan setiap masa, setiap saat itu apa?
“Kakak manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Sabar-sabar manusia hilang juga sabarnya. Kakak tidak marah, tetapi lebih kepada kecewa. Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik,” coretnya panjang.