fbpx

Dukung wanita untuk iklan bengkung, Zul Ariffin anggap cuma kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pelakon dan selebriti popular, Zul Ariffin, 36, menganggap aksi mesranya mendukung seorang wanita untuk tujuan mempromosikan sebuah produk bengkung tempatan baru-baru ini telah berlaku dalam keadaan spontan dan tidak dirancang.

Menurut Zul, sedikit pun tidak timbul soal gimik atau sebahagian daripada strategi pemasaran untuk promosi kerana sejak dari awal babak seperti itu tidak pernah dibincangkan.

“Cuma, semasa penggambaran dilakukan, kami rasa mengapa tidak lakukan sesuatu yang menarik. Tiada lain, ideanya cuma nak ‘having fun’ sepanjang menjalani penggambaran tersebut.

“Memang tak dirancang pun daripada awal akan ada babak seperti itu. Ia berlaku spontan. Tak sangka pula orang nak bercakap mengenainya dan kemudian jadi tular.

“Tetapi, bagi saya, tentang bagaimana orang nak menerimanya itu subjektif. Kalau orang nak bercakap mengenainya dan katakan yang ia nampak macam promosi, terpulang. Mungkinlah, ia kemudiannya nampak menjadi,”katanya.

Zul berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk bengkung jenama Superwoman yang diadakan di Hotel Concorde, di sini, malam semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengasas produk itu iaitu Syasya Abdul Aziz dan Farah Abdul Aziz.

Terdahulu, Zul terjebak menjadi bahan bualan ramai di media sosial apabila aksi lakonan mesra berbaur intimasinya bersama Farah Abdul Aziz menerusi iklan bengkung Superwoman berkenaan menimbulkan rasa kurang senang mereka yang menontonnya.

Selain itu, menjawab lanjut, kata Zul, dia sedar tidak mampu menutup mulut atau menghalang sebarang pandangan peribadi penonton mengenai aksi mesra yang dipaparkan.

Ini kerana baginya, semua itu dilakukan atas tujuan kerja dan bukan suka-suka.

“Bukan kami punya niat pun untuk menjadikan promosi itu antara objektif untuk menjadi tular. Saya tak kisah pun sebenarnya jika orang nak kritik atau kecam sebab saya buat kerja.

“Nak cakap pasal kritikan atau kecaman, itu semua dah saya anggap bak ‘sarapan pagi’. Maaf cakaplah…Apabila tiba bab kerja, memang saya akan komited dan fokus. Kita teruskan saja kehidupan,”katanya.

Dalam pada itu, dia menganggap tiada halangan untuk dia melakonkan sesebuah watak atau aksi sedemikian walau dengan sesiapa pun jika ia atas tujuan kerja.

“Ini adalah bidang bisnes hiburan dan proses kreatif. Lagipun lakonan adalah kerja saya. Bukan saya yang pilih-pilih nak dukung siapa kalau diminta untuk buat kerja. Sekali lagi sata tegaskan, saya cuma buat kerja,”katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai duta produk tersebut, Zul terharu kerana dirinya dipilih dan diberi kepercayaan itu.

Malah, dia juga percaya, penggunaan bengkung bukan sahaja khusus untuk kaum wanita, tetapi boleh juga digunakan oleh kaum lelaki terutama untuk tujuan sokongan tubuh badan yang tegap dan seumpamanya.

“Saya juga menyukai produk bengkung yang banyak membantu saya bersenam di gimnasium walaupun saya akui, tak kongsikan aktiviti senaman saya di media sosial. Saya jenis suka buat secara senyap. Tetapi untuk ini, tak lama pun saya ambil masa untuk bersetuju sebab memang menggunakan bengkung untuk tujuan sokongan tubuh badan.

“Senang bekerjasama dengan pasukan Superwoman dan saya juga menyukai produk bengkung yang dikeluarkan. Semestinya, saya mahukan sesuatu yang berkualiti kerana turut menggunakan nama saya sebagai duta,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI