LOS ANGELES: Pelakon komedi dan pengacara, Bob Saget meninggal dunia pada usia 65 tahun.
Berita mengejutkan itu disahkan keluarganya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Duka cita dimaklumkan, Bob Saget meninggal dunia hari ini (Ahad lalu). Kami ingin anda semua tahu bahawa dia amat menyayangi peminatnya.
“Diharapkan anda semua dapat memberi masa dan ruang privasi kepada kami dalam fasa-fasa sukar ini.
“Sama-sama kita memperingati Bob dan keceriaan yang dibawakannya ke dunia ini,” tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, balai polis Orange County dalam kenyataan memberitahu bahawa pelakon berkenaan ditemukan tidak bernyawa di bilik hotelnya Ahad lalu.
Namun, punca kematian masih belum dapat dipastikan.
“Lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Robert Saget. Beliau disahkan meninggal dunia di sebuah bilik di Hotel Ritz Carlton, Orlando,” katanya.
Saget terjun ke bidang lakonan menerusi filem pertama, Through Adam’s Eyes.
Pelakon dan pengacara kelahiran Philadelphia ini mengecap populariti menerusi drama televisyen popular Full House yang ditayangkan sekitar 1980-an hingga 1990-an.










