PETALING JAYA: Pelakon berkaliber, Nam Ron mengakui pelakon terkenal Eman Manan sebagai idolanya sejak di bangku sekolah lagi.
Menerusi entri di Instagram, pelakon filem Pusaka itu memuat naik beberapa keping gambar kenangan bersama idolanya itu ketika mereka sama-sama membintangi sebuah telefilem.
Menurut Nam Ron, dia mula minat untuk menjadi pelakon selepas melihat pesona figura berkenaan di layar skrin.
“Sejak di bangku sekolah lagi saya dah minat dengan Eman Manan. Hampir semua filem dan drama lakonan dia, saya tonton.
“Saya akui minat nak menjadi pelakon pun datang dari menonton pesonanya di skrin. Saya dapat tahu dia bermula di pentas teater, kerana itu saya pun ikut laluan yang sama, bermula di pentas teater.
“Daripada seorang peminat kini sedar tak sedar sudah tiga projek telefilem saya dapat berkongsi skrin dengan dia. Satu telefilem biasa dan dua super telefilem,” kongsinya.
Dalam pada itu, pelakon berbakat besar itu mengimbau memori ketika bergandingan dengan legenda itu menerusi beberapa projek.
Di samping itu, dia turut memberitahu dirinya baru berkesempatan bergambar dengan idolanya itu selepas 10 tahun ‘mengumpul’ keberanian.
“Selepas 10 tahun baru saya ada keberanian nak minta izin untuk bergambar dengan dia. Begitulah tahap hormat saya untuk pelakon berbakat sepertinya.
“Bukan macam korang baru pertama kali berlakon, sekali sudah mengajak buat video TikTok,” selorohnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati rata-rata peminat dan rakan artis meluahkan rasa teruja dan terhibur dengan coretan akhirnya itu.