NEW YORK: Stesen penyiaran gergasi, CNN memecat pemberita terkenal, Chris Cuomo kerana dipercayai bersubahat merahsiakan jenayah seksual yang dilakukan abangnya yang juga bekas gabenor New York, Andrew Cuomo.
Lapor abcnews, Keputusan itu telah dimaklumkan sendiri Presiden CNN, Jeff Zucker kepada Cuomo pada Sabtu lalu.
“Keputusan ini amat sukar bagi kami. Ia melibatkan banyak faktor yang rumit,” katanya menerusi emel yang diedarkan kepada semua kakitangan CNN.
Cuomo menerusi maklum balasnya di Twitter menyifatkan keputusan tersebut sebagai mengecewakan.
“Ini bukan pengakhiran yang saya mahukan. Saya telah menjelaskan mengapa dan bagaimana saya membantu dia.
“Meskipun kecewa dengan keputusan ini, saya tetap berbangga dengan segala usaha yang dilakukan kru Cuomo Prime Time,” katanya.
CNN dalam pada itu akan terus menyiasat Cuomo meskipun telah memecatnya.
Tahun lalu, beberapa wanita tampil mendakwa diri mereka menjadi mangsa gangguan seksual yang dilakukan Andrew Cuomo.
Gabenor New York ke 56 itu bagaimanapun menafikan kesemua tuduhan yang dilayangkan terhadapnya.