Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari Kementerian Pertahanan capai sasaran - Utusan Malaysia

Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari Kementerian Pertahanan capai sasaran

HISHAMMUDDIN Hussein beramah mesra dengan keluarga tentera semasa mengadakan lawatan ke salah sebuah PPV pandu lalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Di bawah konsep ini, setiap kementerian perlu menyediakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan bermanfaat selari dengan keperluan bagi menangani isu semasa.

Tidak terkecuali Kementerian Pertahanan yang merupakan salah satu tonggak dalam menjaga kedaulatan dan mempertahankan negara daripada sebarang ancaman.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua daripada enam teras utama yang menjadi aspirasi kepada inisiatif tersebut sangat bertepatan dan berkait rapat dengan Kementerian Pertahanan.

“Dua teras tersebut adalah teras kedua dan ketiga iaitu Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara serta Meningkatkan Kesejahteraan Sosial.

“Justeru, Kementerian Pertahanan telah memutuskan untuk menyenaraikan enam aspirasi selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Enam aspirasi tersebut adalah Covid-19; Kawalan Sempadan; Hubungan Antarabangsa; Perumahan; Jiwa Murni dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apa yang paling penting tegas Hishammuddin, Kementerian Pertahanan juga mengambil maklum dan meneliti saranan Ismail Sabri agar inisiatif yang diperkenalkan bermanfaat kepada rakyat (citizen-centric), berimpak tinggi, quick wins dan juga mempunyai wow factor.

Justeru jelasnya, selepas mengambil kira pandangan dan saranan yang diberikan, Kementerian Pertahanan mengenal pasti 15 inisiatif berdasarkan enam Aspirasi Keluarga Malaysia tersebut.

“Sehingga 8 Disember 2021, semua 15 inisiatif ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai tahap sasaran 100 peratus,” ujarnya.

1. COVID-19

Bagi memerangi penularan wabak Covid-19, Hishamuddin berkata, ATM telah menempatkan hospital medan dan berjaya mencapai 100 peratus sasaran yang ditetapkan.

Katanya, sebanyak enam buah hospital medan berjaya dibina walaupun pada asalnya sasaran yang ditetapkan adalah lima.

Apa yang paling membanggakan katanya, penempatan hospital medan milik ATM berjaya menampung 490 katil pesakit dan 26 katil unit rawatan rapi (ICU), sekali gus membantu Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan merawat pesakit Covid-19.

“Selain itu, Program Imunisasi Warga Kerja Pertahanan juga telah mencapai 100 peratus apabila seluruh anggota ATM termasuk keluarga, kakitangan dan murid sekolah dalam kem telah disuntik vaksin Covid-19, sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok.

“ATM juga telah mewujudkan 33 program vaksinasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu iaitu 23 di Semenanjung, 10 di Sabah dan Sarawak. Ini berjaya mempercepatkan proses vaksinasi,” jelasnya

Tambah Hishammuddin, Kementerian Pertahanan telah menyediakan 3,000 kit ujian Covid-19 kepada pelajar di 38 sekolah dalam usaha memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan bebas daripada penularan wabak berkenaan.

“Kementerian turut mengatur gerak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) di 38 kawasan pedalaman iaitu 30 di Sabah, lima di Perak dan satu di Sarawak, Pahang serta Kelantan.

“Dalam usaha memastikan bekalan vaksin dan peralatan perubatan sampai di setiap pelosok kawasan, pesawat TUDM turut diatur gerak melibatkan 21 misi penerbangan,” jelasnya.

2. KAWALAN SEMPADAN

Tegas Hishammuddin, usaha mengekang segala aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan sentiasa menjadi sebahagian misi penting ATM.

Justeru, katanya, ATM telah bersama-sama berganding bahu dengan agensi lain menerusi Op Benteng bagi menangani anasir luar dengan melibatkan aset pertahanan.

TLDM antara salah satu perkhidmatan yang dipertanggungjawab dalam menjaga sempadan menerusi Op Benteng bersama agensi lain.

Antara aset terlibat adalah dua helikopter yang disewa sementara perolehan selesai dan menunggu penerimaan, sekali gus menambah taring ATM.

“Bagi pembangunan pos kawalan sempadan, sebanyak lapan pos kini dalam proses pembangunan.Menerusi pos-pos yang bakal dibina ini, kita yakin keselamatan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

3. HUBUNGAN ANTARABANGSA

Usaha bagi menjamin kedaulatan negara menerusi diplomasi pertahanan diatas jalinan kerjasama hubungan antarabangsa sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan.

Kata Hishammuddin, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah mengukuh kerjasama antarabangsa melibatkan 19 sesi libat urus antaranya Peraturan Pertahanan Lima Negara; mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM); Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 (FDMM) .

“Hasil sesi libat urus ini, negara yang terlibat menyatakan persetujuan untuk meningkatkan kerjasama military to military, sokongan penuh penubuhan ASEAN Cyber Defence Network dan kerjasama dengan negara ASEAN.

“Malah, 17 sesi libat urus Reaffirmation Of Defence Bilateral Relationship berjaya mengeratkan hubungan dan membuka peluang kepada kerjasama pertahanan bersama negara strategik serantau dan luar rantau bagi menjamin kedaulatan dan kepentingan negara,” ujarnya.

HISHAMMUDDIN ketika berucap dalam salah satu forum antarabangsa.

4. PERUMAHAN

Bagi meningkatkan tahap kehidupan yang lebih selesa kepada Warga Kerja Pertahanan (WKP), Kementerian Pertahanan telah melaksanakan inisiatif melalui kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurut Hishamuddin, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil yang mempunyai 2,000 unit. Ia untuk memastikan persekitaran selesa dan kondusif warga kerja pertahanan.

 

5. VETERAN ATM

Jasa dan pengorbanan veteran ATM yang mencurah bakti mempertahankan negara tidak pernah dilupakan.

Lantas, bagi memastikan golongan tersebut tidak tersisih, Hishamuddin berkata, platform digital MyVeteranMall diwujudkan.

GOLONGAN veteran ATM sentiasa dibantu dalam segala aspek termasuk dalam bidang perniagaan.

“Matlamat MyVeteranMall ini adalah memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah. Kami menyasarkan 200 usahawan berdaftar dan ia telah mendapat sambutan apabila 505 usahawan telah sertai dengan diberikan pendedahan untuk menjana pendapatan melalui platform digital.

“Disamping itu, sebanyak 117 unit perumahan veteran ATM telah dibina dan dibaik pulih untuk menjamin kesejahteraan warga veteran.

“Begitu juga dengan pemberian bakul makanan yang kita telah berikan sebanyak 25,600 kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

6. PROGRAM JIWA MURNI

Selaras dengan cogan kata tentera dan rakyat berpisah tiada, ATM telah mengatur gerak anggotanya dalam pelbagai misi berkaitan projek jiwa murni.

Hishamuddin berkata, projek tersebut telah dipergiatkan bagi membantu rakyat dan meningkatkan kerjasama Civil-Military Cooperation.

Katanya, daripada 99 unit sasaran yang ditetapkan sebelum ini, ATM berjaya menyiapkan 107 projek meliputi baik pulih dan membina rumah, dewan dan surau

“Daripada 107 , kita berjaya membaik pulih 99 rumah; pembinaan rumah baru (3); baik pulih dewan (2) dan baik pulih surau (3).

“Dengan adanya misi sebegini, kita berjaya meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di samping mengeratkan hubungan antara warga ATM dan masyarakat,” katanya.

DUA anggota tentera membaiki rumah dalam satu Program Jiwa Murni.

Kata Hishammuddin lagi, semua inisiatif kini sudah mencapai sasaran 100 peratus.

Secara keseluruhannya, sebagai peneraju kepada Kementerian Pertahanan, Hishammuddin amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan 15 inisiatif daripada enam Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Kementerian Pertahanan.

“Pencapaian ini sekali gus menterjemahkan aspirasi dan dokongan kementerian kepada aspirasi Keluarga Malaysia dengan memastikan nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran dapat terus diterap dan dinikmati bersama-sama.

“Dengan komitmen dan kerjasama seluruh Warga Kerja Pertahanan (WKP) saya yakin akan ada lebih banyak lagi inisiatif yang berimpak tinggi dapat dilaksanakan. Kementerian Pertahanan akan sentiasa komited dan bersedia dalam memberikan perkhidmatan dan sokongan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya