BAGI pendapat penyampai radio dan pengacara berpengalaman, Radin Amir Effendi, sebaiknya seorang yang bergelar pengacara haruslah lebih peka menjaga sensitiviti apabila mengacara sesebuah rancangan.
Tidak menafikan, kerana terlalu selesa dengan seorang artis yang dianggap ‘sahabat rapat’, segelintir pengacara bagaikan ‘terlupa’ untuk menjaga aib rakan artis terbabit ketika
dalam rancangan tersebut.
Namun, seeloknya perlu mengamalkan sikap profesional sebagai seorang hos dalam bertanyakan sesuatu soalan agar dapat mengelakkan isu yang tidak diinginkan berlaku.
“Bagi saya, ia berbalik kepada individu itu masing-masing. Kadang kala, ada segelintir pengacara terlalu selesa dengan artis tersebut sehingga dia rasa perkara ini adalah sebagai gurauan.
“Cuma, bagaimana cara penerimaan penonton dan artis tersebut mungkin berbeza. Tetapi isu ini bagi saya hos terbabit perlu menyusun ayat cara pertanyaan.
“Kadang kala, pertanyaan tersebut lebih kepada santai, cuma mungkin penggunaan ayat bila bertanya, akan menimbulkan isu. sedangkan, pengacara berkenaan tiada niat untuk menjatuhkan aib artis itu,” katanya.
Mengulas lanjut, penyampai radio Era itu tidak menafikan ada segelintir pengacara mengambil kesempatan untuk ‘memanaskan’ lagi isu yang sememangnya sudah jadi bualan orang ramai terhadap seseorang artis itu.
“Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ada juga segelintirnya mengambil kesempatan di atas kesempitan terhadap seseorang artis.
“Mencari seorang pengacara yang bagus dalam sebuah majlis atau rancangan adalah penting. Namun, ia bergantung kepada pemain industri yang dilihat sudah ada pengacara mereka dalam sebuah rancangan.
“Selain itu, bukan kerana perubahan zaman mengenai cara mengacara, bahkan ini kerana permintan penonton sendiri serta pemain industri tahu apa penonton mahu dan juga apa yang mereka hendak,” ujarnya