KUALA LUMPUR: Penyanyi rap baharu, Farhan Alias, 31, tidak menafikan lagu patah hati turut menyumbang kepada populariti seseorang penyanyi.
Menurut penyanyi yang mesra disapa Fhan itu, berkata, pasaran muzik tempatan pendengarnya lebih gemarkan lagu-lagu patah hati, namun antara lain yang menaikkan nama seorang penyanyi itu juga apabila memiliki personaliti yang baik.
“Saya rasa itu adalah genre yang senang untuk pendengar ikuti atau layan. Sejujurnya lagu saya pun ada patah hati iaitu Walk Away.
“Tetapi, secara peribadi bagi saya populariti penyanyi itu akan naik bukan disebabkan lagu sahaja tapi dengan memiliki personaliti yang merendah diri dan senang mesra,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai pendatang baharu, Fhan lebih mengutamakan mesej lagunya dinikmati pendengar berbanding mendahulukan populariti.
“Bagi saya itu tidak menjadi masalah sebab yang penting dapat sampaikan mesej lagu tersebut kepada semua pendengar.
“Dua single terbaharu Walkaway dan Nitro berkisarkan liku-liku dalam industri atau pun bisnes yang saya ceburi dan saya selitkan pelbagai cabaran dan ragam manusia yang pernah saya jumpa. Konklusinya biar kita sendiri berjuang untuk sampai ke puncak,” ujarnya.
Tambah Fhan, dia menyasarkan karyanya dapat menembusi pasaran antarabangsa di Filipina, Indonesia dan Singapura.
Sebagai informasi, Walk Away merupakan hasil ciptaan komposer Mingaling, Madebyartin, Imgkay dan penulis lirik oleh Amir Hasan.
Selain itu, Fhan mula aktif dalam dunia muzik sejak tahun lalu dengan kemunculan dua single berjudul Terbang Tinggi dan Bertahan serta Terang dalam pertengahan tahun ini.










