Saya ini hanya menumpang rezeki Maryam - Ammar Titan - Utusan Malaysia

Saya ini hanya menumpang rezeki Maryam – Ammar Titan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tersentuh hati apabila berbicara mengenai kehadiran cahaya mata keduanya, pelakon dan pengacara, Ammar Titan, tidak menolak, dia kini umpama menumpang rezeki Maryam Malaika yang kini sudah menginjak ke usia dua bulan.

Menurut Ammar, nalurinya sebagai seorang bapa tentunya sentiasa meletakkan kesyukuran atas setiap kurniaan Ilahi apalagi kata orang, kehadiran zuriat juga membuka lebih banyak pintu rezeki buat mana-mana pasangan yang sudah berkahwin.

“Setiap tawaran kerja yang saya dapat, saya akan bisik pada Maryam, ‘Abi ini tumpang rezeki Maryam ya’. Kadangkala, saya sentiasa teringat apa yang orang cakap sebelum ini, dengan apa yang pernah terjadi pada saya.

“Mereka kata saya ini tak mungkin boleh bangkit semula. Tak dinafikan, ada ketika memang saya termakan dengan kata-kata nista itu.Tapi, bila dikurniakan anak, rezeki itu sentiasa ada.

“Bila saya boleh bawa keluarga kecil saya pergi bercuti pun hati rasa bahagia,”katanya.

Ammar berkata demikian semasa ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Siapa Tutup Lampu yang diadakan di Pusat Membeli-Belah, One Utama, di sini semalam.

Turut membintangi filem terbitan Horizon Film Entertainment dan Articulate Fusions Productions ini ialah Uyaina Arshad, Naim Daniel, Ismi Melinda, Azhar Jalil, Afieq Shazwan, Melissa Campbell, Mark O’dea, Geoff Andre Feyaerts, Yusof haslam, Fatimah Abu Bakar, Lisdawati, Taufiq Hanafi, Nurin Afiqah dan Qasrina Karim.

Selain itu, tambah Ammar, dia juga membiasakan dirinya untuk memperuntukkan masa bersama Maryam pada setiap pagi, berbual bersama puteri keduanya itu.

“Saya percaya,hidup saya sekarang ini pun bukan disebabkan rezeki saya, tetapi tumpang rezeki anak dan isteri, untuk saya terus bekerja demi keluarga.

“Memang bekerja dalam bidang ini kerana minat. Tetapi sebab kedua saya bekerja adalah untuk keluarga, untuk saya bawa sesuatu ke meja makan,buat keluarga, walaupun sekeping roti.

“Saya tak makan pun tak mengapa. Saya boleh makan dengan produksi. Tapi rezeki yang saya maksudkan ini adalah bahagian mereka. Saya nak berikan semua kegembiraan itu untuk mereka,”katanya.

Dalam pada itu, kata Ammar, dia tidak menolak saat dirinya dipulau dalam industri pada satu tempoh dahulu, merupakan satu fasa perit yang tidak akan dapat dilupakan.

Katanya, ia bagaikan satu ujian dari Allah SWT dan sepanjang berusaha untuk bangkit dan meneruskan hidup, dia sedar semua itu adalah satu proses pembelajaran yang sangat mahal.

“Dulu, saya terasa juga orang maki, orang kecam. Tapi bila seiring masa, saya sedar yang semua itu adalah satu proses dalam hidup. Mereka yang buat begitu sebenarnya mengambil berat dan sayang dengan kita.

“Siapa kita untuk mengawal sesuatu yang kita tidak boleh kawal? Saya selalu pegang kata-kata isteri, setiap hari adalah hari yang baru. Alhamdulillah, saya semakin positif sekarang,”katanya.

Untuk rekod, Ammar pada tahun 2017 pernah dilanda kontroversi dan dikecam teruk apabila dia menghina bapa atlet Watson Nyambek ketika sedang bersiaran sebagai seorang juruhebah di sebuah stesen radio swasta.

Rentetan hal itu, selain kecaman, Ammar mendakwa turut pernah menerima ugutan untuk mencederakan dirinya selain ugutan bunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.