“Jangan anggap kami peminta sedekah.”- Abot - Utusan Malaysia

“Jangan anggap kami peminta sedekah.”- Abot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA ini pernah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul dengan gaya serba unik. Sewaktu mula mencari tapak membina populariti. Dia seakan tampak selesa dengan imej yang dibawanya tanpa kekok berbanding artis lain sezaman dengannya. Pendiriannya mudah, tidak perlu hipokrit dan perlu jujur dengan diri sendiri.

Namanya pernah diangkat sebagai penyanyi pertama di Malaysia yang merakamkan album berkonsep alternatif ketika era kegemilangan genre muzik ini pada pertengahan 90-an. Percaturannya membuahkan hasil apabila berjaya memahat nama sebaris dengan penyanyi popular lain ketika itu.

Bersama Khabar Legenda, pemilik nama sebenar Narimah Mohamad, 46 atau nama pentasnya, Abot, berkongsi cerita tentang perjalanan kariernya sejak mula menceburkan diri dalam bidang seni sehinggalah hari ini.

“Sejak tadika lagi saya minat menyanyi sehinggalah berlarutan ke sekolah menengah. Namun saya tidak pernah ketengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi kerana ayah tidak merestui, jadi saya hanya aktif ketika persembahan di sekolah sahaja.

“Keluarga sebelah ayah memang warak, mereka memang tidak suka kalau ada di antara kami adik beradik dan sepupu-sepupu yang ingin ceburkan diri dalam dunia hiburan. Bukan sekadar itu sahaja, nak masuk sekolah aliran Inggeris pun mereka tak galakkan jadi impian itu memang saya pendamkan sahaja,” katanya membuka perbualan.

Sebagai remaja yang baru meningkat usia, pelantun lagu Kasih Sinambungan ini berdoa agar apa yang berlaku tidak berpanjangan, malah sentiasa berharap suatu hari nanti impiannya untuk bergelar anak seni terkabul dan mendapat restu kedua-dua orang tuanya.

Berbanding ibunya, dia sentiasa mendapat sepenuh sokongan untuk meneruskan cita-cita, sekali gus menjadikan dia semakin berkobar-kobar untuk membuktikan bakat yang ada dalam dirinya. Namun, sebagai remaja yang masih dalam perhatian ibu bapa dia terpaksa memendam rasa sehinggalah mampu mengumpul kekuatan menyuarakan hasrat yang terpendam.

“Ayah memang garang, tambah pula dia seorang anggota polis. Dia amat mementingkan pelajaran. Jika ponteng sekolah, report card ada merah, siaplah! Memang kena pukul. Ayah memang tak suka saya jadi penyanyi, katanya penyanyi ini ibarat jual diri. Tapi dia tak kisah pula belikan saya majalah hiburan. Banyak mana pun dia sanggup belikan.

“Saya memang kurang pendedahan apatah lagi ingin bersosial dengan rakan sebaya. Bayangkan ketika ikut ayah pindah bertugas di Kuala Lumpur, tempat paling jauh saya pernah keluar pun hanya di Kompleks Kota Raya. Hidup saya memang sedikit terkongkong. Jadi kalau gian nak menyanyi itu bilik air di rumahlah jadi studio saya,” katanya tertawa.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini akhirnya membuka mulut. Sebaik tamat persekolahan dia berjumpa ayahnya dan meluahkan isi hati. Walaupun mendapat kebenaran, namun banyak syarat perlu dipatuhi. Baginya itu sudah memadai, kerana yang penting adalah mendapat restu orang tua sebelum melangkah jauh ke hadapan.

Melihat satu peluang uji bakat di sebuah syarikat penerbitan Ujang, Karisma Muzik yang ketika itu ingin mencari artis baharu untuk produksinya, dia lantas memberanikan diri mencuba nasib. Walaupun terpilih, namun kerana kurangnya keyakinan diri dia menolak tawaran tersebut, sehinggalah ditawarkan untuk bekerja di syarikat berkenaan sebagai kerani.

Sekali lagi dia meminta keizinan dari keluarga, walaupun mereka berat untuk melepaskannya, namun dia punya alasan tersendiri. Lafaznya untuk berdikari dan membantu keluarga adalah keutamaan walaupun Kedua ibu bapanya mengharapkan agar dia menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ketika berhijrah ke Kuala Lumpur, ayah tidak call saya kerana merajuk. Hanya emak sahaja yang sering tanya khabar dan sebagainya. Saya faham perasaannya, namun alhamdulillah tidak lama berlarutan.

“Bila sudah bekerja barulah saya dapat banyak pendedahan tentang bidang seni terutamanya dari bantuan rakan-rakan sehinggakan saya terpilih untuk menyertai pertandingan Asia Bagus,” katanya.

Menzahirkan rasa terima kasih kepada insan-insan yang banyak membantunya selama ini, pelantun lagu popular Camar ini memberitahu tanpa mereka yang sering menjadi tulang belakang dalam kehidupannya tidak mungkin dia berada di tahap ini.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, dahulu saya merupakan anak angkat kepada pasangan Primadona Allahyarhamah Normadiah dan Aziz Jaafar. Saya pernah tinggal dengan mereka hampir setahun lamanya di Subang Jaya. Mereka banyak ajar saya tentang dunia lakonan, sebab itulah saya boleh berlakon,” katanya.

Ambil masa lama untuk bangkit semula

Impian meneruskan cita-cita sebagai penyanyi akhirnya terkabul apabila dia dilamar oleh syarikat rakaman Gomogi Productions. Pada mulanya dia tidak menyangka diberikan peluang tersebut kerana pada asalnya dia cuma menemankan seorang rakan untuk ke uji bakat, namun komposer Lan Laga dan Sam memintanya untuk menggantikan tempat rakannya yang tidak terpilih.

Ibarat bulan jatuh ke riba apabila peluang tersebut diberikan kepadanya. Dia mencurahkan bakat terpendam sedia ada, malah yang menariknya dia diberi kebebasan penuh untuk menzahirkan apa yang ingin ditonjolkan dalam karya tersebut.

Pernah mendapat jolokan Dolores O’Riordan Malaysia, penyanyi ini tidak malu mengakui dia adalah salah seorang peminat fanatik penyanyi kumpulan The Cranberries, malah selain itu dia juga sering mengkaji dan mengikuti secara serius pelbagai genre muzik Barat terutamanya karya broadway dan classical.

“Alhamdulillah, sepanjang karier sebagai penyanyi saya berjaya menerbitkan tiga album iaitu, Alternatif Buat Orang Timur (1996), Tak Tahu? (1997) dan Sayang Pok Pai (2002). Memang saya mendapat kepuasan dalam setiap karya yang dipersembahkan kerana saya sentiasa diberi ruang dan kebebasan untuk menjadi diri sendiri,” jelasnya.

Isteri kepada Mohd. Rafli Mohd. Isa atau lebih dikenali sebagai Jac pemain gitar kumpulan FTG, ini sekali lagi melebarkan cabang pendidikannya apabila menyambung pelajaran di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) dalam bidang penyiaran dan filem.

Bukan ingin beralih kerjaya, baginya selagi apa yang dipelajari masih berkaitan dengan muzik dan seni, maka itu adalah saluran tepat untuknya memantapkan kerjaya pada masa akan datang.

Terkini, dia bersama beberapa rakan serius menggerakkan kumpulan buskers dengan membuat persembahan di beberapa kompleks beli-belah di sekitar ibu kota. Walaupun berbeza pentas, namun sebagai penghibur ini adalah ruang untuk dia mencari pengalaman berharga.

“Selepas ibu meninggal dunia, saya memang down. Saya ambil masa lama untuk bangkit semula sehinggalah saya menyertai dunia busking.

“Kini kerjaya tersebut sudah sebati dengan jiwa saya. Ini adalah keseronokan buat saya. Saya minta janganlah sesiapa pandang rendah kepada buskers ini. Kalau ada yang cakap mereka amatur, that is wrong! Cuba duduk dan buat. Bukan mudah.

“Jika di negara Barat dunia busking ini sudah lama popular. Ramai artis hebat yang sudah turun menjadi pemuzik jalanan. Saya kecewa bila ada yang anggap busking ini sebagai peminta sedekah. Kami tidak pernah minta sebarang bayaran kecuali atas ihsan pengunjung.

“Saya rasa cukup terharu dan tersentuh bila nyanyian kita dihargai. Bila ada ibu bapa dan anak-anak kecil yang datang hulurkan sumbangan. Di situlah kepuasan bila melihat senyuman mereka yang ikhlas menghargai kami,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN