Dunia seni: Realiti gangguan seksual - Utusan Malaysia

Dunia seni: Realiti gangguan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA penyanyi dan pelakon, Rafidah Ibrahim, berani membuat pengakuan pernah berdepan dengan situasi gangguan seksual sebelum ini, perkara itu boleh dikatakan telah membuka mata banyak pihak.

Tentu, ia boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira apa latar belakang sekali pun. Namun, fokus isu kali ini adalah dalam mengetengahkan artis dan selebriti sebagai golongan yang dilihat tidak terlepas daripada menjadi sasaran pemangsa-pemangsa durjana ini.

Ini kerana gelaran figura awam yang mengiringi perjalanan dunia glamor seseorang artis atau selebriti itu dianggap satu ruang mudah buat sesiapa sahaja untuk keluar masuk, termasuk sang oportunis yang hadir dengan niat entah apa-apa sahaja.

Namun, apabila sudah menyentuh ke bab gangguan seksual, ia seharusnya tidak dipandang remeh. Ini gejala yang serius.

Apatah lagi, tiada seorang pun individu di dunia ini, baik wanita mahupun lelaki yang wajar menerima perlakuan jijik seperti itu yang tentunya bukan satu keinginan mereka.

Apa kata artis dan selebriti pilihan Pancaindera pada minggu ini? Ini adalah luahan dan pandangan mereka.

Terima mesej tak senonoh, sekat tanpa kompromi – Che Ta

Menerima mesej-mesej berbaur lucah juga boleh dikategorikan sebagai satu daripada cabang gangguan seksual.

Perbuatan seperti ini dilihat amat lazim berlaku dan diterima golongan artis. Tambahan pula dengan kemajuan teknologi dan perkembangan dunia maya tanpa sempadan, sesiapa sahaja boleh menghantar mesej kepada artis menerusi ruangan media sosial.

Semuanya mudah di hujung jari, maka semudah itu jugalah pemangsa-pemangsa ini mencari sasaran mereka dan melakukan perbuatan tersebut kepada artis.

Pelakon jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta misalnya. Dia mengaku pernah menerima mesej-mesej berbaur tidak senonoh seperti itu apalagi daripada mereka yang langsung tidak dikenali.

“Memang sejak adanya media sosial, Instagram misalnya, saya sebagai artis turut terkena dan menjadi mangsa mereka yang berkelakuan tidak senonoh seperti ini. Menerima mesej-mesej berbentuk lucah. Bukan kata saya, rasanya ada lagi artis lain yang pernah menerima perkara yang serupa.

“Nama pun media sosial, macam mana kita nak halang orang menghantar mesej?Tetapi, dalam bab ini saya tegas. Saya tak akan berkrompomi dengan manusia-manusia gila macam itu.

“Jadi, biasanya saya akan terus menyekat pengguna seperti itu di media sosial. Nak buat macam mana lagi? Kecuali kalau betul-betul melampau, saya tidak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas,”katanya.

Pun begitu, Che Ta melahirkan rasa lega kerana sepanjang membina kerjayanya dalam industri, dia mengaku setakat ini tiada gangguan seksual yang diterimanya di tempat kerja atau di set penggambaran.

Perkara serius, kena tegas – Isyariana

Menyimpan pandangan yang serupa dengan Che Ta, pelakon Isyariana juga melahirkan rasa lega kerana sepanjang menceburi bidang seni, perkara sedemikian tidak berlaku terhadap dirinya.

Pun begitu, dia sangat sedar bahawa mungkin ada artis dan selebriti lain yang berdepan dengan kejadian seperti itu dan ia tidak seharusnya dibiarkan.

“Setakat ini, saya tak pernah ada gangguan seksual di set penggambaran atau dalam industri atau daripada orang yang tidak dikenali. Tetapi kalau di media sosial, adalah beberapa kali terkena.

“Saya pun tak akan melayan dan akan terus menyekat pengguna terkutuk seperti itu. Bagi saya, kita sebagai pengguna dan pemilik akaun media sosial juga berhak dan perlu bertegas jika sesuatu itu tidak kena dengan kita.

“Sama ada komen negatif, mesej-mesej tidak senonoh dan sebagainya. Kita sebagai pengendali akaun kena bertegas. Sekat sahaja mereka ini,”katanya.

Menurut pelakon berusia 31 tahun ini lagi, pengendali akaun juga wajar menegur pengikut-pengikut untuk menjaga kelakuan dan adab masing-masing ketika berinteraksi menerusi platform tersebut.

“Kalau ada yang cuba-cuba nak berkelakuan tidak senonoh, saya rasa cakap saja terus ke mukanya. Ataupun, kita kena ada orang sekeliling sebagai saksi.

“Sebab itulah pentingnya menjaga adab dan peribadi supaya kita tidak terjebak dengan masalah. Jangan cuba-cuba melakukan gangguan seksual kerana kelak membawa padah, tak kisahlah terhadap golongan artis, selebriti atau pun tidak,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya