PETALING JAYA: Pengurus kepada penyanyi terkenal Hael Husaini, mendakwa penyanyi itu telah difitnah oleh seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Korea Selatan selepas dikatakan melihat Hael berhibur di sebuah kelab hiburan, di Itaewon.
Menerusi ciapan di Twitter, pelajar berkenaan dilihat ‘sakan’ menceritakan penyanyi lagu popular Jampi itu ‘berseronok’ di kelab hiburan seperti yang didakwanya.
“Dah lah artis Malaysia ini pergi Korea tidak kuarantin langsung. Selepas itu, tahu-tahu pergi kelab hiburan di Itaewon ya. Amboi. Seronok betul dia ‘berJampi’ di kelab hiburan Itaewon itu.
“Mungkin itu ‘hajat’ dia untuk membuat perkara ‘haram’. Tetapi, tidak boleh nak ‘kelentang kelentong’ kita lah kan,” dakwa pemuda itu menerusi ciapannya.
Bagaimanapun, kesemua ciapan tersebut telah dipadam namun ia sudah terlambat kerana pengurus penyanyi berkenaan sudah mempunyai butiran lengkap pelajar tersebut.
Menerusi platform TikTok, peminat Hael memuat naik kembali video pendek Instagram Live pengurus penyanyi berkenaan yang memaklumkan perkara tersebut untuk mengambil tindakan susulan.
“Assalamualaikum semua, saya di sini nak terangkan apa yang sebenarnya berlaku. Saya buat video ini sebenarnya nak memberitahu Haelers, team sudah mengambil tindakan.
“Kami cuma nak cakap, tidak elok sebarkan fitnah. Berhentilah menyebarkan fitnah jika tuan badan tidak beritahu pun,” katanya di TikTok.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet telah memberi pelbagai reaksi susulan dengan isu terbabit.
“Kalau tidak pasti, jangan dibesarkan. Akhirnya nanti kita kena fitnah. Kita tidak tahu apa yang berlaku,” komen seorang pengguna Tiktok.
“Yang dekat Twitter pun mati-mati percaya, tidak fasal dapat dosa kering memfitnah orang,” komen lagi seorang individu.
“Nak menuduh bagi bukti dulu lah, ini main cakap sahaja, semua orang boleh buat,” tulis seorang lagi warganet.
Sekadar informasi, baru-baru ini Hael telah terbang ke Korea Selatan atas urusan kerja sejurus sahaja penerbangan antarabangsa dibuka.