"Ya Allah, Ya Tuhanku… saya nak cerita pun sedih" - Aida Agil - Utusan Malaysia

“Ya Allah, Ya Tuhanku… saya nak cerita pun sedih” – Aida Agil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gelora melanda
Di dalam hidupku
Dapatkah ku cari tenang…

Bait awal lagu Segalanya Pasti dendangan penyanyi kelahiran Johor Bahru ini seakan terpalit dengan kehidupannya ketika ini. Penyanyi yang satu ketika dahulu pernah mengukir nama di persada seni tanah air kini terpaksa bersara dan hidup dalam serba kekurangan gara-gara penyakit yang dihidapinya.

Bukan menolak suratan takdir, namun memori lampau seringkali mengganggu emosinya. Tambahan pula sebelum ini dia menjalani kehidupan dengan penuh ceria dan gembira. Namun siapa yang mampu menghalang kehendak Ilahi. Dia kini pasrah dan berserah kepada Yang Esa agar ada sinar dan kekuatan untuknya menempuh hari mendatang.

Bersama Khabar Legenda, penyanyi versatil, Aida Agil, 62, berkongsi liku-liku perjalanan lampau serta kehidupan terkininya bersama pembaca.

“Sebelum bermula sebagai artis rakaman, saya menyanyi di kelab dan lounge serata Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Ketika itulah komposer Fauzi Marzuki melihat bakat saya dan menawarkan peluang jadi artis rakaman. Namun tawaran itu saya tolak kerana tidak cukup yakin dengan kebolehan diri.

“Lagipun yang buat saya tawar hati adalah kerana percent yang ditawarkan tidak banyak, berbeza dengan pendapatan yang diterima ketika menyanyi di kelab. Pengurus saya ketika itu, Mike Bernie Chin pelik kenapa saya tolak tawaran tersebut kerana menurutnya bukan semua penyanyi dapat peluang merakamkan album,” katanya memulakan perbualan.

Atas nasihat Mike, dia akhirnya menerima tawaran tersebut. Walaupun keberatan, namun berharap peluang itu mampu meletakkannya ke tahap yang lebih tinggi. Fikirnya mungkin saranan pengurusnya itu ada benarnya, memandangkan ketika itu Mike juga menguruskan penyanyi terkenal seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Datuk Khatijah Ibrahim.

Tidak menafikan menyanyi di kelab lebih memberikan kepuasan buatnya. Pentas tersebut bukan sahaja menguji kemampuannya sebagai seorang penghibur serba boleh malah membuka peluang untuknya mendendangkan pelbagai genre muzik dan bahasa, termasuklah lagu berbahasa Inggeris, Cina, Tagalog dan Jepun. Selain berupa cabaran di situ juga dia boleh mengembangkan bakat sedia ada.

Dia mendapat ganjaran setimpal dari hasil kerja kerasnya. Bermula dengan tiga angka, dia akhirnya mampu meraih pendapatan sehingga RM3,500 sebulan. Satu jumlah yang cukup lumayan ketika itu.

“Tetapi menyanyi di kelab ini banyak kos dan modalnya. Pakaian kena bersilih ganti. Itu tidak termasuk mekap dan pewangi lagi. Tetapi nasib baiklah saya ini jenis yang kedekut dan pandai berjimat. Saya beli yang berpatutan dan sederhana sahaja.

“Separuh daripada pendapatan setiap bulan akan saya kirimkan kepada ibu di kampung. Maklumlah, adik beradik saya ramai masih bersekolah waktu itu. Jadi sedikit sebanyak dapat juga kurangkan beban orang tua,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Sepanjang Jalan Kenangan ini apa jua rezeki yang datang kepadanya ketika itu adalah rahmat yang tidak terhingga. Dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana menganugerahkan bakat luar biasa kepadanya. Baginya atas kelebihan itulah dia mampu menyara dan membantu keluarga.

“Memang sudah rezeki agaknya. Jika ikutkan saya ini bukanlah pernah belajar menyanyi dan sebagainya. Cuma waktu habis sekolah dahulu saya gemar ikut kawan-kawan pergi jamming dan di situlah bakat saya digilap sehingga dapat tawaran menyanyi di kelab.

“Kebetulan arwah datuk saya dahulu pemuzik di Istana Johor, jadi sedikit sebanyak darah seninya itu mengalir kepada saya agaknya,” ujarnya.

Saya tiada kekuatan untuk kunyah makanan

Panas yang disangka berlarutan ke petang tidak kesampaian. Keindahan yang diharapkan berpanjangan terhenti seketika gara-gara penyakit yang dihadapinya. Tidak menyangka segalanya bertukar mimpi ngeri apabila dia disahkan mengidap penyakit Bell’s Palsy iaitu kelumpuhan muka disebabkan saraf tidak berfungsi.

Anak kedua daripada 11 adik-beradik itu berkata, dia jatuh sakit pada Jun 2001 dan kesannya masih terasa sehingga kini. Walaupun keadaannya nampak beransur pulih, namun sehingga kini dia masih bergantung dengan rawatan dan ubat-ubatan.

“Saya masih ingat lagi, pada mulanya saya rasa sakit kepala dan terus pengsan. Namun semakin lama, makin teruk hingga tidak boleh bangun dan hanya terlantar di katil selama enam bulan. Ketika itu adik beradiklah yang banyak membantu menguruskan aktiviti harian saya, maklumlah saya ini tiada suami dan anak.

“Setiap hari saya menangis. Bukan sebab tidak percaya dengan qada dan qadar, tetapi sedih kerana terpaksa menyusahkan orang lain. Saya tak biasa begini. Kerana sebelum ini saya aktif dan boleh buat apa sahaja,” katanya.

Penderitaan yang dialaminya tidak sekadar bernoktah di situ, malah dia juga hilang mata pencarian apabila tidak mampu lagi bekerja seperti sebelumnya. Namun dia tetap bersyukur kerana masih punya adik beradik yang membantu dan punya kediaman untuk berteduh.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kisah Malam Minggu ini berkata kehidupannya kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan. Walaupun dilihat tidak mencukupi namun dia memanjatkan rasa syukur kerana masih ada pihak yang membantunya di saat ini.

“Sakit dan derita saya ini hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Ketika di hospital dahulu doktor beritahu nak jalankan pembedahan pada kepala saya, tetapi saya tolak. Saya merayu tak nak. Saya kata nak balik rumah. Saya fikir biarlah takdir menentukan segalanya.

“Selain rawatan hospital, saya juga ikhtiar rawatan tradisional. Alhamdullillah, sekarang ini adalah sedikit perubahan. Saya sudah mampu berjalan walaupun terpaksa dipimpin. Tetapi masih tidak boleh bergerak aktif. Sekarang ini saya masih bergantung dengan pelbagai ubat serta vitamin untuk pulihkan kesihatan. Kos untuk ubat-ubatan ini pun mencecah sehingga RM300 sebulan,” katanya.

Kesan yang ditanggung dari penyakitnya amatlah luar biasa sehingga memberikan kesan ketara kepada seluruh anggota tubuh badan dan pertuturannya. Bukan itu sahaja, malah dia juga tidak mampu menikmati makanan yang enak seperti sebelumnya.

Menurutnya penyakit yang dihadapinya ketika itu datang secara tiba-tiba tanpa sebarang simptom dan amaran. Dia tidak menyangka menerima kesan yang cukup teruk sehingga kini. Namun sama sekali dia tidak pernah mengalah malah cuba bangkit untuk kembali meneruskan kehidupan. Sepanjang masa dia memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih memberikannya kekuatan untuk bernafas sehingga hari ini.

“Ya Allah, Ya tuhanku…saya nak cerita pun sedih, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Bayangkan selama terlantar sakit ini nak makan seperti biasa pun tak boleh. Saya hanya boleh makan makanan yang lembut dan berbentuk cecair. Saya tiada kekuatan untuk kunyah dan hancurkan makanan dalam mulut. Cukup tersiksa.

“Ramai rakan-rakan tidak tahu saya sakit kerana sebelum ini saya sihat dan aktif.

“Saya tidak lupa ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua individu termasuk rakan-rakan artis, pihak NGO dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa prihatin dan membantu saya untuk meneruskan kehidupan ketika ini. Jasa anda semua tidak mampu saya balas. Semoga Allah SWT melipat gandakan rezeki anda semua,” katanya mengakhiri perbualan.

Kepada mana-mana pihak atau individu yang bermurah hati ingin membantu Aida Agil bolehlah menghubunginya di talian 011-10741148

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya