fbpx

7 Disember 2021, 8:57 am

  TERKINI

Waqaf Dusun Ilmu UiTM Melaka lancar, masuk fasa penjagaan pokok buah-buahan

PEMANDANGAN keseluruhan tapak projek Waqaf Dusun Ilmu (WaDI) UiTM Melaka kampus Alor Gajah yang dirakam dari udara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Projek wakaf tanaman buah-buahan UiTM cawangan Melaka yang dimulakan Januari lalu kini memasuki fasa kedua iaitu fasa penjagaan, pemeliharaan dan rawatan tanaman pokok buah-buahan pelbagai jenis.

Projek yang diberi nama Waqaf Dusun Ilmu atau singkatannya WaDI UiTM Melaka telah menginjak usia setengah tahun apabila telah memasuki tempoh separuh tahun sejak ia dilancarkan penanamannya.

Projek yang dibangunkan dalam kawasan yang berhampiran dengan pintu masuk 2 UiTM Kampus Alor Gajah ini dilihat semakin pesat dengan kemajuan, sehingga menjadi buah mulut masyarakat setempat dan warga UiTM khususnya.

Prof. Dr. Abd Halim Mohd. Noor yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Melaka berkata, projek WaDI mula beralih ke fasa baru pertengahan tahun ini, walaupun negara ketika itu berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Walaupun ada kekangan beberapa aktiviti gara-gara PKP, kita dapat menggerakkan kerja-kerja asas pertanian di WaDI seperti sediakala apabila berjaya mendapatkan seorang tenaga buruh sepenuh masa bagi menjaga kawasan tanaman ini.

“Ini penting supaya pertumbuhan pokok buah-buahan ini mengikut jadual yang dirancang. Lantikan ini juga merupakan satu manifestasi kemanisan wakaf yang disumbangkan. Bahkan kita juga mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat yang rata-rata memuji penjagaan kawasan tanaman sebagai bersih dan teratur,” katanya.

Januari lalu, UiTM Melaka melancarkan projek wakaf tanaman yang berintegrasi di antara dusun buah-buahan dengan elemen rekreasi.

Projek ini meliputi penanaman pokok buah-buahan pelbagai jenis, serta pembinaan kemudahan rekreasi dan riadah seperti trek joging, trek berbasikal, kolam, trek aktiviti lasak (Palapes), gazebo dan sebagainya.

Antara pokok yang ditanam di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar ini ialah pokok durian Musang King, durian Duri Hitam, pokok manggis Mesta, pokok rambutan Mutiara, cempedak, nangka, kelapa Mataq dan lain-lain.

Tukang kebun WaDi menjalankan kerja-kerja menggembur tanah dan membersihkan kawasan tanaman anak pokok.

MENGGAJI PEKEBUN

Bermula awal Julai lalu, pihak WaDI mengupah seorang pekebun sepenuh masa bagi menjalankan tugas-tugas seperti mesin rumput, merumpai, meracun dan membaja setiap minggu.

Sementara itu, Koordinator Unit Zakat, Wakaf dan Sedekah (EL-WAZIF) UiTM Cawangan Melaka, Muaz Mohd. Noor memberitahu, kutipan sumbangan wakaf bagi projek ini sudah terkumpul hampir RM 70,000 sejak dilancarkan awal tahun ini.

“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang dan pewakaf-pewakaf WaDI, baik dari orang perseorangan, kumpulan dan persatuan yang menyumbang kepada projek amal ini.

“Walaupun tidak dapat bergerak berkempen secara fizikal dengan bantuan penyebaran iklan secara dalaman, kita berjaya memperoleh sumbangan dari ramai dermawan termasuk dari Sabah dan Sarawak ”, ujarnya.

September lalu, WaDI menerima sumbangan RM12,635 dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Cawangan Melaka, antara jumlah terbesar setakat ini.

Menurut Muaz, WaDI menyasarkan kutipan keseluruhan RM150,000 bagi tempoh satu ke tiga tahun.

Ia meliputi kos input pertanian, kos input pembangunan seperti pembinaan stor dan stesen kerja WaDI serta kos tenaga kerja atau buruh.

“Pewakaf boleh menyumbang melalui pelbagai kaedah seperti sumbangan terus ke akaun Bendahari UiTM Cawangan Melaka melalui akaun Bank Islam, 0402-4010-0176-52 (rujukan: Waqaf Dusun Ilmu) atau hubungi pejabat el-Wazif UiTM Melaka untuk maklumat lanjut”, ujar beliau.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN